Helaian muka

Monday, January 17, 2011

Jejak Pejuang

Pejuang kemerdekaan negara adalah insan yang perlu diberikan penghargaan dalam apa jua bentuk yang sesuai. Penghargaan itu juga patut diberi kepada semua pejuang tidak kira apa ideologi, parti, kaum, agama dan sebagainya. Penghargaan secara adil harus diberikan kepada mereka kerana sanggup berjuang untuk menghalau penjajah dari tanah air tercinta ini.

Siti Binti Nong Ishak @ Siti Sarah Binti Nong Ishak


Anak kelahiran Kampung Lubuk Kawah ini adalah seorang wanita yang keras jiwanya. Beliau tinggal di Kampung Buntut Pulau dan kini umurnya sudah menjangkau 76 tahun. Wanita merupakan mantan perajurit Rejimen ke-10 TRM yang berjuang secara gerila untuk menentang penjajah. Selesa dengan panggilan "Wan", beliau menyatakan bahawa tidak menyesal menyertai angkatan bersenjata untuk melawan penjajah demi mempertahankan tanah air.

Menyertai TRM dalam usia seawal 16 tahun adalah satu pengorbanan yang tidak terhingga kerana telah memilih untuk berjuang di usia yang muda. Mungkin kini kita lihat anak-anak muda yang sewaktu usia beliau menyertai pasukan TRM tidak kira lelaki atau perempuan asyik bersuka ria dan gembira serta bersama dengan keluarga yang tersayang. 

Renungkanlah bagaimana besar pengorbanannya terhadap negara kita yang kini telah merdeka dan bebas. Kita pada hari ini dapat mengecapi pembangunan dan kesenangan adalah juga hasil daripada perjuangan dan pengorbanan insan-insan seperti ini.














Berdiri tiga dari kiri, sdr Ahmad Nizam Hamid dan di tepi sekali belah kanan Raja Burhan Raja Jaapar, bergambar bersama Wan Siti dan juga ahli keluarganya.


Gambar: Indera Segara bersama Wan Siti



Pak Tahir / Penghulu


Insan ini bergelar Pak Tahir atau Penghulu yang sudah agak uzur. Tinggal di Kampung Bangau Tanjung dan beliau kini sudah berusia lebih 70 tahun. Cuba kita bayangkan bagaimana zaman mudanya. Beliau juga merupakan salah seorang mantan Perajurit Rejimen ke-10 TRM yang berjuang untuk memerdekaan Tanah Melayu suatu ketika dahulu yang kini bergelar Malaysia. Walaupun dilihat sudah agak uzur tetapi jiwanya masih keras seperti waktu berjuang dahulu. Terbaring dan percakapan yang sudah tidak jelas serta ingatan yang semakin kabur, di manakah pembelaan dan penghargaan kepada insan ini? 

Kerajaan perlu mengiktiraf pejuang-pejuang ini kerana masih ramai pejuang seperi dua orang insan ini yang diabaikan oleh kerajaan tanpa diberi penghargaan yang sepatutnya.

Sdr. Ahmad Nizam Hamid dan Raja Burhan Raja Jaapar di hadapan rumah Pak Tahir 
yang terletak di Kampung Bangau Tanjung, Temerloh

Anak-anak muda perlu sedar dan bangkit untuk membela nasib mantan-mantan pejuang kemerdekaan ini. Mereka tidak mahu harta, pangkat, anugerah darjah kebesaran atau wang ringgit, tetapi mereka hanya mahu dihargai seperti tokoh-tokoh kemerdekaan yang lain.

Negara kita miskin penghargaan. Inilah kenyataan seorang rakan yang prihatin dengan nasib pejuang-pejuang yang tidak dicanang ini. Anak-anak muda perlu lakukan sesuatu agar perjuangan mereka dicatat dalam sejarah dengan sejujurnya dan tidak diseleweng. Bangkitlah anak muda untuk memecah dan membongkar sejarah yang telah lama dibekukan ini.

Sekian.

Saturday, January 1, 2011

Diskusi Kebudayaan: Kemampuan Dasar Kebudayaan Kebangsaan Sebagai Alat Perpaduan & Cabaran-cabarannya

Hari pertama tahun baru 2011 iaitu 1hb 1 2011, jam 10 pagi menyaksikan sebuah majlis diskusi yang dianjurkan oleh Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia yang bertempat di Bangunan ABIM, Taman Cemerlang, Gombak, Selangor.


Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang umurnya kurang lebih sama dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB) diwujudkan adalah untuk perpaduan kaum di Malaysia selepas terjadinya peritiwa 13 Mei. Usaha murni PKPIM untuk mengetengahkan dasar ini semula adalah satu usaha yang baik.

Dasar ini wujud tetapi tidak ramai yang mengetahuinya. Kelihatan boleh disifatkan seperti hidup segan mati tidak mahu. Namun peranan dasar ini dirasakan penting dalam meneruskan kelansungan negara Malaysia yang berbilang kaum ini.

Tiga orang panel yang hebat dijemput untuk hadir dalam diskusi ini ialah Datuk Dr Hassan Ahmad (bekas Ketua Pengarah DBP), Prof. Emeritus Abdullah Hassan (Pensyarah Fakulti Bahasa UPSI) dan Prof. Emeritus datuk Dr. Nik Hassan Shuhaii (ATMA, UKM).


Datuk Dr Hassan Ahmad hujahnya menyatakan bahawa Dasar Kebudayaan Kebangsaan berteraskan tiga unsur iaitu kebudayaan pribumi, unsur-unsur kebudayaan bukan bumiputra dan nilai-nilai Islam.

Prof. Emeritus Abdullah Hassan pula mengulas mengenai bahasa dan beliau berpendapat bahawa bahasa tidak mampu untuk menyatukan. Kata beliau, "jika bahasa itu boleh menyatukan, Umno dan Pas tidak akan bergaduh". Pendapatnya ini ada benarnya.

Panel yang ketiga pula iaitu Prof. Emeritus datuk Dr. Nik Hassan Shuhaii (ATMA, UKM) mengulas mengenai sejarah dan antropologi Melayu. Beliau juga mengulas mengenai subjek sejarah yang diajar di sekolah dan halangan-halangan yang wujud dalam merealisasikannya.

Indera Segara berminat mengenai kata-kata Prof. Emeritus Abdullah Hassan di sesi akhir iaitu beliau mengatakan "Adapun peradaban melayu itu adalah sebuah peradaban besar, sebuah peradaban maritim yang luas, meliputi wilayah Lautan Hindi dan lautan Teduh". Sambungnya lagi "sejak awal lagi, peradaban Melayu ini meninggalkan karya intelektual, hikayat dan kanun yang tertulis pada prasasti dan juga daun lontar, kertas ...". Tambahnya lagi "bahkan, pada Masa George Chaucer menuliskan "The Canterbury Tales" sarjana Melayu sudah mengarang karya falsafah besar, ada hikayat dan ada kanun ...". Oleh itu, beliau berkata bahawa kita tidak perlu malu kepada dunia.

Setelah selesai sesi diskusi, Presiden PKPIM iaitu saudara Muhammad Faisal Abdul Aziz telah membacakan kenyataan media PKPIM mengenai Dasar Kebudayaan Kebangsaan.

Kemudian di akhir majlis, pengerusi majlis telah mengumumkan mengenai Tabung Misi Kebudayaan Kebangsaan yang sumbangan awalnya adalah dimulakan oleh tiga orang panel yang hadir. Kemudian tabung itu diedarkan kepada audien yang hadir.


Majlis tamat dan bersurai sekitar jam 12 tengahari.

Indera Segara berharap semoga usaha PKPIM ini akan membuahkan hasil dan seterusnya matlamat Dasar Kebudayaan Kebangsaan itu akan tercapai. InsyaAllah.



Hari Baru

Hari baru yang mendatang,
cerita baru juga datang,
pelbagai cerita yang akan dikarang,
ada yang gelap dan ada yang terang.
mengikut gerak tangan pengarang,
teknologi lama atau moden zaman sekarang.

Hari baru yang mendatang,
aku harap kau akan pulang,
seperti mentari pagi yang terang,
hari-hari muncul berulang,
bagai fajar yang menyinsing di waktu petang,
buku yang lama jangan dibuang.

Hari baru yang mendatang,
pelbagai kisah dan ragam orang,
ada yang mungkin cemerlang,
dan ada yang mungkin kecundang,
yang baik jadi harapan setiap orang,
jangan biar buku baru terconteng arang.