Helaian muka

Monday, April 20, 2009

Allahyarham Datuk Orang Kaya Indera Segara Temerloh Haji Tahir bin Nakhoda Jelai

Datuk Orang Kaya Indera Segara Temerloh Haji Tahir bin Nakhoda Jelai. Memang ramai yang tidak mengetahui sejarah tentang beliau. Masyarakat temerloh terutama jenerasi muda sekarang lagilah pula langsung tidak mengetahui tentang kewujudan salah seorang pembesar berempat negeri Pahang ini.

Menjadi pembesar di sekitar tahun 1891. Tugas beliau menjaga daerah keseluruhan daerah Temerloh dan mengutip cukai di sungai Triang hinggalah ke sempadan Rembau, Negeri sembilan.

Tidak banyak sangat yang diketahui tentang sejarah beliau. Kuburnya yang terletak di kawasan tanah perkuburan kampung Mengkarak berhampiran dengan kubur keramat Tok mengkarak bersemadi. Rumahnya pula terletak di seberang kampung yang agak selari dengan kedudukan masjid kampung tersebut. Beliau berketurunan Minangkabau iaitu anak kepada Undang Luak Jelebu pada ketika itu. Waris-warisnya ramai boleh didapati di sekitar daerah Temerloh dan Bera. Terdapat juga yang telah bermastautin di tempat lain antaranya di sekitar Selangor, Kuala Lumpur, Melaka, Sabah dan Johor Bharu. Ada juga yang menetap di luar negara iaitu di Mekah.

Sedikit cerita mengenai asal usul Allahyarham Datuk Orang Kaya Indera Segara Temerloh Haji Tahir bin Nakhoda Jelai. Ayah beliau Nakhoda Jelai berasal dari Pagar Ruyong Sumatera telah merantau ke Tanah Melayu bersama dengan tiga adik beradiknya. Sampai di Siam, tongkang yang mereka naiki telah pecah di serang oleh angkatan Raja Siam pada ketika itu. Nakhoda Jelai berempat beradik telah ditawan oleh Raja Siam dan dipenjarakan.

Selang beberapa hari, penduduk di kawasan Siam itu termasuk tentera-tentera Siam telah dilanda satu wabak penyakit yang tidak diketahui punca dan ubatnya. Tapi say telah diberitahu oleh sumber bahawa penyakit itu sebenarnya penyakit taun. Yang menghairankan Raja Siam pada ketika itu, Nakoda Jelai berempat beradik sihat sahaja. Baginda musykil dan bertanya kepada Nakoda Jelai berempat beradik tentang bagaimana mereka berempat tidak menghidapi penyakit tersebut. Nakhoda Jelai lalu menerangkan bahawa mereka mempunyai sedikit ilmu yang menjadikan mereka kebal dari dijangkiti penyakit tersebut.

Lalu mereka dititahkan oleh Raja Siam untuk mengubati sekalian tentera dan rakyatnya yang sedang sakit itu dengan janji akan membebaskan mereka berempat jika semuanya berjaya disembuhkan. Lalu dijampi oleh Nakoda Jelai berempat beradik sungai Golok itu dan disuruhnya kepada sesiapa yang sakit pergi meminum air sungai Golok yang telah dijampi itu. Dengan izin Allah, semuanya telah sembuh dan Raja Siam menunaikan janjinya untuk melepaskan mereka berempat. Lalu dari sanalah mereka mula memasuki Tanah Melayu.

Nakoda Jelai berempat beradik lalu berpecah di Tanah Melayu membawa haluan masing-masing. Nakhoda Jelai pula menuju ke Negeri Sembilan iaitu ke daerah Jelebu. Di sana, beliau telah dikahwinkan dengan anak Undang Luak Jelebu ketika itu dan hasil perkahwinan tersebut maka lahirlah seorang anak yang diberi nama Tahir.

Dewasanya Tahir, telah dilantik beliau oleh Sultan Pahang sebagai Dato’ Orang Kaya Indera Segara Temerloh. Ini kerana pada ketika itu Sultan Pahang hanya mahukan orang yang berketurunan Minangkabau sahaja yang boleh menjadi pembesar dan Sultan Pahang berkenan melantik Tahir menjawat jawatan pembesar berempat. Maka bermulalah sejarah beliau menerajui daerah Temerloh sebagai Datuk Orang Kaya Indera Segara Temerloh Haji Tahir bin Nakhoda Jelai. Tiga lagi pembesar berempat Negeri Pahang Datuk Maharaja Perba Jelai, Datuk Indera Pahlawan Chenor dan Datuk Indera Syahbandar.

Inilah serba sedikit sejarah mengenai Datuk Orang Kaya Indera Segara Temerloh Haji Tahir bin Nakhoda Jelai yang saya ketahui dan ingin saya kongsikan. Segala maklumat yang saya perolehi ini saya dapati daripada cerita beberapa orang warisnya yang berada di Pahang dan Selangor. Tokoh-tokoh Melayu zaman dahulu tidak sepatutnya kita lupakan. Kenang dan hargailah jasa mereka. Kita merupakan penyambung warisan mereka. Hidup Melayu!

1 comments:

Schmidt Electronics Calibration Lab said...
This comment has been removed by the author.