Helaian muka

Saturday, February 27, 2010

Ikan Pekasam Temerloh



Nasi putih dan sayur masak lemak sudah cukup untuk membuatkan hidangan makan tengahari yang enak apabila disediakan bersama ikan pekasam goreng. Seperti di dalam gambar, ia merupakan ikan pekasam yang boleh didapati di daerah Temerloh dan juga daerah sekitarnya. Hanya menggunakan sedikit ramuan sahaja dan bahan utamanya ikan dari sungai Pahang, proses untuk menyediakan ikan pekasam ini sangatlah mudah. Cuma ia mengambil masa sedikit kerana perlu diperap beberapa hari agar ikan betul-betul sebati dengan ramuan yang telah dicampurkan.

Kepada sesiapa yang ingin mencuba makan ikan pekasam ini boleh la datang ke Pekan Sehari Temerloh pada setiap hari Ahad bermula dari awal pagi hingga pukul 12.00 tengahari atau 1 petang yang berlokasi di pinggir Sungai Pahang di Bandar Temerloh. Namun sedikit peringatan kepada sesiapa yang mengidapi penyakit darah tinggi tidak boleh memakan ikan pekasam goreng ini terlalu banyak kerana bimbang rasanya yang agak masin akan menaikkan tahap tekanan darah.

Sampai di sini sahaja. Silalah kunjungi Temerloh untuk mendapatkan ikan pekasam ini. Pasti rugi jika tidak mencuba. Kelazatan dan keenakan tidak akan dilupakan bagi sesiapa yang pernah merasa.

Sekian,
Indera Segara

Friday, February 26, 2010

Penganiayaan Ke Atas Seorang Wanita 2



Sesungguhnya wanita itu merupakan golongan yang lemah dan kita sebagai lelaki yang juga merupakan khalifah di atas muka bumi ini sepatutnya bertanggungjawab melindungi kaum hawa ini daripada segala macam bencana, fitnah dan juga penganiayaan.

Ini merupakan kesinambungan kepada post saya yang bertajuk Penganiayaan Ke Atas Seorang Wanita yang pernah saya tulis dulu. Beginilah nasib yang menimpa wanita yang sama ketika suasana hangat pilihanraya kampus Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tahun 2010 yang menampakkan mahasiswa/wi aktif berkempen di sana sini.

Siapakah yang begitu kejam dan tidak bertanggungjawab yang telah melakukan penganiayaan yang sebegini rupa ke atas seorang wanita yang lemah ini. Seseorang telah menulis dengan marker pen seperti di dalam gambar yang dipaparkan yang tertera bersama nombor telefon wanita tersebut.

Begitu banyak panggilan yang menerjah yang datangnya daripada lelaki yang dahagakan seks yang mahukan khidmat daripada wanita tersebut. Namun aku bersyukur kerana wanita ini tidak lemah dalam menerima dugaan ini dan dapat menghadapi dengan fikiran yang rasional. Namun sedikit tekanan aku pasti tidak dapat dielakkan dalam hidup wanita tersebut.

Aku tidak mahu untuk menulis panjang dalam post kali ni. Tetapi aku berharap dan berdoa semoga wanita tersebut akan dapat mengharungi masalah atau penganiayaan ini dengan hati yang teguh dan kuat. Kepada si Penganiaya, semoga Allah mengampunkan segala dosa kamu. Segeralah bertaubat kerana doa seorang yang dianiaya itu merupakan salah satu doa yang mudah diterima dan dimakbulkan oleh Allah.

Sekian,
Indera Segara

Salam Maulidur Rasul 1431H (26hb Februari 2010)

Assalamualaikum kepada semua tidak kira siapapun yang melayari blog inderasegara ini. Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Maulid Nabi kita iaitu Nabi Muhammad S.A.W. Kita sebagai umat-umat Islam akhir zaman perlu memandang kembali ke belakang untuk menilai sejauhmanakah pencapaian kita hari sebagai insan yang bergelar umat Islam.

Marilah kita mencontohi manusia teragung dan terbaik ini supaya kita sentiasa berada dalam kebaikan dan juga rahmat dariNya. Marilah juga kita mencontohi dan mengamalkan sunnah-sunnah Rasulullah yang telah ditinggalkan buat kita sebagai panduan dalam meneruskan hidup yang penuh dugaan dan cabaran ini.

Akhir kata dari saya, penghayatan itu datangnya dari hati dan bukannnya dari penat berarak dan melaungkan selawat.

Sekian,
inderasegara

Thursday, February 4, 2010

Petikan Akhbar Berita Minggu, Ahad 31 Januari 2010

Sewaktu membaca akhbar Berita Minggu Ahad lalu, aku tertarik untuk membaca artikel yang ditulis oleh Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu iaitu Zulkifli Noordin yang merupakan Ahli Parlimen PKR. Tulisannya yang disiarkan dalam helaian akhbar Berita Minggu seperti di bawah sangat menarik kerana menyatakan pendirian tegas beliau mengenai isu penggunaan nama Allah oleh golongan Kristian.

Artikel beliau juga berbaur bidasan kepada sesiapa yang menyokong supaya membenarkan penggunaan nama Allah kepada golongan beragama Kristian teruatama kepada ahli-ahli pakatan pembangkang yang zahirnya telah melahirkan sokongan terhadap kes ini. Tulisan beliau juga berbentuk sindiran dengan fakta yang yang lengkap dan sempurna untuk mengukuhkan lagi matlamat tulisan beliau ini.

Atas tulisan beliau ini, aku menyatakan sokongan kerana bagi aku yang batil itu tetap batil. Semoga perjuangan Zulkifli Noordin ini akan diberkati oleh Allah. Sesungguhnya Allah bersama dengan orang yang mencari keradhaan-Nya dalam marahnya manusia. Tidak akan rugi orang sebegini yang kelihatan sangat sedikit di zaman yang serba moden dan maju masa kini. Jika Zulkifli Noordin dikenakan tindakan tatatertib oleh PKR atas sebab ketegasan untuk mempertahankan perjuangannya, maka sebenarnya beliau telah beroleh keuntungan. Mungkinkah ini demokrasi yang dilaungkan oleh pakatan pembangkang? Selamat membaca kepada pelayar-pelayar laman blog inderasegara dan bersama kita fikir-fikirkanlah.

Wassalam.


Menjadi ular lidah bercabang

Oleh Zulkifli Noordin

Fitnah keimanan berlaku apabila umat Islam terlalu mengejar 'ayat-kerusi'

"DAN mereka (Kristian dan Yahudi) berkata Tuhan Yang Maha Pemurah Mempunyai anak. Sesungguhnya mereka sudah mendatangkan sesuatu yang sangat mungkar. Hampir-hampir langit pecah kerana ucapan itu dan bumi terbelah, dan gunung ganang runtuh kerana mereka mendakwa Allah Yang Maha Pemurah mempunyai anak. Dan tidak layak bagi Allah Tuhan Yang Maha Pemurah mempunyai anak". (Surah Maryam:88-92)

Begitulah serius amaran Allah SWT kepada manusia yang mendakwa Allah mempunyai anak. Kita tidak lupa peristiwa tsunami yang berlaku pada Krismas 25 Disember 2004, apabila bumi di dasar lautan terbelah dan ombak menggunung sehingga ratusan ribu nyawa terkorban pada hari mereka merayakan perayaan memperingati kelahiran Jesus yang didakwa anak Allah SWT. Bagi mereka, ini isu istilah tetapi bagi kita ia isu akidah. Bagi mereka ini persoalan bahasa, bagi kita ia isu agama. Bagi mereka perbezaan terminologi, bagi kita ia perkara tauhid. Apakah kita tidak menyedari bahawa apabila pihak Kristian mahu menggunakan nama Allah SWT, mereka menyebutnya dalam bentuk Allah itu triniti: Tuhan Bapak, Tuhan Anak dan Roh Suci! Ini adalah fahaman syirik lagi kufur dari sudut akidah Islam. Semua 25 Rasul dan 124,000 nabi dihantar kepada manusia hanya dengan satu mesej yang jelas - sembahlah Allah SWT yang satu.

Mereka mendakwa kononnya mereka sudah menggunakan nama Allah SWT sebagai ganti nama God sejak ratusan tahun. Maka mereka berhak menggunakannya sekarang. Ketika Nabi Muhammad diutus sebagai Rasul, nama Allah SWT sudah pun digunakan. Nabi bukan pencipta nama Allah SWT, sebaliknya ia sudah wujud sejak azali lagi. Maka Nabi Muhammad SAW menyeru manusia supaya marilah menyembah Allah SWT. Maka Yahudi menyatakan memang kami bertuhankan Allah tetapi Ia punya anak bernama 'Uzair. Kristian pula berkata, memang kami mempertuhankan Allah, tetapi Allah punya anak 'Isa al Masih (Jesus)'. Musyrikin Makkah juga berkata memang tuhan mereka Allah, tetapi punya sekutu Latta dan Uzza. Maka mereka bertanya kepada Nabi, siapa Allah yang engkau seru kami menyembahnya. Nabi tidak menjawab berdasarkan akal, tetapi Allah SWT menjawabnya dengan berfirman yang bermaksud: "Katakanlah Allah itu satu." Kita tidak pernah mendengar dalam sirah Nabawi bahawa Nabi membenarkan Allah dipersekutu dan disyirikkan. Seperti ditegaskan Saidina Ja'afar ibni Abi Tolib Attayar ketika berdepan dengan Maharaja Najasyi, Raja Habsyah yang beragama Kristian dalam peristiwa hijrah pertama. Walaupun sahabat Nabi datang untuk meminta perlindungan dan bantuan Maharaja Najasyi, tetapi apabila berdepan dengan persoalan akidah, bila ditanya oleh Maharaja Najasyi: "Apakah kamu tidak mempercayai al-Masih (Jesus) itu anak Allah, Saidina Ja'afar tegas membaca Surah Maryam, dan menyatakan bahawa: "Isa al Masih adalah Nabi utusan Allah SWT, bukan anak-Nya!

Tugas dan tanggungjawab kita umat Islam apabila mendengar bahawa ada segelintir manusia sudah menyalahguna nama Allah SWT dalam bentuk syirik dan kufur bukan dengan mendorong, menyokong atau meredai mereka terus mensyirik dan mengkufurkan Allah SWT, tetapi perbetulkan kembali akidah mereka dengan dakwah, seperti yang dibuat Rasulullah SAW dan kalangan sahabat Baginda. Itulah risalah semua Rasul dan Nabi, iaitu menyeru manusia kepada menyembah Allah SWT Yang Satu!

Ada kalangan mereka mendakwa nama Allah SWT bukan milik eksklusif umat Islam, tetapi milik semua manusia kerana Allah SWT itu robbul 'alamin - Tuhan seluruh alam. Maka semua orang berhak menggunakan nama Allah SWT.

Saya menegaskan bahawa tiada siapa boleh menuntut hak dan pemilikan nama Allah SWT kerana nama itu ada pemiliknya, iaitu Allah SWT sendiri. Seperti yang disebut dalam Surah Al-Ikhlas yang bermaksud: "Katakan bahawa Allah SWT itu satu, kepada-Nyalah bergantung segala sesuatu, Dia tidak beranak dan tidak diperanakkan, Dia tidak setaraf dengan sesiapa pun". Maknanya Allah sudah pun menjelaskan apa maksud nama itu dan itu hak-Nya sebagai pemilik nama itu. Siapa kita untuk menyatakan tidak, apatah lagi mengubah makna nama itu kepada selain daripada Allah SWT Yang Satu!

Pengakuan oleh kafir bahawa Allah SWT Maha Pencipta, Maha Peruntuh, Maha Penumbuh, Yang Menghidupkan, Yang Membinasakan, Yang mematikan dan lain-lain disebut sebagai pengakuan Allah dalam bentuk rububiyah, iaitu Allah dalam bentuk sifat. Tetapi dalam bentuk uluhiyyah, dalam bentuk iktikad, kafir ini masih menyembah berhala, patung dan lain-lain. Itulah maksud ayat berkenaan, bukan bermaksud mereka boleh menggunakan nama Allah sebagai Tuhan mereka.

Arab Kristian pun guna Allah

Golongan penyokong Kristian ini mendakwa orang Arab Kristian pun menggunakan nama Allah SWT sebagai nama Tuhan. Saya menegaskan bahawa dalam bahasa Arab, memang mereka hanya tahu perkataan Tuhan itu adalah Allah, tiada ganti lain bagi perkataan God melainkan Allah kerana memang sejak Nabi Adam hinggalah ke zaman Nabi Muhammad, masyarakat Arab hanya tahu nama Allah sebagai Tuhan.

Malah kaum Yahudi dan Kristian memang asal agama mereka pun mempertuhankan Allah yang Satu. Itu yang mereka faham. Malah ada di kalangan Arab Kristian yang koptik (ortodoks) sehingga kini tidak mengakui 'Isa anak Allah, bagi mereka Isa adalah Nabi. Cuma mereka berbeza dengan Islam kerana menolak kenabian Rasulullah SAW.

Tidak semestinya orang Arab Kristian menggunakannya, Kristian di Malaysia juga boleh menggunakannya. Dari segi prinsip 'uruf al balad, pemahaman perkataan itu adalah berbeza mengikut masyarakat yang menggunakannya. Begitulah nama Allah SWT, bagi masyarakat Arab ia dari segi istilah bahasa membawa makna Tuhan, tetapi bagi kita di Malaysia ia membawa makna Tuhan yang khusus, Tuhan yang Satu yang kita sembah.

Agenda halus

Apakah pernah kita bertanya satu soalan yang sangat asas, tanyalah kepada Kristian di sini yang beriya-iya mahu mengguna nama Allah sebagai nama Tuhan mereka, apakah sebenarnya Tuhan kamu. Bukankah kepercayaan kamu adalah kepada Jesus, Tuhan yang menjelmakan dirinya dalam bentuk anaknya dengan tiupan roh suci. Mengapa nama Tuhan kamu Jesus dalam bahasa Inggeris dan lain-lain, tetapi untuk bahasa Melayu, tulisan versi Melayu, di hadapan orang Melayu, nama Tuhan kamu tiba-tiba bertukar menjadi Allah! Tidakkah ini suatu yang pelik?

Sedangkan Reverend Albert Mohler, seorang paderi kanan Kristian di Amerika menolak cadangan Paderi Tiny Muskin dari Belanda yang mencadangkan supaya nama Allah diguna sebagai ganti nama Tuhan. Cadangan Tiny Muskin menerima bantahan besar-besaran oleh masyarakat Euro-Amerika. Tetapi mengapa di Malaysia, penganut Kristian berkeras mahu menggunakan nama Allah sebagai ganti nama Tuhan? Sudah tentu ada udang di balik batu, ada agenda halus yang sedang disusun. Mereka berjaya melakukannya di Indonesia, mereka sedang cuba melakukannya di Malaysia.

Apakah nanti suatu hari mereka akan menuntut, atas nama hak asasi kemanusiaan, supaya Surah Al Ikhlas tidak lagi dibaca kerana mengguris perasaan kaum Kristian yang mempercayai tuhan ada anak, sedangkan surah itu menegaskan Tuhan itu Satu!

Fitnah yang melanda

Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: "Bersegeralah kamu pada melakukan amalan salih kerana akan satu masa nanti kamu akan didatangi suatu fitnah keimanan, fitnah yang datang seperti kepingan malam, kamu tidak akan nampak kedatangannya".

Apakah fitnah itu ya Rasulullah, tanya sahabat. "Kamu Islam waktu pagi, kamu kafir waktu petang, kamu Islam waktu petang, kamu kafir waktu pagi!"

Inilah fitnah yang sedang melanda umat Islam hari ini. Di dalam masjid, kerana dia berjanggut dan berserban, kerana selalu bertakbir kuat, maka dia menjadi imam. Lalu dibacanya surah Al Ikhlas yang bermaksud: "Katakanlah Allah itu Satu, kepada-Nya bergantung segala sesuatu, Dia tidak beranak dan tidak diperanakkan, Dia tidak setaraf dengan sesiapa pun".

Namun orang yang sama, sebaik saja keluar dari masjid, berdiri di pentas politik, dia petah berpidato: "Saudara-saudara, adalah hak rakan Kristian kita untuk menggunakan nama Allah, sebagai Tuhan Bapak, Tuhan yang punya Anak, dan Tuhan yang bersekutu dengan Roh Suci. Kita sepatutnya menyokong dan mendukung tuntutan rakan Kristian kita ini, kita wajib memperjuangkan hak perlembagaan mereka! Takbir..takbir..takbir!!"

Di dalam masjid Allah itu Satu, di atas pentas politik Allah itu punya anak punya sekutu. Mengapa ada di kalangan kita sanggup menjadi ular lidah bercabang dua?

Kalangan sahabat bertanya, "Ya Rasulullah, bagaimana mungkin boleh jadi fitnah keimanan sebegitu dahsyat kepada umat Islam?". Jawab Rasulullah, 'hubbud dunnya, wakarohyatul maut!". Mereka terlalu sayangkan dunia, mereka takut mati!

Inilah yang terjadi kepada umat Islam hari ini. Mereka terlalu sayangkan jawatan, cintakan kedudukan, gilakan habuan, mereka mengejar ayat-kerusi, bukan Ayatul Kursi (Al Baqarah: 255), tetapi kerusi empuk Yang Berhormat, kerusi empuk Ahli Parlimen, kerusi empuk Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), kerusi empuk kekuasaan, kemakmuran, kekayaan dan kedudukan. Mereka takut sangat kedudukan, jawatan dan habuan itu mati, mereka takut kalah di peti undi. Mereka menjadi penyembah demokrasi, mereka nyahkan keagungan Ilahi.

Semoga Allah SWT memberikan kita petunjuk dan hidayah-Nya, dan memelihara keimanan kita, dan memberikan kita kekuatan dan istiqamah untuk berjuang mempertahankan risalah tauhid yang suci ini. Insya-Allah.

Penulis ialah Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu.