Helaian muka

Monday, April 11, 2011

Masyarakat Sampah

Kita selalu mendengar orang berkata atau mengata tentang sampah masyarakat. Bagi mereka, sampah masyarakat cukup jijik seolah-olah tiada hak untuk hidup di bumi ini lagi. Sampah masyarakat boleh dikatakan seperti orang-orang yang tidak berguna kerana hidupnya terbiar dan melarat serta selalunya mempunyai tabiat buruk yang tentu sahaja tabiat yang tidak disukai oleh masyarakat lain.

Kali ini saya bukanlah hendak bercerita mengenai sampah masyarakat tetapi mengenai masyarakat sampah. Saya sendiri tidak tahu bagaimana hendak meletakkan definisi bagi dua perkataan yang digabungkan ini. Namun, bunyinya seperti agak kasar tetapi ini realiti. Masyarakat sampah memang wujud dan Malaysia tidak terkecuali.

Sebenarnya saya ingin merujuk kepada tabiat masyarakat Malaysia tidak kira apa kaum dan agama yang gemar membuang sampah merata-rata tempat. Ikut suka tangan mereka sahaja.

Ini satu tabiat yang sangat buruk. Dalam Islam sendir menuntut umatnya supaya menjaga kebersihan. Tetapi saya sering juga melihat orang Islam yang membuang sampah di merata tempat. Tidak malukah kita kepada masyarakat luar yang datang ke negara kita? Bagi yang beragama Islam, tidak malukah pada pelancong luar yang bukan beragama Islam sedangkan Malaysia telah diiktiraf sebagai sebuah negara Islam tetapi kebersihannya tidak seperti seperti sebuah negara yang majoritinya orang Islam.

Cuba kita lihat dalam gambar, tong sampah ada tetapi pelbagai jenis sampah bersepah diluarnya. Susah sangatkah untuk membuang sampah-sampah itu ke dalam tong sampah? Hanya buka dan masukkan. Semudah 1, 2, 3 sahaja. Tolonglah sedar wahai saudara-saudari yang senegara denganku.

Tidak kurang juga ada masyarakat yang perihatin dan bertanggungjawab. Orang-orang seperti ini akan membuang sampah ke dalam tempat yang disediakan. Tetapi lain pula masalahnya. Bilangan sampah tidak mencukupi atau saiznya tidak sesuai dengan kuantiti sampah yang dibuang di kawasan itu.

Tambah lagi dengan pengalaman saya dan saya biasa mengalaminya. Apabila saya hendak membuang sampah, saya tercari-cari tong sampah dan kadang-kadang tong sampahnya ada tetapi perlu berjalan agak jauh untuk mendapatkannya. Jadi tidak hairanlah jika ramai orang membuang sampah merata-rata. Mereka ini sukar untuk membuang sampah di tempat yang betul.

Pada pendapat saya, ini tanggungjawab pihak yang terbabit dan perlu memainkan peranan secara proaktif untuk mengatasi masalah ini. Sediakan tong sampah yang mencukupi dan saiz yang sesuai berdasarkan keperluan. Biarkan masyarakat dapat membuang sampah dengan mudah dan senang di tempat yang betul. Jagalah kebersihan dan cintailah keindahan bumi tempat tinggal kita ini.

Sekian.


Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone

0 comments: