Helaian muka

Wednesday, May 6, 2009

Pesta Buku Antarabangsa KL

Menyambut baik pesta buku yang dianjurkan, saya telah menghadirkan diri pada 18hb April 2009. Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) itu diadakan bermula dari 17hb April hingga 26 April tahun ini.

Begitu ramai manusia yang menghadiri pesta tersebut. Pelbagai jenis buku juga boleh didapati dan kebanyakannya buku yang berbentuk akademik. Suasana yang cukup sesak pada hari itu memang menyukarkan saya untuk mencari buku-buku yang diminati. Dengan tempat untuk meletak kereta pun susah untuk didapatkan. Memang benar, saya baru kali pertama sampai ke Putra World Trade Centre (PWTC), sebab itu agak asing bagi saya dalam menyesuaikan diri dengan kemudahan-kemudahan yang ada di situ. Tapi semangat untuk mengenali buku itu tinggi lalu saya teruskan juga misi yang belum sempurna itu.

Dalam letih berjalan sendirian, ada beberapa buku yang saya berminat untuk membelinya. Tetapi oleh sebab wang yang dibawa tidak begitu banyak, maka hanya sebuah buku yang mampu dibeli. Buku yang saya beli itu bertajuk Pemikiran Tun Dr. Mahathir bin Mohamad. Ditulis oleh Abdul Mua’ti @ Zamri bin Ahmad dan terbitan Universiti Malaya. Tidak tahu kenapa saya berminat sangat dengan buku ini. Tapi yang nyata saya memang ingin sangat mengetahui rahsia pemikiran Perdana Menteri Malaysia yang keempat itu. Beliau telah memerintah Malaysia selama 22 tahun dan juga digelar sebagai Bapa Kemodenan.

Buku- buku yang saya berminat tetapi tiada rezeki pada waktu itu untuk saya beli antaranya Sejarah Sumatera, Dua Wajah, dan beberapa lagi yang saya kurang ingat tajuknya. InsyaAllah ada rezeki kemudian hari saya akan membeli buku-buku ini jika terjumpa lagi.

Masuk pada jam 3 petang dan keluar pada jam enam petang. Suatu pengalaman yang menarik bagi saya walaupun agak penat. Jika diadakan lagi pesta seperti ini di kemudian hari, saya pasti akan mengunjunginya jika berkesempatan. Kepada kawan-kawan semua, jadikanlah membaca budaya kita. Banyak ilmu yang akan kita perolehi dengan membaca. Renung-renungkan dan selamat beramal.