Helaian muka

Thursday, April 21, 2011

Bendera Malaysia - Kenapa?

Sejak dari sekolah rendah saya hormat dengan bendera Malaysia. Ini kerana bendera ini merupakan bendera bagi tanah luas yang aku berpijak dari dulu hingga kini. Jalur merah dan putih, bintang berbucu 12 dan bulan sabit yang kedua-duanya bewarna kuning mempunyai maksud yang tersendiri.

Rasa hormat saya terhadap bendera Malaysia ini berkurangan apabila memasuki sekolah menengah. Jika di sekolah rendah saya dilantik menjadi pengawas dan akan menaikkan dan menurunkan bendera mengikut jadual. Ketika itu bendera tidak boleh dihujankan. Tiap-tiap hari bendera akan diturunkan dan disimpan. Berlainan ketika di sekolah menengah, bendera dinaikkan pada hari isnin dan diturunkan pada petang Jumaat. Jika hujan dibiarkan. Saya serba salah tetapi ini yang diajar ketika di sekolah menengah.

Kini saya telah bekerja. Bekerja diperantauan. Apa yang menarik ialah di tempat kerja saya ada tiang bendera dengan bendera Malaysia yang berkibar. Perkara baru mengenai bendera yang saya pelajari di alam pekerjaan ini ialah bendera dinaikkan dan diturunkan apabila ia sudah pudar, lusuh dan koyak. Tiga peringkat pengenalan bagi rasa hormat terhadap bendera negara.

Banyak lagi soalan berputar memikirkan tentang bendera Malaysia ini. Kenapa ia menyerupai bendera Amerika? Negara lain sekitar Nusantara memilih Sang Saka Merah Putih sebagai asas warna bendera tetapi Malaysia menjadikan bendera Amerika sebagai asas. Mungkin Malaysia dipimpin oleh orang yang berjiwa barat dan bukan berjiwa Nusantara yang merdeka.

Rasa hormat saya tidak pernah pudar kerana saya terpaksa akui bendera negara adalah begini. Saya menerima hakikat cuma saya tiada semangat apabila mengibarkannya. Juga wujud rasa acuh tidak acuh. Jika melihat keadaan bendera seperti dalam gambar, kadang saya akan mengambilnya dan meletakkan di tempat yang baik dan kadang saya akan membiarkannya begitu sahaja.

Mungkin Malaysia perlukan bendera lain yang boleh membawa semangat jiwa nasional. Bendera yang boleh menjadi panji membawa semangat juang rakyat dan tentera sewaktu berperang. Apa yang pasti saya begitu teruja dengan Sang Saka Merah Putih. Jiwa Nusantara merdeka bersemadi di dalamnya.

Sang Saka Merah Putih dikibarkan ketika perjuangan menuntut kemerdekaan di Indonesia melawan Belanda. Bendera darah rakyat yang berjuang. Bagaimana dengan bendera Malaysia? Ia bendera yang dicipta bukan atas dasar perjuangan. Bendera yang tiada nadi darah perjuangan rakyat menuntut kemerdekaan. Mudah saya katakan bahawa bendera Malaysia ini seolah tiada jiwa dan roh. Jiwa dan roh rakyat.

Bendera Malaysia perlukan sentuhan perjuangan rakyat. Perlukan identiti dan konsep tersendiri. Perlukan sentuhan jiwa dan roh seluruh rakyat. Bendera Malaysia perlu menjadi seperti Sang Saka. Membawa semangat juang rakyat di medan perang.

Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone

0 comments: