Helaian muka

Saturday, May 22, 2010

Judi Dan Arak

Al-Quran menyebut: (maksud)

“Mereka bertanya engkau (wahai Muhammad) tentang arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa (keburukan) yang besar dan manfaat kepada manusia. Namun dosa (keburukan) keduanya lebih besar dari manfaatnya” (Surah al-Baqarah ayat 219).

Melihat pada maksud ayat al-Quran di atas ini, jelas la bahawa arak dan judi itu keburukannya lebih besar daripada manfaat (kebaikan). Jadi sebab inilah keduanya diharamkan di sisi Islam.

Semenjak Datuk Dr Awang Adek Hussein yang merupakan Timbalan Menteri Kewangan mengumumkan pemberian lesen judi bola sepak kepada kumpulan BERJAYA, seluruh Malaysia tidak kira umat Islam atau bukan Islam merasakan tidak puas hati. Pelbagai kenyataan yang berbentuk bantahan dibuat oleh wakil-wakil parti politik di Malaysia.

Siang tadi telah diadakan demo di beberapa negeri selepas solat Jumaat untuk membantah pemberian lesen judi tersebut. Demo bantahan ini dikemudikan oleh wakil-wakil daripada Parti PAS. Namun demo ini dianggap hanya "panas badan" kerana akan datang akan diadakan demo besar-besaran ke Istana Negara untuk menunjukkan bantahan. Semoga mereka berjaya mendesak supaya lesen judi tersebut ditarik kembali atau dibatalkan.

Berbalik kepada maksud ayat al-Quran di atas tadi, ia tidak menyatakan hanya judi, tetapi berpasangan dengan arak. Persoalannya di sini, mengapa tidak demo untuk arak juga? Sedangkan kita tahu dan seluruh rakyat Malaysia juga tahu bahawa negara kita ini juga menjual arak. Lesen penjualan arak diberikan kepada syarikat-syarikat atau premis-premis tertentu. Ternyata ramai juga di kalangan muda mudi yang beragama Islam yang terjebak dengan gejala minum arak ini.

Lesen judi dikeluarkan tetapi judi tersebut hanya untuk orang-orang bukan Islam dan orang-orang Islam haram untuk melibatkan diri dalam judi bola tersebut. Namun orang Islam mungkin sahaja boleh terlibat dengan judi ini jika tiada pengawalan yang ketat dilakukan. Situasi atau keadaan ini sama juga dengan lesen penjualan arak. Lesen penjualan arak diberikan dan tidak boleh dijual kepada orang-orang Islam. Namun ia juga bergantung kepada akidah orang-orang Islam juga. Ini kerana sebilangan besar orang-orang Islam yang dengan bersahaja membeli arak dan meminumnya.

Dari segi proses pemberian lesen dan operasi judi dan penjualan arak ini adalah lebih kurang sama tetapi persoalannya kenapa penjualan arak di Kelantan tidak ditentang seperti tentangan terhadap pemberian lesen judi ini? Sedangkan arak juga haram di sisi Islam. Tuan Guru Nik Aziz membenarkan arak dijual di Kelantan dengan syarat ia tidak dijual kepada orang-orang Islam dan jika jika penjual ditangkap kerana menjual kepada orang-orang Islam, maka lesen akan ditarik. Lebih kurang beginilah ucapan TGNA yang saya dengar sewaktu di Felda Sungai Tengi, semasa PRK di Hulu Selangor. Persoalannya, adakah benar dan pasti tiada orang Islam di kelantan yang membeli arak? Adakah begitu ketat kawalan dan penguatkuasaan di sana?

Mungkinkah kerana dia terkenal sebagai Tuan Guru dan ulama', maka segala keputusan dan tidakannya akan betul? Datuk Dr Awang Adek Hussein pula merupakan ahli Umno maka keputusan atau tindakannya segalanya adalah salah.

Bagaimana pula situasi di Brunei? Negara Brunei terus mengharamkan arak tanpa ada kompromi. Ini kerana jika Allah ingin menurunkan bala, ia bukan diturunkan kepada si peminum dan penjual arak sahaja, tetapi kepada semua manusia lain yang ada disekeliling juga. Tidakkah hujah ini cukup kuat?

Baiklah, saya menulis kali ini sekadar untuk meluahkan persoalan di dalam akal fikiran saya. Saya juga ingin mengajak saudara dan saudari yang membaca tulisan saya ini untuk berfikir sejenak. Mari kita renungkan bersama. Arak dan judi diharamkan oleh Allah. Siapa kita sebagai hambanya untuk menghalalkannya.

P/S: Saya minta maaf kepada penyokong Pas dan TGNA jika tulisan saya ini bercanggah atau menyakitkan hati. Tiada niat untuk menyakitkan hati mana-mana pihak. Sekadar menulis untuk mencari kepastian. Sekian.

Thursday, May 20, 2010

Banjir Kilat Di Jalan Reko

Jika kawasan luar bandar, banjir selalunya akan terjadi apabila tiba musim tengkujuh sekitar beberapa bulang di hujung tahun dan beberapa bulan di awal tahun berikutnya. Tetapi di kawasan bandar berlainan pula fenomenanya, limpahan air akan berlaku apabila hujan lebat turun membasahi bumi. Limpahan air ini digelar banjir kilat kerana limpahan air akibat hujan yang lebat.

Limpahan air ini berlaku mungkin sahaja kerana air hujan yang banyak tetapi tiada tempat untuk disalurkan. Bumi tentu sekali tidak dapat menyerap kerana kawasan dataran di bandar ditutupi dengan tar dan batu. Manakala kawasan bukit disekeliling bandar pula habis botak dikerjakan untuk bangunkan menjadi taman perumahan. Jadi inilah hakikat yang manusia di bandar perlu terima dengan rela dan redha. Demi pembangunan dan kemudahan untuk sekalian manusia, mereka terpaksalah menerima kesan negatif hasil daripada tangan mereka ini.

Kejadian banjir kilat seperti dalam gambar yang dipaparkan ini berlaku di Jalan Reko, Seksyen 5 West Country yang berhampiran dengan Hentian Bas Kajang. Kejadian ini berlaku di waktu petang apabila hujan lebat mula turun di sekitar kawasan Bangi dan Kajang sekitar jam 4 hingga 5.

Hujan lebat yang agak lama itu telah melimpahkan air ke atas jalan dan menyebabkan kesukaran kenderaan untuk melalui jalan tersebut. Kesesakan lalu lintas telah berlaku kerana sesetengah kereta tidak berani untuk meredah air banjir kerana bimbang akan terkandas dan seterusnya mungkin akan merosakkan kenderaan.

Inilah kesan kerosakkan di bumi hasil sentuhan tangan manusia. Harapan semoga pihak yang bertanggungjawab atau pihak yang berkepentingan serta masyarakat agar lebih peka dengan isu sebegini. Pembangunan yang dirancang biarlah lebih teratur dan terurus dan mengambil kira kepentingan alam sekitar juga. Bukannya hanya memikirkan hasil keuntungan semata-mata.

Bangunlah Wahai Anak Muda!!!

Apabila kita dalam perjuangan, tentu sahaja pelbagai cara dilakukan untuk menaikkan semangat untuk terus berjuang agar jauh dan terhindar daripada rasa putus asa. Antara yang selalu kita lihat ialah penggunaan panji atau bendera, puisi-puisi yang membakar semangat, dan juga lagu.


Namun, dipaparan kali ini saya ingin memaparkan video lagu yang bagi saya cukup memberi semangat kepada sesiapa sahaja yang ingin berjuang teruatama kepada anak muda. Justeru itu, marilah kita menghayati irama, lirik dan video lagu yang bertajuk " Adakah Kau Lupa " yang saya salin dan pindahkan ke blog saya untuk tatapan saudara dan saudari sekalian.

Semoga kepada yang sudah mempunyai semangat untuk berjuang akan tambah lebih bersemangat dan tidak akan cepat putus asa. Manakala bagi yang jiwanya masih kosong, harap akan terbit kesedaran semangat untuk berjuang. Bangunlah wahai anak muda!!!

Monday, May 17, 2010

Bantah Konsert 12 Jam Pitbull!

Hiburan merupakan satu perkara yang jika berlebihan mungkin sahaja akan melalaikan. Oleh itu ia perlulah dikawal agar tidak berlebihan dan seterusnya mungkin akan memudaratkan masyarakat terutama golongan anak muda. Hiburan yang berlebihan akan melekakan golongan muda mudi ini. Generasi akan datang yang lahir akan lemah dan tiada jati diri serta semangat kerana tenggelam dalam lautan hiburan yang tentu sahaja sangat menyeronokkan.

Melihat isu yang sama panas dengan isu judi iaitu konsert 12 jam Pittbull yang mendapat bantahan pelbagai pihak dan didesak supaya dibatalkan. Pendirian saya sebagai masyarakat dan secara khususnya seorang anak muda, saya sangat bersetuju dengan bantahan yang dilakukan oleh insan-insan yang sedar dan prihatin dengan isu ini. Konsert ini tentu sahaja mengundang pelbagai kesan negatif seperti maksiat dan lain-lain lagi.

Cukuplah hiburan yang telah banyak di negara kita ini. Anak muda di negara ini sudah terlalu tepu dengan hiburan. Di mana-mana sahaja sumber hiburan boleh didapati. Tentu sahaja sumber yang paling baik ialah media elektronik. Pelbagai jenis hiburan yang dapat ditonton dan rancangan yang paling popular dan menjadi kegilaan masyarakat hingga sanggup membelanjakan wang ringgit untuk mengundi dengan menggunakan khidmat pesanan ringkas (sms) ialah Akademi Fantasia. Rancangan ini sahaja telah banyak memberi impak yang negatif kepada masyarakat terutama anak muda termasuk rancangan realiti tv yang lain seperi Mentor, Once In A Million dan lain-lain lagi.

Akhirnya anak muda seperti membesar dalam acuan budaya hiburan yang mengabaikan aspek-aspek penting dalam kehidupan seperti berpegang pada norma-norma agama Islam, prinsip perjuangan, memainkan peranan dalam membentuk budaya, masyarakat dan negara akan datang yang lebih baik daripada hari ini.

Oleh itu, sekali lagi saya ingin menegaskan bahawa kita perlu membantah dan menyokong bantahan yang akan dianjurkan. Ini bukan berkaitan dengan kepentingan sesetengah individu atau sesetengah golongan, tetapi ia berkaitan dengan dengan masyarakat dan diri kita sebagai anak muda pewaris negara.

Wednesday, May 12, 2010

'BERJAYA perolehi lesen judi bolasepak' - Ayuh bangkit dan bantah!!!

 Sumber gambar - Rakyat Marhaen Group ( http://networkedblogs.com/3M6Di )

Menurut akhbar harian Cina, Sin Chew, menteri kewangan ( Datuk Dr Awang Adek Hussein ) semalam secara rasminya memberi lesen judi berkenaan kepada Kumpulan BERJAYA.Sin Chew juga memetik sumber yang berkata, masyarakat Islam akan dilarang daripada terbabit dengan pertaruhan bolasepak itu. ( Sumber- http://www.malaysiakini.com/news/131567 )

Inilah dia bukti "rakyat didahulukan" apabila meneruskan juga pemberian lesen judi ini walaupun telah mendapat bantahan. Mungkin diharamkan kepada orang-orang Islam namun dapatkah ia dikawal kerana kita begitu jelas dengan fenomena orang-orang Islam di luar sana yang segelintir menjadi pelanggan kedai judi seperti TOTO, MAGNUM dan lain-lain.

Perlukah kita melakukan demontrasi bantahan secara besar-besaran? Ke mana perginya wira-wira Perkasa? Ke mana perginya suara-suara lantang NGO Melayu lain? Ketua agama Islam negara dan negeri mendiamkan diri? Diharapkan akan bangkit barisan yang dapat membantah dan menghalang kegiatan judi bola sepak ini daripada diteruskan kerana kita sudah jelas dengan pelbagai kesan negatif yang akan wujud hasil daripada perjudian ini. Ayuh bangkit dan bantah!!!

 Al-Quran menyebut: (maksud)

Mereka bertanya engkau (wahai Muhammad) tentang arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa (keburukan) yang besar dan manfaat kepada manusia. Namun dosa (keburukan) keduanya lebih besar dari manfaatnya” (Surah al-Baqarah ayat 219).

Monday, May 10, 2010

"Tongkat"

Sudah kebiasaan bagi sesetengah orang yang mempunyai kesulitan atau tiada upaya untuk berdiri atau berjalan dengan normal pasti akan menggunakan tongkat. Kita tentu pernah melihat orang yang patah kaki akan berjalan terhincut-hincut dengan menggunakan tongkat. Begitu juga bagi orang yang sudah berumur yang kakinya sudah tidak kuat tentu sahaja akan menggunakan alat bantuan untuk berdiri atau berjalan itu. Itulah namanya tongkat. Alat bantuan atau tempat kebergantungan bagi sesiapa yang tiada keupayaan.

Namun kali ini saya bukan hendak bercerita tentang kegunaan dan kepentingan tongkat. Saya sebenarnya amat tertarik dengan kenyataan yang dibuat oleh seorang fasilitator kursus BTN yang saya telah hadiri bulan Mac lepas. Beliau menyatakan dengan penuh semangat yang berbunyi "orang Melayu masih memerlukan tongkat!". Barisan peserta kursus yang seramai 101 orang itu terpegun dan seperti begitu semangat untuk menyokong.

Ketika itu saya juga terpegun tetapi kehairanan yang timbul lebih tinggi. Sebagai seorang anak muda Melayu yang berjiwa besar dan masih kuat, kenapa saya memerlukan tongkat? Terselit sebuah persoalan yang mungkin akan terus melahirkan persoalan-persoalan yang lain. Jelas sebenarnya ketika waktu itu saya berasa kesal dengan kenyataan fasilitator tersebut. Begitu cetek dan lemah pemikiran dan semangatnya. Jika waktu itu merupakan sesi forum atau dialog umum, tentu sahaja saya akan menanyakan berbagai soalan kepadanya dan lantas pasti akan menolak sekeras-sekerasnya kenyataan tersebut. Sungguh memalukan bangsa Melayu yang suatu masa dahulu merupakan satu bangsa dagang yang cekal dan mempunyai semangat yang tinggi.

 Gambar Hiasan - Inikah gambaran orang Melayu yang masih memerlukan "tongkat"?
Bagiku pula begitu rugi jika seorang anak muda khususnya anak muda Melayu yang masih memerlukan tongkat untuk hidup. Tidak terlalu keras jika saya mengatakan lebih baik mati sahaja jika anak muda yang sihat dan kuat tetapi perlukan tongkat untuk hidup. Daif sangatkah orang Melayu? Lemah sangatkah kaki orang Melayu? Ke mana perginya kekuatan orang Melayu? Adakah orang Melayu semuanya cacat kakinya? Adakah orang Melayu semuanya tidak pandai berjalan dan memerlukan tongkat sebagai bantuan? Lontaran persoalan kepada sekalian pembaca. Tepuk dada dan tanya selera. Jawapannya pasti ada di dalam diri anda.

Sekali lagi saya ingin mengetengahkan mengenai tongkat yang tersuratnya merupakan alat bantuan untuk berjalan atau berdiri bagi yang tiada upaya. Apakah maksud tersirat yang cuba disampaikan oleh fasilitator mengenai tongkat tersebut? Mungkinkah dia memaksudkan bahawa tongkat itu ialah pembela bagi orang Melayu. Pembela yang akan membantu orang-orang Melayu untuk terus maju dan terus keluar dari kepompong kemiskinan. Begitukah maksudnya? Siapa pula pembela yang dimaksudkan itu?

Jika berkaitan dengan orang Melayu, rasanya tidaklah susah untuk merungkai persoalan ini. Tentulah Umno yang sejak dari mula penubuhannya yang memperjuangkan nasib orang Melayu dengan slogan “Hidup Melayu!” atau ia mungkin juga sebuah badan bukan kerajaan Melayu yang baru ditubuhkan iaitu Pribumi Perkasa Negara yang diterajui oleh Ibrahim Ali yang kini sedang giat kononnya memperjuangkan institusi Raja Melayu.

Namun, saya pasti ia tentu sekali fokus kepada Umno kerana parti ini merupakan sebuah badan yang berkuasa dalam kerajaan Malaysia. Tetapi kuasanya kini kian goyah dengan pelbagai isu yang menghilangkan kepercayaan orang Melayu dan masyarakat Malaysia secara umumnya. Kenyataan "orang Melayu masih memerlukan tongkat!" ini hanyalah sebuah propaganda yang mahu mengekalkan atau meningkatkan kebergantungan orang melayu terhadap Umno. 

Boleh di sini saya simpulkan bahawa “tongkat” orang Melayu ini kian reput dan mungkin sahaja tidak berguna lagi. Itu tidak bermakna orang Melayu akan menjadi lemah atau hilang upaya, tetapi orang Melayu kini sudah hebat dan boleh untuk berdiri sendiri. Inilah percubaan besar bagi orang Melayu iaitu berani untuk berdiri dan berjalan tanpa menggunakan “tongkat”. Inilah masanya untuk melangkah keseluruh pelusuk dunia. Melangkah dengan berani dan bersemangat. Campakkkan tongkat dan teruskan perjalanan dengan penuh gaya dan segak. Itulah dia anak muda Melayu yang sebenar.

Saya menyeru kepada semua anak muda terutama anak muda Melayu agar tampil lebih berani dan melakukan perubahan di dalam diri dan pemikiran. Sudah tiba masanya kita berubah. Anak muda tidak boleh ketinggalan kerana kita adalah pewaris negara. Oleh itu kita perlu lebih kuat dan hebat daripada orang-orang sebelumnya. Kita sudah tidak memerlukan “tongkat”. Keberanian dan semangat itu yang sepatutnya dijadikan azimat dan pegangan keramat.

Sebagai penutup coretan saya ini, ingin saya kongsikan pepatah Melayu Mengkasar yang dipetik oleh Prof. Hamka yang berbunyi, “Anak laki-laki tidak boleh dihirau panjang, hidupnya ialah buat berjuang, kalau perahunya telah dikayuhnya ke tengah, dia tak boleh disurut palang, meski bagaimana besar gelombang. Biar kemudi patah, biarkan layar robek, itu lebih mulia daripada berbalik haluan pulang”. Marilah bersama kita renung-renung dan fikirkan.

Thursday, May 6, 2010

Ibu

Ibuku ibu yang mithali. Mungkin insan lain melihat dia hanya seorang biasa. Mungkin hanya jiran-jiran sekitar tempat tinggalku sahaja yang mengetahuinya. Namun yang mengetahui hanya bagi jiran yang ambil peduli dan perihatin. Mungkin sekalian alam yang menyaksikannya sahaja yang mengerti tetapi hanya mampu menyaksikan dalam bisu. Ketika itu aku melaluinya tanpa penuh pengertian dalam diri seorang anak.

Ayahku meninggal dunia ketika aku berusia seawal umur 2 tahun. Semenjak itu, ibuku membesarkanku dengan titik peluhnya sendiri. Mencari rezeki menjual hasil pertanian di pekan sehari di bandar Triang yang lebih kurang 10km atau lebih dari kampungku. Alhamdulillah hasil rezekinya mencukupi untuk menyara hidup kami. Walaupun kadang-kadang seperti tidak mencukupi, namun syukur Allah itu Maha Kaya kerana mencukupi kekurangan dalam hidup kami.

Kisah ini sewaktu aku bersekolah rendah. Teratak tempat tinggalku jauh dengan sekolah dan lebih pedih apabila tiada kenderaan awam yang boleh aku naik untuk pergi ke sekolah. Ini kerana rumahku tidak berada di jalan utama. Namun semangat untuk menuntut ilmu dan dorongan ibuku membuatkan aku kuat untuk melalui semua ini.

Untuk mendapatkan bas sekolah, aku terpaksa menaiki basikal ke jalan utama yang memakan masa lebih kurang 10 hingga 15 minit perjalanan. Ibuku akan mengejutkan aku seawal pagi kerana bas sekolah tiba di tempat perhentian dalam jam 7. Jadi kebiasaannya aku akan bangun seawal jam 6 untuk solat subuh dan bersiap untuk ke sekolah.

Pakaian aku semua sudah siap bergosok. Begitulah ibuku melayan aku yang tidak pandai untuk menggosok pakaian sendiri. Sudah belajar namun masih juga tidak pandai. Dengan sarapan yang sudah siap dihidangkan, aku menjamah sebelum turun dari rumah. Kebiasaan aku akan turun dari rumah dalam jam 6.30 pagi atau jam 6 jika aku ingin lebih awal ke sekolah kerana terdapat juga bas sekolah yang memulakan operasinya sekitar jam 6.30 atau 6.45 pagi.

Suasana awal pagi itu masih lagi gelap dan kenderaan masih lagi tidak banyak melalui jalan di kawasan kampungku. Ibuku mengikut di belakangku untuk menghantar aku separuh jalan kerana aku takut untuk melalui jalan itu ketika waktu masih gelap. Lebih 500 meter kawasan hutan tebal yang berbukit perlu aku lalui dengan pelbagai kisah seram yang pernah aku dengar. Namun ibuku tetap juga menemaniku dengan berbekalkan lampu suluh yang kecil dan sebilah parang sebagai senjata untuk mempertahankan diri jika berlaku sebarang perkara yang tidak diingini. Ibuku kelihatan berani dan hebat dengan parang di tangannya namun dia tetap seorang wanita.

Kebiasaannya ibuku akan menghantarku ke separuh jalan kawasan yang berhutan dan dari situ baru akan menaiki basikal lalu memecut tanpa menoleh ke belakang lagi. Zalimkah aku pada waktu itu kerana membiarkan ibuku keseorang dalam kegelapan yang dikelilingi oleh hutan tebal? Namun ibuku tidak mahu aku memikirkan tentang itu. Dia hanya mahu aku selamat sampai ke sekolah dan dapat menuntut ilmu. Itulah matlamat dan impiannya yang mahukan anak tunggalnya ini berjaya dalam hidup.

Tetapi aku tidak pernah mendengar ibuku merungut walau sepatah kata pun. Lidahnya bagai terkunci oleh pengobanan itu. Meletakkan dirinya dalam bahaya setiap hari hanya untuk melepaskan anaknya pergi ke sekolah. Pernah satu ketika seekor babi hutan yang aku kira sebesar seekor kuda melintas di tengah jalan tidak jauh dari kami. Aku sudah ketakutan namun ibuku tidak sedikit pun berundur. Dia meminta aku meneruskan perjalanan dan dia akan tetap mengiringiku. Sampai di kawasan tempat babi hutan itu melintas, dia menyuruhku untuk mula mengayuh basikal. Berat hatiku untuk meninggalkannya namun aku terpaksa. Aku mula mengayuh dan ibuku masih berdiri di tempatnya. Dia akan memerhatikan aku sehingga aku tiada lagi di pandangannya dan kemudian baru dia akan berpaling dan terus pulang.

Pernah juga suatu ketika ada beberapa orang Cina yang memburu babi di kawasan tersebut. Aku telah meninggalkan ibuku dan mengayuh basikal seperti biasa. Tiba-tiba aku mendengar bunyi tembakan. Aku sangat terkejut. Setibanya aku di tempat yang berbunyi tembakan itu, aku melihat beberapa orang Cina sedang mencari babi hutan yang mereka tembak. Aku meneruskan perjalan hingga ke rumah ibu saudaraku di mana tempat aku meletak basikal sebelum aku menaiki bas untuk ke sekolah. Setelah aku meletak basikal dan ingin menuju ke tempat perhentian bas, aku melihat ibuku termengah-mengah dalam langkah yang agak pantas menuju ke arahku. Kebetulan hari itu ibuku memang ingin ke rumah ibu ibu saudaraku itu. Setelah mendengar bunyi tembakan, langkah menjadi pantas untuk meneruskan perjalanan. Pasti ketika itu hatinya diselubungi dengan keresahan dan kerisauan. Dia bimbang jika apa-apa terjadi kepadaku. Dia bimbang jika tembakan pemburu babi itu mengenai tubuhku. Ibuku bersyukur aku selamat. Raut wajahnya gembira walau dalam kepenatan dan termengah-mengah untuk bernafas.

Kini umurku sudah menjangkau 24 tahun. Jalan yang aku lalui dulu pun sudah tidak menyeramkan sangat. Hutan yang tebal dulu kini sudah agak nipis dimamah masa. Aku pun sudah bekerja di perantauan. Bila ku kenang kembali kisah ini, aku rasa sedih. Namun ego seorang lelaki sering menyorokkan air mata ini. Tahun 2010 ini ibuku sudah berusia lebih 62 tahun. Usia telah membataskan pergerakannya. Namun sikap ambil berat dan perihatin terhadap anaknya ini masih lagi seperti dulu yang langsung tidak dimakan usia. Sungguh aku menyayangi ibuku dan dialah ibu yang mithali yang sukar untuk dicari ganti. Terima kasih ibu.
 Kabur - Gambar bersama ibu di Putrajaya
Sesungguhnya banyak silap dan dosaku kepada ibu. Dewasaku ini akanku balas segala jasa dan pengorbananmu. Moga ibu akan berbahagia di dunia dan akhirat sana.

Wednesday, May 5, 2010

Pena














Pena,
sungguh ia amatlah berguna;
bisa melukis berbagai rupa;
tiap titipnya ada seribu makna;
makna yang menterjemah segenap lautan.

Pena,
menari mengikut rentak;
langkah cantik indah terpuji;
langkah sumbang songsang dihayati;
yang mulia bisa menjadi keji.

Pena,
menitip kenangan lalu;
membentuk jati diri untuk maju;
melakar masa depan;
membina tugu harapan.

Pena,
yang gembira bisa menjadi duka;
yang duka bisa lahir gelak ketawa;
meluahkan segala rasa;
bagai jiwa berasa lega.

Pena,
membongkar sebuah kebenaran;
mengubah segenap kesilapan;
yang berkuasa disanjung tinggi;
yang lemah dicaci maki.

Pena,
berteman jari jemari;
di atas sebidang kertas;
menulis kata demi kata;
mampu menggegar jiwa dan raga.

Pena,
selagi punya daya;
selagi jari punya kuasa;
tiada pernah sia-sia;
selamanya berguna.

Tuesday, May 4, 2010

ABE
















Dari selatan ke selatan,
dari Patani ke serata pelusuk Malaya;
berbekalkan jiwa yang cekal;
hijrah untuk mencari rezeki;
hijrah mencari sesuap nasi.

Sana sini kelihatan,
rata-ratanya di kedai makan;
ada yang datang haram;
dan ada yang datang halal;
masakan tomyam menjadi modal.

Mereka kelihatan gembira,
Malaya bagai syurga;
di sana mereka derita;
tanah air bagai neraka;
menyaksikan kematian sanak saudara.

Bunyi tembakan dan pengeboman,
sudah lagi tidak asing;
kanak-kanak ramai yang menjadi yatim;
moga suatu hari lahir ramai pembela;
Patani merdeka lebur segala derita.