Helaian muka

Wednesday, April 28, 2010

Minda Kita

Terbaca dalam akhbar atas talian Berita Harian yang bertajuk "Lelaki mati dibelasah jiran kerana tegur buang sampah". Sebuah pembunuhan atas dasar teguran yang baik diberikan. Bagaimanakah mentaliti masyarakat kita hingga sanggup melakukan perbuatan yang zalim ini? Nauzubillah.

Mungkin kerana mentaliti orang seperti inilah yang akan menjadikan negara kita ini sebagai tempat timbunan sampah. Mungkin mentaliti orang seperti ini jugalah yang merosakkan keindahan alam dan fauna kita ini dengan pelbagai jenis sisa barang buangan. Sungai yang jernih yang berisi segala jenis hidupan, kini mengalir lesu dalam kekeruhan dan tubuh hidupannya yang berisi segala jenis sampah sarap. Kita tidak akan terkejut apabila pancing kita mengena tin atau beg plastik jika memancing di Sungai Langat. Lagi menggelikan apabila hasil tangkapan dibelah perut, terdapat penutup botol atau plastik di dalamnya.

Inikah hasil pembangunan dan kemodenan yang selama ini kita banggakan? Tidakkah kita sebagai masyarakat di Malaysia ini atau secara amnya manusia terlalu mementingkan diri sendiri hingga mengabaikan alam sekitar dan hidupan lainnya demi kemudahan dan kesenangan? Hina sungguh manusia sebegini.

Bumi dan sekalian alam ini dicipta bukan hanya untuk manusia tetapi juga untuk hidupan lain. Manusia sekadar diberi hak untuk menguruskan dan mentadbir di bumi ini dengan adil dan saksama.

Lihat hari ini kebanyakkannya isu yang selalu bermain di dada akhbar, kaca televisyen dan mulut masyarakat serta pemimpin hanyalah isu politik. Segalanya tentang politik dan kuasa. Kuasa untuk memerintah, kuasa untuk menghukum dan juga kuasa untuk menjahanamkan bumi ini. Tidakkah kita simpati akan alam ini?

Lihat negara-negara maju lain yang moden dan lebih maju dari negara kita tetapi tetap mengambil kira kepentingan alam seperti Jepun misalnya. Sebuah negara maju tetapi memiliki sebatang sungai yang mengalir jernih di tengah bandar. Kerana apa sungai di sana dipelihara? Kerana alam ini adalah teman kehidupan kita. Kita tidak mampu hidup dengan harmoni tanpa alam yang terpelihara.

Kasihanilah generasi kita yang akan datang. mereka tentu mahu melihat alam yang indah ini tanpa pencemaran segala jenis bahan buangan dan sampah sarap. Buanglah sampah ke dalam tong sampah. Satu seruan yang mudah. Inilah yang patut kita ubah. Sebuah anjakan minda supaya lebih mencintai alam ini.

Salam Sebuah Perjuangan

Teruskan perjuangan..
menuntut sebuah kebenaran..
pasti tiada pernah rugi..
kerana hanya pejuang yang mengerti..
lalu berasa puas hati..
pabila panji perjuangan tegak teguh berdiri..
air mata sahaja yang bisa mencerminkan..
syukur atas sebuah kejayaan..

Kesabaran dijadikan bekalan..
penawar sakit dalam menempuh dugaan..
sumber kekuatan dalam pertempuran..
ayuh kawan, sahabat dan taulan..
menang makna sebuah perjuangan..
kalah bukan erti sebuah pengunduran..
pendirian kita yang sebenar menjadi ukuran..

ku selitkan sebuah peringatan..
ingatlah kepada daratan..
takut lemas dalam kealpaan..
alpa dalam kemenangan..
lupa kepada perinsip perjuangan..
moga kita dijauhkan dari kerugian..
moga kita beroleh keberkatan..
salam sebuah perjuangan..

Parti @ Calon?

Selasa, 27hb April 2010, tepat jam 10.30 malam. Seperti biasa rancangan Hujah akan disiarkan di TV9. Rancangan yang agak menarik dan diminati oleh ramai peminat politik tanah air. Pada malam ini tajuk yang dibincangkan berkaitan dengan PRK Hulu Selangor 2 hari lepas yang telah menyaksikan kemenangan bagi parti MIC-BN dan tewasnya parti PKR.

Panel yang dijemput ialah TNC HEPA & ALUMNI UUM dan juga Tan Sri Isa Samad. Panel dari UUM ini banyak memberikan pandangan dari sudut yang lebih akademik dan tidak bias. Mungkin beliau ingin menonjolkan atau menunjukkan profesionalisme beliau dalam bidang akademik.

Berlainan pula dengan Tan Sri Isa Samad. Mungkin beliau merupakan ahli politik Umno, jadi hujahnya memang terlalu bias. Isi hujah beliau banyak yang memuji atas kemenangan BN di Hulu Selangor. Hujah beliau juga ada menyataka jika Umno yang bertanding, maka Umno juga tidak mungkin kalah. Kononnya ahli Umno di sana cukup ramai dan mampu untuk mendominasi.

Perhatian saya hanya kepada hujah Tan Sri tersebut. Beliau juga menyatakan bahawa ahli Umno sepatutnya meletakkan parti di hadapan dan bukannya calon sebagai timbang tara untuk mengundi. Luahan beliau ini mungkin kerana bukan segelintir tetapi sudah ramai ahli Umno yang sudah pandai berfikir untuk mengundi bukan berdasarkan parti.

Saya kurang faham dengan pernyataan Tan Sri ini atau sebenarnya Tan Sri ini yang kurang faham dengan perinsip sebuah pengundian itu dilakukan. Jika yang dipelajari semasa saya di tingkatan 6, cikgu subjek Pengajian Am itu mengajar bahawa kita sepatutnya mengundi berdasarkan calon dan bukannya parti dan inilah yang saya pegang hingga kini. Jadi mungkin Tan Sri perlu menyambung pelajarannya ke tingkatan 6 dan baru beliau faham cara mengundi yang sebenar.

Jika kita mengundi berdasarkan parti, apakah ukuran yang patut diletak kepada calon? Adakah parti mencerminkan peribadi calon yang baik? Adakah parti juga yang mencerminkan seseorang calon itu akan sedia dan setia berkhidmat tanpa menyeleweng kepada masyarakat? Tidakkah pokok pangkalnya pada calon tersebut?

Jika parti Umno dikatakan cermin kepada calon yang positif, bagaimana pula boleh terjadi pelbagai isu yang negatif seperti YB tidak turun padang dan tidak menjalankan tugas? Waktu mengundi sahaja baru akan kelihatan batang hidung YB. Tidak menjurus kepada Umno sahaja, parti lain juga tidak kurangnya ada yang bersikap atau bersifat sedemikian.

Kesimpulannya, kita sebagai pengundi, khususnya masyarakat sepatutnya mengundi berrdasarkan calon yang bertanding. Inilah yang kita sebagai rakyat di negara yang merdeka ini perlu ubah. Jika kita ahli sesebuah parti tetapi calon yang bertanding bagi parti tersebut sudah terang-terangan tidak mampu untuk memimpin atau mempunyai sikap, sifat atau rekod yang negatif, adakah kita perlu untuk mengundinya? Marilah kita fikirkan bersama. Mulakan langkah untuk berubah. Inilah kebenarannya dan berubah ke arah kebenaran itu sangatlah dituntut.

Wassalam.

Monday, April 26, 2010

Catatan Ringkas Sekitar PRK Hulu Selangor

Pilihan Raya Kecil (PRK) Hulu Selangor telah menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara antara P. Kamalanathan (MIC-BN) dan Dato' Zaid Ibrahim (PKR). Keputusan PRK ini telah memihak kepada calon MIC-BN iaitu kemenangan sebanyak 24,997 undi berbanding 23,272 undi bagi PKR dengan majoriti MIC-BN sebanyak 1,725. Tahniah diucapkan kepada P. Kamalanathan.

Kegembiraan

Suasana kegembiraan dialami oleh semua penyokong MIC-BN di sekitar kawasan Hulu Selangor dan seluruh Malaysia kerana kemenangan yang agak bermakna bagi BN setelah kalah dalam beberapa PRK sebelum ini dan juga kehilangan beberapa negeri yang diperintah sewaktu PRU 12.

Kegembiraan juga dirasai oleh seluruh warga Hulu Selangor kerana telah mendapat "durian runtuh" kerana pelbagai bentuk janji yang telah dibuat oleh kerajaan BN di sana. Nilai-nilai pemberian dan projek yang dijanjikan bukan sekampit beras atau 3 tin susu, tetapi melibatkan jutaan ringgit. Dalam keadaan ekonomi yang masih agak kurang stabil tetapi kerajaan BN mempunyai bajet sebegitu besar untuk memancing undi di Hulu Selangor.

Akur

Parti lawan PKR kalah tipis dalam PRK ini. Calonnya Dato' Zaid Ibrahim akur dengan keputusan tersebut. Mungkin inilah cermin kepada sebuah profesionlisme. Sikap seperti ini perlu ada atau wujud dalam diri setiap ahli politik. Ia juga seharusnya menjadi satu bentuk etika yang membataskan aktiviti berpolitik supaya tidak terlalu ekstrim.

Setelah diserang dengan pelbagai isu peribadi seperti sifat kaki arak dan kaki judi, Zaid Ibrahim masih lagi diterima oleh masyarakat. PRK kali ini banyak membongkar rahsia peribadi beliau seterusnya mengundang kepada pengakuan terhadap semua tuduhan tersebut. Berani berterus terang dan mengaku kesalahan, inilah sikap manusia yang payah untuk dilakukan. Tidak seperti pemimpin-pemimpin Umno yang asyik berdalih dan mendiamkan diri dengan isu-isu begini.

Moral

Isu pergaduhan dan keadaan tegang seolah-olah sukar untuk dielakkan dalam setiap pilihan raya yang diadakan. Namun di Hulu Selangor ini, isu moral sangat jelas kelihatan. Budak-budak bermotor dengan bendera dacing BN kelihatan di merata-rata tempat terutama di Felda Sungai Tengi. Mereka menunggang motor secara berkonvoi sambil membuat bising dengan bunyi ekzos yang kuat.

Kelihatan penunggang-penunggang tersebut bukanlah terdiri daripada golongan yang sudah boleh mengundi. Kemudian motosikal yang dibawa oleh mereka juga bukanlah jenis yang cukup sempurna untuk digunakan di atas jalan raya. Terus terang perbuatan mereka ini sangatlah merbahaya kepada diri mereka dan juga orang lain. Tetapi tiada pula tindakan yang diambil. Wujud satu persoalan untuk isu ini. Di manakah pihak berkuasa ketika itu dan apakah tindakan yang sepatutnya diambil? Ramai mahasiswa yang ditangkap kerana berkempen tetapi mengapa kumpulan bermotor ini tiada yang ditangkap atau dikenakan tindakan?

Begitulah serba sedikit catatan pemerhatian di sekitar PRK Hulu Selangor. Kepada yang menang ini bukan masa untuk bergembira, tetapi masa untuk menunaikan tanggungjawab dan amanah yang telah diberikan oleh penduduk di Hulu Selangor. Kepada yang kalah, ini bukanlah alasan untuk tidak berkhidmat kepada masyarakat. Buktikan kejujuran dan keikhlasan dalam menabur janji. Menang kalah hanya keputusan sebuah pertandingan bukan titik sebuah permusuhan.

Friday, April 16, 2010

Suatu Senja











Senja itu langit kelihatan mendung,
mendung yang kembali menyelubungi hidupku;
lalu aku lemas;
tanpa suara dan tanpa daya untuk membantah;
pantas aku rebah;
kalah bagai tidak sedar diuntung.

Mendung senja itu sering kembali,
menghantui segenap mimpiku;
membayangi setiap pergerakanku;
lalu aku malu;
malu pada diri sendiri;
malu kepada sekalian alam ini.

Wahai mendung senja,
pergilah kau jauh dari hidupku;
bebaskan aku dari linkunganmu;
biarkan aku menyesali;
Maha Ilahi lagi Maha mengasihani;
ampunkanku buat sekalian kali.

Tuesday, April 13, 2010

Kiri












Kiri,
benarkah kau tiada berguna?
bukankah tiada kau maka tiadanya sempurna?
bukankah tiada kau maka cacat maknanya?
cerita tentang kau dibiarkan lena;
disisih bagai tiada wujudnya.

Kiri,
sungguh kau teman setia;
membantu teman kanan dalam setiap geraknya;
fitrah pelengkap tubuh sang manusia;
namun mereka tetap menafikannya;
aku sedih mengenang nasib yang menimpa.

Kiri,
mereka juga mengatakan kau pengkhianat;
kau tali barut penjahat;
namun kau sentiasa kuat;
demi rakyat dan kepentingan sejagat;
kau ku kenang sebagai pejuang keramat.

Titis Ranjau


Titis air yang turun dari langit,
lalu membasahi tubuhku;
lejut tubuh seperti sudah terbiasa;
sejuk terasa seperti penambah selera,
tiada pernah menjadi duka;
namun aku gembira kerana tidak semua manusia merasainya.

Titis air ini ku tempuh demi sebuah perjuangan,
ku tadahkan tubuhku bagaikan seperi ku menadah ilmu;
ku mohon kepada-Nya moga aku sentiasa kuat;
kerana lemah membuatku rugi;
lemah juga seperti ku hilang semangat;
kerana mahu berjaya itulah sebuah matlamat.

Titis air ini bagai ranjau,
cabaran kepadaku dalam menuntut ilmu;
syukur aku redha;
syukur juga kerana tiap titisan bukan ketulan batu;
moga tidak aku putus asa,
kerana aku mahu berjaya.

Thursday, April 8, 2010

Mundur












Menyusur zaman yang dewasa ini,
kita menugu kenangan dalam deras arus yang menghentam;
melakar masa depan mengikut gerak pena di jari.

Zaman ini kita bagai lena dalam buaian,
kenangan perlu dibina bagi mengukuh jati diri pendirian;
agar kita sentiasa terkehadapan menghadapi segala kemungkinan.

Babak silam itu telah jauh kita tinggalkan,
sengaja dikabur bagi kepentingan mereka;
itulah buktinya mereka tiada upaya.

Marilah kita menyusur jalan kembali mencari azali,
kerana di sana letaknya nyata dan kebenaran sejati,
biar dikata kita mundur kerana itu lebih baik daripada berundur.

Wednesday, April 7, 2010

Alam & Manusia


Malam menjadi dunia buta,
siang asyik memancar cahaya;
bumi berputar tanpa hentinya;
manusia berfikir ada pula batasnya.

Sang bersayap terbang bergaya,
sang pelata merayap tanpa luka;
lelabah tekun menyulam sarangnya;
langkah manusia ada pula letihnya.

Gunung-ganang tiada rendahnya,
bukit-bukau habitat belantara;
rimbun belukar menyimpan seribu rahsia;
lidah manusia kadang ada cabangnya.

Angin bertiup dingin terasa,
sinar mentari menghangat jiwa;
air di laut ada pasang surutnya;
sabar manusia punya kadarnya.

Friday, April 2, 2010

Mahu Jadi Pejuang


Jika aku menjadi Raja,
aku mahu menjadi Raja yang berjuang;
berdiri teguh di barisan hadapan tanpa kecut dan gentar;
biar runtuh istana;
biar tergadai segala harta;
biar aku mangkat meninggalkan takhta;
namun tidak sekali hidup menjadi boneka.

Jika aku menjadi rakyat,
aku mahu menjadi rakyat yang berjuang,
biarpun tiada upaya;
pena juga akan aku jadikan senjata;
biar kering dakwat darah menjadi ganti;
demi jiwa yang merdeka;
sesungguhnya aku tidak rela;
bernaung di bawah bendera mereka.

Aku mahu jadi pejuang,
biarpun hidup sampai terbuang.

Thursday, April 1, 2010

Di Mana Perikemanusiaan?

Assalamualaikum kepada sekalian makhluk yang bergelar manusia. Menurut ajaran Islam, manusia merupakan kahlifah atau pemimpin yang telah di amanahkan oleh Allah untuk mentadbir bumi ini. Makhluk yang bergelar manusia ini juga sebenarnya mempunyai keistimewaan iaitu memiliki satu sifat yang baik yang tiada dimiliki oleh makhluk yang lain di muka bumi ini iaitu sifat KEMANUSIAAN. Tidak kira apa anutan agama, status bangsa atau pangkat, warna kulit dan sebagainya, manusia sepatutnya mempunyai nilai perikemanusiaan ini untuk melayakkan makhluk ini bergelar manusia.

Untuk menambah lagi persoalan mengenai sifat kemanusiaan, silalah baca sebuah coretan di bawah yang penulis telah salin dari sebuah blog "http://darisungaiderhaka.blogspot.com/2010/03/zalimnya-juara-rakyat.html". Artikel yang dipaparkan di bawah ini mungkin sahaja mempunyai unsur-unsur ayat-ayat hentaman kepada sesetengah parti politik, namun ia tiada kaitan dengan penulis. Penulis hanya tertarik dengan isu kemanusiaan di dalam artikel ini. Harap maklum. Selamat membaca diucapkan. Wassalam.


Kita sering mendengar berita-berita yang memaparkan kezaliman Yahudi terhadap penduduk Islam Palestine, berbagai-bagai jenis kezaliman mereka gunakan terhadap penduduk Islam Palestine,..

Mereka sering menjadi mangsa keganasan Polis dan Tentera Yahudi, mereka dibelasah tanpa belas kasihan,ditangkap dan dipenjarakan oleh puak Yahudi tanpa peluang membela diri, Tembok batu dibina bagi memisahkan mereka dengan dunia luar, kawasan tanaman mereka dimusnahkan kereta kebal Yahudi, hak mereka untuk beribadat di halang..



Tanah yang mereka duduki sekian lama dirampas Yahudi dan rumah mereka dirobohkan bagi membina penempatan haram Yahudi…

Kini kita patut bersyukur kehadrat Illahi kerana kita tidak perlu menyabung nyawa untuk ke Palestine untuk melihat semua itu…

Apa yang perlu kita buat hanyalah menoleh kearah Negeri yang dikuasai oleh Pejuang Bangsa di selatan tanahair iaitu Johor…

Dalam kejadian 12 rumah yang didakwa rumah setinggan di Kampung Denai Pinggiran, Kempas, Johor telah dirobohkan oleh Pejabat Tanah dan Galian daerah, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Seramai 12 pegawai dan 112 anggota polis telah ditempatkan di kawasan berkenaan untuk memastikan keselamatan dan ketenteraman awam berada dalam keadaan terkawal bagi mengelakkan berlaku kejadian tidak diingini.



Satu lagi kampung Melayu bakal hilang dari muka bumi, mereka dah tinggal di sini selama 36 tahun dan di halau keluar tanpa sebarang pampasan....

Selama 36 tahun itulah mereka telah dijanjikan berbagai oleh sang penguasa bagi menjamin penguasaan mereka..

Ketika Kampung Buah Pala menghadapi nasib yang sama Media UMNO/BN riuh rendah mencanangkan kekejaman yang kononnya dilakukan terhadap penduduk oleh kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang walhal tanah Kampung BUah Pala itu telah dijual semasa era Koh Tsu Koon lagi.. dan penduduk Kampung Buah Pala juga telah diberikan pampas an yang setimpal.

Kalau Kampung Buah Pala yang dianngap setinggan, penduduk diberikan pampasan RM250,000.00 dan lot rumah, apa bezanya dengan Kampung Denai Pinggiran ini?

Adakah kerana Kampung Buah Pala terletak didalam Negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat dan Kampung Denai Pinggiran ini terletak didalam negeri yang diperintah oleh UMNO/BN maka layanan terhadap penduduk berbeza?









Kemana menghilang pejuang-pejuang Bangsa, kemana menghilang Presiden Perkasa? Adakah kerana tidak menguntungkan mereka penduduk Kampung Denai Pinggiran dibiar sendirian meratap hiba mengenang nasib mereka?

Inilah nasib orang melayu di bumi Johor.....Moga UMNO terus perintah Johor!