Helaian muka

Thursday, December 10, 2009

Inikah Contoh Seorang Pemimpin?



Sumber gambar ini ialah dari laman Malaysiakini.com. Sebelum ini aku juga telah melihat gambar ini di akhbar-akhbar lain. Apa yang aku lihat di sini ialah satu kesalahan moral. Kesalahan moral yang memalukan jika dilakukan oleh seorang yang mempunyai status sebagai wakil kepada rakyat. Apakah dosa tiga insan seperti dalam gambar yang dilangkah itu? Beginikah sifat seorang pemimpin? Aku tidak mahu menyentuh soal politik, tetapi soal moral sebagai seorang manusia dengan manusia yang lain. Semua ini tidak sepatutnya terjadi. Pemimpin sepatutnya menjadi contoh yang baik kepada rakyat. Mengejak rakyat kepada kebaikan. Aku berharap selepas ini insan-insan yang telah melakukan perbuatan yang tidak bermoral ini akan insaf dan tidak akan melakukannya lagi.

Wassalam.

Nasib Seorang Pahlawan



Sewaktu melayari internet, aku tidak sengaja telah terjumpa gambar-gambar ini di blog hazis.wordpress.com/salasilah-sultan-pahang. mengikut maklumat yang didapati di dalam blog tersebut, penulis menyatakan bahawa gambar ini merupakan gambar seorang pejuang Melayu yang menentang penjajah yang namanya juga tersohor di negeri Kelantan iaitu Tok Janggut atau nama sebenarnya Haji Mat Hassan.

Sedih aku melihat bagaimana seorang pejuang Melayu yang telah diperlakukan dengan sebegini zalim. Aku terfikir sejenak. Di manakah tempat bagi pejuang yang terkorban kerana mempertahankan agama, bangsa dan tanah airnya ini? Jasanya seolah-olah telah larut ditelan zaman. Aku pasti anak-anak muda zaman sekarang langsung tidak mengenali beliau dan tahu mengenai sejarah perjuangan beliau menentang penjajah.

Marilah kita merenung kembali bagaimana perit, lelah dan seksaan yang insan-insan berjuang ini telah lalui demi membela agama, bangsa dan negara. Semoga kita akan lebih sedar dan insaf dan kembali ke jalan perjuangan yang sebenar.

Patani - Bangunlah! Bangkitlah!

Hari ini Khamis, 10hb Disember 2009 aku seolah-olah terpanggil untuk mencari video klip mengenai Patani di laman sesawang youtube. Apa yang aku dapat adalah video ini. Menyaksikan satu bentuk penindasan dan kekejaman ke atas segolongan manusia yang menuntut kemerdekaan tanah air tempat mereka lahir dan membesar.

Bila aku renung kembali, aku rasa alpa. Aku merupakan seorang anak muda yang lahir setelah tanah airku merdeka. Aku tidak merasakan apa yang dirasa oleh insan-insan yang berjuang dan tertindas seperti yang boleh dilihat di dalam video tersebut. Berjuang demi agama, bangsa dan negara. Ini bukannya hanya satu slogan sebuah propaganda tetapi sebuah realiti insan-insan yang berjuang.

Di sini aku coretkan harapan semoga seluruh rakyat terutama anak-anak muda di tanah airku mempunyai jati diri untuk mempertahankan agama, bangsa dan negara. Bukannya hanyut dibawa arus deras globalisasi dan lemas dalam lautan gejala sosial. Agama sepatutnya didukung bagai menatang minyak yang penuh. Bangsa dan negara dipertahankan sebagai warisan berzaman.

Tuesday, November 24, 2009

Selamat Hari Raya Aidiladha

Assalamualaikum..
Sudah lama saya tidak membuat posting kerana agak sibuk dengan pelbagai urusan dunia ini. Sempena sambutan perayaan Hari Raya Aidiladha yang semakin hampir ini, saya ingin mengucapkan selamat menyambut perayaan tersebut kepada rakan-rakan yang mengenali dan sesiapa sahaja yang membaca blog saya ini.

Sekian,
Indera Segara

Wednesday, October 14, 2009

Langkah Mencari Sinar

Sinar yang terang ku kejar,
ku yakin di sana pasti ada maknanya,
aku menipu diri,
ku tipu diri ini,
supaya aku tidak kenal erti putus asa,
agar dapat ku teruskan jua langkah ini.

Duri begitu tajam,
tercacak penuh di tengah jalan,
kurelakan jua,
biarpun cedera berdarah kaki ini,
aku tetap cekal,
demi mendapatkan engkau wahai sinar.

Wahai sinar yang menerangi,
setelah ku capai janganlah kau lari,
bersamalah dengan ku walau di mana-mana,
ku bersyukur kau ada di sisi,
ku pasti tidak lagi sendiri,
miliki taufiq dan teman hidayah dariMU.

Hipokrit!















Senyum terukir hingga ke telinga,
lambaian tangan tidak pernah kenal erti lenguh,
teguh berdiri biar dimamah panas mentari terik,
kaki melangkah biar sampai ke limbah,
membantu yang daif bagai diri bekas pengemis,
agama, bangsa dan negara ingin dibela,
kompang dipalu bagai ingin pecah,
lalu terpukau dengan retorik semata-mata.

Bila kemenangan dicapai,
tebu dibibir sudah menjadi pitawali,
tiada lagi senyuman untuk dikongsi,
semuanya hanya tinggal janji,
kompang yang dipalu dicampak ke tepi,
langkah sudah menjadi deras,
hilang sudah masa untuk bersenda,
hilang sudah suara untuk menyapa,
kelihatan dia alpa,
semuanya perit,
itulah ahli politik yang hipokrit!!!!!!

Mencari Bahagia

Di sana aku melihat seorang budak,
teruja ingin membantu ibunya berniaga dan ibunya senyum sahaja,
aku nampak di situ ada damai dan bahagia.

Di sini aku lihat seorang kaya dengan kereta besarnya,
dia kelihatan resah dan gelisah,
sesungguhnya wang, harta dan pangkat bukan segala-galanya,
bukan juga kunci untuk mengecapi bahagia.

Ku cuba selami erti bahagia,
ku cuma dapat merasa,
mana mungkin ku menyentuhnya,
apakah sebenarnya rupa bahagia?

Bahagia itu ada pada mereka,
ada di sekeliling kita,
senyum dan tawa mesra,
itulah bahagia yang kita hanya mampu merasa.

Ku senyum dan rasa gembira,
tanpa hasad dan hati yang iri,
cuma ku lagi yang rasa kurang,
lalu ku ingin mencari,
rasa bahagia di dalam hati.

Jika Belum Tentu

Jika dapat ku lukis awan,
belum tentu ku dapat sirami bumi dengan hujan.

Jika dapat ku warnai lautan,
belum tentu ku dapat hiasinya dengan terumbuan.

Jika dapat ku dirikan gunung dan bukit,
belum tentu ku dapat menghijaukan dunia ini dengan tumbuh-tumbuhan.

Jika dapat ku kembangkan awan di langit,
belum tentu ku dapat memberi tanah yang subur untuk pohon-pohon menghijau.

Jika dapat ku ukir seorang insan,
belum tentu ku dapat ajarinya erti percintaan.

Jika dapat ku gambarkan indahnya cinta,
belum tentu ku dapat mengecapi sebuah bahagia.


Inderasegara ft. Munzir

Pencarian Kita

Ku sedang melihat insan bersatu,
melakukan kerja bersama-sama,
mereka kelihatan cukup kuat dan gembira,
inilah ukhwah yang telah lama hilang dalam jiwa kita,
kita sebagai rakyat Malaysia,
kita juga sebagai umat Islam seluruhnya,
di manakah rasa harmoni perpaduan itu telah tercampak?

Marilah sama kita mencari,
mencari suatu yang pasti ada,
ia ada dalam diri setiap kita,
cuma ego yang menyembunyikannya,
cuma kepentingan diri mengatasi segalanya,
lesapkan ia,
leburkan ia,
mampukah kita?

Perpaduan itu ada di sana,
tidak jauh dari kita,
capailah ia buat kita semua,
sama berkongsi dan sama merasa,
hidup aman dan bahagia,
tidak mahukah kita?
itulah pencarian kita.

Tuesday, June 16, 2009

Apa Nak Jadi???




Ini adalah gambar yang aku ambil di sebuah universiti awam yang bertaraf universiti penyelidikan. Aku rasa pelik sangat melihat fenomena sebegini blh berlaku di sebuah institusi yang menempatkan golongan-golongan yang berpendidikan tinggi.

Melihat kepada fenomena ini, aku terfikir mengenai bagaimana sifat sebenar pelajar-pelajar di universiti ini? Dari apa yang aku lihat, kepada yang melakukan perbuatan seperti ini, golongan inilah yang akan menghuru-harakan negara suatu hari nanti. Teori dan kesimpulannya sangat mudah iaitu tidak patuh kepada arahan. Sudah tertera bahawa ia adalah tong bagi membuang telefon bimbit yang terpakai, tetapi bagaimana pula sampah-sampah sebegitu pula yang menghuni tong tersebut?

Aku terpanggil untuk menyatakan kekecewaan aku atas sikap pelajar-pelajar universiti ini. Mungkin tidak semua tetapi segelintir boleh merosakkan segalanya. Bukan sahaja nama pelajar-pelajar, bahkan nama universiti juga boleh tercemar. Cuba kita renungkan jika fenomena seperti ini dilihat oleh pelajar-pelajar, pelancong-pelancong atau pelawat-pelawat dari luar negara? Bukan sahaja nama universiti, tetapi nama negara juga akan turut sama menjadi buruk. Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Marilah kita sama-sama renung-renungkan. Di manakah tahap kita jika fenomena ini masih lagi berlaku di kalangan masyarakat kita?



Inilah gambar yang bersejarah tetapi tidak diketengahkan mengenainya. Gambar ini diambil di Istana Kuala Kangsar, Perak sewaktu Perjanjian Durbar yang menjadi asas kepada Majlis Raja-raja yang ada sekarang. Maaf kerana gambar yang di ambil ini tidak begitu jelas kerana diambil dalam keadaan yang tergesa-gesa. Gambar ini diambil di rumah waris kepada Datuk Orang Kaya Indera Segara Temerloh Haji Tahir Bin Nakhoda Jelai iaitu salah seorang pembesar berempat negeri Pahang yang mentadbir daerah Temerloh. Gambar Allahyarham yang bernombor 12. Selain itu, gambar pejuang negeri Pahang seperti Datuk Setia Jaya Semantan Tok Bahaman (15), Datuk Stia Raja Tok Gajah (16), Mat Kilau (17) dan Mat Lela (18).

Thursday, June 4, 2009

WARISAN

Anak kecil main api,
Terbakar hatinya yang sepi,
Air mata darah bercampur keringat,
Bumi dipijak milik orang.

Nenek moyang kaya raya,
Tergadai seluruh harta benda,
Akibat sengketa sesamalah kita,
Cinta lenyap di arus zaman.

Indahnya bumi kita ini,
Warisan berkurun lamanya,
Hasil mengalir ke tangan yang lain,
Peribumi merintih sendiri.

Kita rumpun bangsa Melayu,
Menganut agama yang suci,
Semangat bangsa berlandaskan Islam,
Teras capai kemerdekaan.

Masa depan sungguh kelam,
Kan lenyap peristiwa semalam,
Tertutuplah hati terkunci mati,
Maruah peribadi dah hilang.

Kini kita cuma tinggal kuasa,
Yang akan menentukan bangsa,
Bersatulah hati, bersama berbakti,
Pulih kembali harga diri.

Kita sudah tiada masa,
Bangunlah dengan gagah perkasa,
Janganlah terlalai teruskan usaha,
Melayu kan gagah di nusantara

Wednesday, May 6, 2009

Pesta Buku Antarabangsa KL

Menyambut baik pesta buku yang dianjurkan, saya telah menghadirkan diri pada 18hb April 2009. Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) itu diadakan bermula dari 17hb April hingga 26 April tahun ini.

Begitu ramai manusia yang menghadiri pesta tersebut. Pelbagai jenis buku juga boleh didapati dan kebanyakannya buku yang berbentuk akademik. Suasana yang cukup sesak pada hari itu memang menyukarkan saya untuk mencari buku-buku yang diminati. Dengan tempat untuk meletak kereta pun susah untuk didapatkan. Memang benar, saya baru kali pertama sampai ke Putra World Trade Centre (PWTC), sebab itu agak asing bagi saya dalam menyesuaikan diri dengan kemudahan-kemudahan yang ada di situ. Tapi semangat untuk mengenali buku itu tinggi lalu saya teruskan juga misi yang belum sempurna itu.

Dalam letih berjalan sendirian, ada beberapa buku yang saya berminat untuk membelinya. Tetapi oleh sebab wang yang dibawa tidak begitu banyak, maka hanya sebuah buku yang mampu dibeli. Buku yang saya beli itu bertajuk Pemikiran Tun Dr. Mahathir bin Mohamad. Ditulis oleh Abdul Mua’ti @ Zamri bin Ahmad dan terbitan Universiti Malaya. Tidak tahu kenapa saya berminat sangat dengan buku ini. Tapi yang nyata saya memang ingin sangat mengetahui rahsia pemikiran Perdana Menteri Malaysia yang keempat itu. Beliau telah memerintah Malaysia selama 22 tahun dan juga digelar sebagai Bapa Kemodenan.

Buku- buku yang saya berminat tetapi tiada rezeki pada waktu itu untuk saya beli antaranya Sejarah Sumatera, Dua Wajah, dan beberapa lagi yang saya kurang ingat tajuknya. InsyaAllah ada rezeki kemudian hari saya akan membeli buku-buku ini jika terjumpa lagi.

Masuk pada jam 3 petang dan keluar pada jam enam petang. Suatu pengalaman yang menarik bagi saya walaupun agak penat. Jika diadakan lagi pesta seperti ini di kemudian hari, saya pasti akan mengunjunginya jika berkesempatan. Kepada kawan-kawan semua, jadikanlah membaca budaya kita. Banyak ilmu yang akan kita perolehi dengan membaca. Renung-renungkan dan selamat beramal.

Monday, April 20, 2009

Allahyarham Datuk Orang Kaya Indera Segara Temerloh Haji Tahir bin Nakhoda Jelai

Datuk Orang Kaya Indera Segara Temerloh Haji Tahir bin Nakhoda Jelai. Memang ramai yang tidak mengetahui sejarah tentang beliau. Masyarakat temerloh terutama jenerasi muda sekarang lagilah pula langsung tidak mengetahui tentang kewujudan salah seorang pembesar berempat negeri Pahang ini.

Menjadi pembesar di sekitar tahun 1891. Tugas beliau menjaga daerah keseluruhan daerah Temerloh dan mengutip cukai di sungai Triang hinggalah ke sempadan Rembau, Negeri sembilan.

Tidak banyak sangat yang diketahui tentang sejarah beliau. Kuburnya yang terletak di kawasan tanah perkuburan kampung Mengkarak berhampiran dengan kubur keramat Tok mengkarak bersemadi. Rumahnya pula terletak di seberang kampung yang agak selari dengan kedudukan masjid kampung tersebut. Beliau berketurunan Minangkabau iaitu anak kepada Undang Luak Jelebu pada ketika itu. Waris-warisnya ramai boleh didapati di sekitar daerah Temerloh dan Bera. Terdapat juga yang telah bermastautin di tempat lain antaranya di sekitar Selangor, Kuala Lumpur, Melaka, Sabah dan Johor Bharu. Ada juga yang menetap di luar negara iaitu di Mekah.

Sedikit cerita mengenai asal usul Allahyarham Datuk Orang Kaya Indera Segara Temerloh Haji Tahir bin Nakhoda Jelai. Ayah beliau Nakhoda Jelai berasal dari Pagar Ruyong Sumatera telah merantau ke Tanah Melayu bersama dengan tiga adik beradiknya. Sampai di Siam, tongkang yang mereka naiki telah pecah di serang oleh angkatan Raja Siam pada ketika itu. Nakhoda Jelai berempat beradik telah ditawan oleh Raja Siam dan dipenjarakan.

Selang beberapa hari, penduduk di kawasan Siam itu termasuk tentera-tentera Siam telah dilanda satu wabak penyakit yang tidak diketahui punca dan ubatnya. Tapi say telah diberitahu oleh sumber bahawa penyakit itu sebenarnya penyakit taun. Yang menghairankan Raja Siam pada ketika itu, Nakoda Jelai berempat beradik sihat sahaja. Baginda musykil dan bertanya kepada Nakoda Jelai berempat beradik tentang bagaimana mereka berempat tidak menghidapi penyakit tersebut. Nakhoda Jelai lalu menerangkan bahawa mereka mempunyai sedikit ilmu yang menjadikan mereka kebal dari dijangkiti penyakit tersebut.

Lalu mereka dititahkan oleh Raja Siam untuk mengubati sekalian tentera dan rakyatnya yang sedang sakit itu dengan janji akan membebaskan mereka berempat jika semuanya berjaya disembuhkan. Lalu dijampi oleh Nakoda Jelai berempat beradik sungai Golok itu dan disuruhnya kepada sesiapa yang sakit pergi meminum air sungai Golok yang telah dijampi itu. Dengan izin Allah, semuanya telah sembuh dan Raja Siam menunaikan janjinya untuk melepaskan mereka berempat. Lalu dari sanalah mereka mula memasuki Tanah Melayu.

Nakoda Jelai berempat beradik lalu berpecah di Tanah Melayu membawa haluan masing-masing. Nakhoda Jelai pula menuju ke Negeri Sembilan iaitu ke daerah Jelebu. Di sana, beliau telah dikahwinkan dengan anak Undang Luak Jelebu ketika itu dan hasil perkahwinan tersebut maka lahirlah seorang anak yang diberi nama Tahir.

Dewasanya Tahir, telah dilantik beliau oleh Sultan Pahang sebagai Dato’ Orang Kaya Indera Segara Temerloh. Ini kerana pada ketika itu Sultan Pahang hanya mahukan orang yang berketurunan Minangkabau sahaja yang boleh menjadi pembesar dan Sultan Pahang berkenan melantik Tahir menjawat jawatan pembesar berempat. Maka bermulalah sejarah beliau menerajui daerah Temerloh sebagai Datuk Orang Kaya Indera Segara Temerloh Haji Tahir bin Nakhoda Jelai. Tiga lagi pembesar berempat Negeri Pahang Datuk Maharaja Perba Jelai, Datuk Indera Pahlawan Chenor dan Datuk Indera Syahbandar.

Inilah serba sedikit sejarah mengenai Datuk Orang Kaya Indera Segara Temerloh Haji Tahir bin Nakhoda Jelai yang saya ketahui dan ingin saya kongsikan. Segala maklumat yang saya perolehi ini saya dapati daripada cerita beberapa orang warisnya yang berada di Pahang dan Selangor. Tokoh-tokoh Melayu zaman dahulu tidak sepatutnya kita lupakan. Kenang dan hargailah jasa mereka. Kita merupakan penyambung warisan mereka. Hidup Melayu!

Saturday, April 18, 2009

NC UUM Kekal


Universiti Utara Malaysia (UUM) telah melantik semula Tan sri Dr. Nordin Kardi sebagai Naib Canselor UUM yang keenam sehingga 15 Jun 2010. Sebesar-sebesar tahniah diucapkan kepada beliau. Semoga dapat terus memandu UUM ke arah kecemerlangan iaitu menjadi sebuah universiti pilihan pertama atau first choice university di Malaysia atau mungkin di persada dunia.


Sedikit kisah mengenai beliau. Tan Sri Dr. Nordin Kardi juga merupakan presiden Persatuan Universiti Malaysia (AMU) yang dilantik sejak tahun 2005 menggantikan Allahyarham Datuk Prof Dr. Ahmad Fawzi Basri. Beliau juga bekas Ketua Pengarah Biro Tatanegara di Jabatan Perdana Menteri. Baru-baru ini beliau juga telah dilantik sebagai anggota Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Friday, April 17, 2009

JANGAN JADI LAYANG-LAYANG YANG MEMUTUSKAN TALI

Pada petang rabu, 15hb April 2009, terasa bosan duduk di rumah selepas pulang dari kerja. Tiba-tiba aku teringat mengenai cerita yang disampaikan oleh emak saudara pupu yang aku gelar Mak Chu. Ia adalah kisah sewaktu suaminya yang juga aku gelar Pak Chu mengajar di Pekan atau Kuantan (terlupa plak aku).

Pak Chu aku ini merupakan cikgu disiplin di sekolah ( tidak diberitahu pula nama sekolah tu kat aku) yang dia mengajar itu. Dia juga merupakan seorang cikgu disiplin yang garang. Oleh kerana tugasnya sebagai cikgu disiplin agak berat dan masalah disiplin pelajar juga sentiasa ada, maka dia telah membeli sebuah motor scrambler ( seperti motor dalam filem Gila-gila Remaja ). Tergelak juga aku waktu mendengarnya. Tidak sangka Pak Chu aku yang agak warak dan alim itu mempunyai sejarah yang sebegitu.

Tujuan dia membeli motor seperti itu agar mudah dia untuk mengejar pelajar-pelajar yang lari atau ponteng sekolah. Motor jenis itu memang dicipta untuk kegunaan lasak. Jadi jika pelajar-pelajar yang dikejarnya masuk ke hutan, dia dengan bersahaja juga masuk ke hutan dengan menunggang motornya itu.

Ramai pelajar-pelajar yang telah ditangkapnya tetapi hanya berkenaan dengan seorang pelajar ini saja yang Mak Chu aku nak cerita. Aku pun sudah betul-betul tertarik dengan ceritanya itu. Kekadang tergelak kecil aku dibuatnya apabila membayangkan babak-babak dalam cerita itu. Maklumlah, aku pun pernah bersekolah dan agak nakal juga. Jadi begitu mudah aku membayangkannya.

Berbalik kepada kisah seorang pelajar yang tidak diberitahu namanya itu. Dia telah ditangkap oleh Pak Chu aku di dalam hutan sewaktu dia sedang enak menghidu gam. Mungkin sebab terlalu khayal, jadi dia tidak sempat melarikan diri. Kalau lari pun memang kena kejarlah dengan Pak Chu aku yang menunggang motor scrambler tu.

Pak Chu aku waktu itu agak berang dan tanpa belas kasihan terus dibelasahnya pelajar itu. Mengikut ceritanya, teruk juga pelajar itu kena belasah. Setelah selesai budak itu dibelasah, baru Pak Chu aku membawanya balik semula ke sekolah. Tindakan disiplin pun dikenakan ke atas budak tu.

Selepas kejadian itu, pelajar itu masih lagi bersekolah di situ. Tetapi segalanya sudah berubah. Pelajar itu telah berubah dengan banyak sekali. Pak chu pun tidak menyangka akan berlaku sedemikian. Boleh dikatakan tiap-tiap hari nenek budak tu menghantar buah-buahan dan kuih-muih kat pak Chu aku atas rasa syukur dan terima kasih kerana telah merubah cucunya. Sebenarnya pelajar itu dibesarkan oleh neneknya. Tidak silap aku emak dan ayahnya berpisah dan semenjak itu neneknya yang memegang tanggungjawab sebagai emak dan ayah kepada pelajar itu.

Nak dipanjangkan cerita lagi, Pak Chu aku telah bertukar mengajar di sekolah yang lain. Selang beberapa tahun, Pak Chu aku kembali semula ke sekitar daerah di mana sekolah yang dia pernah mengajar itu terletak. Saja berjalan-jalan atau atas sebab tugas tidak pula aku diberitahu. Sedang Pak Chu aku berjalan-jalan, tiba-tiba seorang lelaki muda menegur dia dan menghulurkan tangan untuk bersalam. Pak Chu agak terkejut dan tanpa berfikir terus menghulurkan tangannya untuk menyambut salam pemuda itu. Lagi bertambah terkejut apabila pemuda itu mencium tangannya. Kemudian dengan hairan Pak Chu aku bertanya kepada pemuda itu, ‘ kamu siapa?’ Lalu pemuda itu tersenyum menjawab, ‘sayalah budak yang cikgu pernah belasah di dalam hutan dulu’. Barulah Pak Chu aku ingat akan kisah pelajar yang dibelasahnya di dalam hutan atas sebab ditangkap kerana memonteng dan menghidu gam. Budak itu yang telah pun menjadi pemuda begitu ramah dan mesra dengan Pak Chu aku.

Sebenarnya Pak Chu aku ini dulu lebih suka dan memandang tinggi pelajar-pelajar yang cerdik pandai dan tidak melakukan masalah disiplin. Tetapi dia kecewa dengan pelajar-pelajar jenis ini kerana langsung tidak menunjukkan sikap yang baik ketika bertemu dengannya di luar setelah mereka dewasa dan berjaya. Ketika terserempak, ada di antara mereka ini yang memalingkan muka dan buat-buat tidak kenal. Sepatutnya mereka yang baik dan dipandang tinggi oleh guru-guru inilah yang lebih cakna apabila berjumpa dengan bekas guru-guru yang pernah mengajar mereka.

Berlainan pula situasinya ketika itu. Seorang pelajar yang bermasalah dan tambah lagi pernah dipukul olehnya lebih menghormati dan mesra dengannya walaupun sudah bertahun-tahun tidak berjumpa. Terharu sungguh Pak Chu aku. Semenjak itu, persepsi Pak Chu aku terhadap pelajar-pelajar yang nakal telah berubah. Dia juga sudah tidak terlalu memandang tinggi pelajar-pelajar yang cemerlang dan tidak mempunyai masalah disiplin.

Begitulah kisahnya. Pak Chu aku kini telah pun pencen. Buat pengetahuan semua, beliau pernah menjadi pegawai pendidikan di PPD Bera dan Temerloh.

Harap-harap tulisanku ini dapat menyedarkan dan memberi iktibar kepada sesiapa saja yang masih bersekolah ataupun sudah lama meninggalkan sekolah. Janganlah lupa diri dan asal-usul. Kenanglah jasa orang di sekeliling kita terutama ibu bapa dan guru-guru. Tanpa mereka kita bukan siapa-siapa. Manusia dicipta dari tanah dan akan kembali juga ke tanah. Walau tinggi mana pun kita berada, kita tetap akan turun ke bawah.

Layang-layang tidak akan terbang jika tanpa tali, pemain dan kemahiran. Jika putus tali itu, maka melayang-layanglah tanpa arah dan akhirnya jatuh. Pemain layang-layang tidak pernah ingin terbang bersama dengan laying-layangnya. Cukuplah sekadar puas sambil tersenyum gembira melihat layang-layangnya terbang tinggi.

Wawasan 2020: Masih Ingatkah Kita?






Serba sedikit mengenai Wawasan 2020. Ia merupakan sebuah dasar wawasan kerajaan Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia ketika itu, yang bertujuan untuk meningkatkan Malaysia menjadi sebuah negara perindustrian dan negara maju sepenuhnya menjelang tahun 2020. Ia merangkumi semua aspek iaitu ekonomi, politik, sosial, kerohanian, psikologi dan perpaduan nasional. Selain itu, ia juga melibatkan persoalan keadilan sosial, kestabilan politik, sistem kerajaan, mutu hidup, nilai sosial dan kerohanian, maruah bangsa, serta juga keyakinan.

Dalam Wawasan 2020 itu juga telah digariskan sembilan matlamat atau cabaran utama untuk merealisasikan wawasan tersebut. Antara sembilan matlamat atau cabaran utama itu ialah:







  1. Mewujudkan negara Malaysia bersatu yang mempunyai matlamat yang dikongsi bersama: Malaysia mesti menjadi sebuah negara yang aman, berintegrasi di peringkat wilayah dan kaum, hidup dalam keharmonian, bekerjasama sepenuhnya secara adil, dan terdiri daripada satu bangsa Malaysia yang mempunyai kesetiaan politik dan dedikasi kepada negara.




  2. Mewujudkan sebuah masyarakat yang berjiwa bebas, tenteram dan maju, dengan keyakinan akan keupayaan sendiri, berbangga dengan apa yang ada, dengan apa yang telah dicapai, cukup gagah menghadapi pelbagai masalah. Masyarakat Malaysia ini mesti dapat dikenali melalui usaha mencapai kecemerlangan, amat sedar akan semua potensinya, tidak mengalah kepada sesiapa, dan dihormati oleh rakyat negara lain.




  3. Mewujudkan dan membangunkan masyarakat demokratik yang matang, yang mengamalkan satu bentuk demokrasi Malaysia yang mempunyai persefahaman matang, berasaskan masyarakat yang boleh menjadi contoh kepada beberapa banyak negara membangun.
    Mewujudkan masyarakat yang sepenuhnya bermoral dan beretika, dengan warganegaranya teguh dalam nilai agama dan kerohanian dan didukung oleh nilai etika paling tinggi.




  4. Mewujudkan masyarakat liberal dan bertolak ansur, dengan rakyat Malaysia pelbagai kaum bebas mengamalkan adat, kebudayaan, dan kepercayaan agama mereka dan pada masa yang sama meletakkan kesetiaan mereka kepada satu negara.




  5. Mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif, masyarakat yang mempunyai daya perubahan tinggi dan berpandangan ke depan, yang bukan sahaja menjadi pengguna teknologi tetapi juga penyumbang kepada tamadun sains dan teknologi masa depan.




  6. Mewujudkan masyarakat penyayang dan budaya menyayangi, iaitu sistem sosial yang mementingkan masyarakat lebih daripada diri sendiri, dengan kebajikan insan tidak berkisar pada negara atau orang perseorangan tetapi di sekeliling sistem keluarga yang kukuh.




  7. Memastikan masyarakat yang adil dalam bidang ekonomi. Ini merupakan masyarakat yang melaksanakan pengagihan kekayaan negara secara adil dan saksama, dengan wujudnya perkongsian sepenuhnya bagi setiap rakyat dalam perkembangan ekonomi.




  8. Mewujudkan masyarakat makmur yang mempunyai ekonomi bersaing, dinamik, giat dan kental.

Inilah serba sedikit mengenai Wawasan 2020 yang saya perolehi daripada internet. Selalu juga saya terfikir mengenaiwawasan ini. Sejauhmanakah ia telah berjaya? Sudah lebih 10 tahun diperkenalkan iaitu pada tahun 1991. Adakah sudah melebihi 50%? Namun masih ingatkah kita mengenai Wawasan 2020 ini.

Kelihatan masyarakat Malaysia sekarang seolah-olah telah melupakannya atau mengabaikannya. Siapakah yang harus dipersalahkan? Rakyat atau pemimpin? Sekarang Malaysia lebih banyak berkisar mengenai politik. Kadang-kadang saya rasa bosan untuk membaca akhbar atau menonton berita di televisyen kerana setiap hari ada saja isu tetntang politik yang menjadi topik berita.

Semua ini berlaku banyak disebabkan propaganda pemimpin politik pembangkang yang rakus hendak memegang tampuk pemerintahan negara. Siapakah di antara pemimpin-pemimpin politik itu? Tanyalah diri anda sendiri. Masakan kita tidak tahu.

Kerana mereka yang segelintir ini juga negara menjadi huru-hara. Melihat keadaan di negara jiran, Thailand. Terbit juga rasa risau di hati saya jika kerana pengaruh yang kuat dari segelintir ahli politik yang tidak bertanggungjawab ini, negara kita juga akan menjadi begitu. Mahukah kita? Fikirlah demi masa depan bersama. Generasi Malaysia yang akan datang bergantung kepada kita.

Wawasan 2020 ini dirangka oleh Tun adalah demi generasi yang akan datang ini. Jadi berhentilah dari menghuru-harakan negara dengan melakukan demonstrasi dan pelbagai lagi cara lain. Jika keadaan politik negara masih lagi terus begini, mampukah Wawasan 2020 ini akan dicapai?

Sedarlah wahai masyarakat. 2009, sebelas tahun lagi menghampiri tahun 2020. Cukup lamakah tempoh itu untuk kita menyiapkan diri demi mencapai matlamat Wawasan 2020? Jadi, mulai dari saat ini kita perlu bertindak. Jangan mensia-siakan masa yang tinggal ini yang terus berdetik tanpa menunggu kita walaupun sesaat. Semoga Malaysia akan berjaya mencapai matlamat Wawasan 2020. Majulah Malaysia demi agama, bangsa dan negara.

Tuesday, April 14, 2009

Perubahan: Sesuaikah ia di waktu kini?

Tanah Melayu yang dulu penuh dengan kehijauan tetapi kini diliputi dengan pembangunan. Anak-anak muda Melayu dahulu berpantang maut sebelum ajal untuk mempertahankan kedaulatan agama, bangsa dan negara tetapi muda-mudi Melayu generasi kini begitu mudah luntur adat dan budayanya dikikis kemodenan dalam arus globalisasi. Melayu yang dulu bersatu demi mencapai kemerdekaan tetapi kini seperti cerai yang menanti roboh. Empayar Islam yang dulu disegani tetapi kini tiada lagi. Adakah ini hasil sebuah perubahan?

Perubahan menuntut supaya kita berfikir sedalam-dalamnya sebelum tindakan untuk berubah itu dilakukan. Perubahan juga menuntut keberanian iaitu berani untuk menanggung segala risiko atas perubahan itu.

Perubahan boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu dari yang baik kepada buruk atau dari yang buruk kepada baik. Tiada seorang insan di dunia ini yang mahu berubah kepada yang tidak baik. Tetapi perubahan tidak hanya menuntut ke arah kebaikan, tetapi ia juga boleh menjadi sesuatu yang buruk dan mungkin lebih buruk dari sebelumnya. Justeru itu, berfikirlah sebelum kita berubah. Jika masa depan perubahan itu masih lagi kelam dan tidak pasti, baiklah saja dikekalkan seperti sediakala.

Lihatlah fenomena dunia di era global yang sentiasa berubah-ubah. Segalanya cepat, mudah dan senang. Segalanya hanya di hujung jari. Tetapi bagaimana pula implikasi negatifnya? Tidak perlu susah payah kita melihat jauh sampai ke Barat, Utara atau Selatan. Lihatlah apa sudah jadi dengan anak bangsa kita sendiri? Sudah lupa adat dan budaya ketimuran. Pergaulan bebas tanpa segan dan silu. Sopan-santun budi bahasa tidak lagi seindah dulu. Bahasa ibunda disalaikan hingga tiada lagi kecap manisnya. Sungai yang dulu jernih dan bersih serta kaya dengan hasilnya kini hanya sampah-sarap yang menjadi isi. Mengalir lesu langsung tidak bermaya. Hutan rimba yang kaya dengan khazanah alam kini miskin dengan kehijauan. Pokok-pokok yang seumur dengan nenek moyang kita tergadai tanpa ganti. Pernahkah kita dengar laungan alam ini kita dengar dari lantangnya suara ahli-ahli politik tanahair kita? Mereka inikah yang akan memandu perubahan?

Bertuah sungguh jika kita mendengarnya. Selama ini tidak pernahku dengar semua ini disuarakan oleh ahli-ahli politik tanahair kita sewaktu berkempen. Tidak kira dari pihak kerajaan atau pembangkang, semuanya berkisar mengenai peruntukan yang nilai jutaan ringgit, harga minyak, halal dan haram, perubahan itu dan ini dan bermacam-macam lagi yang menjadi modal janji palsu mereka ini. Tidak sunyi juga dari fitnah dan cacian. Suatu kisah, tergelak kecil dalam hatiku sewaktu menonton rakaman ceramah seorang ahli politik berjanji jika beliau menang maka pada keesokan harinya harga minyak akan terus turun. Bagi rakyat yang mengundi ahli politik ini, adakah undi mereka sama nilainya dengan harga minyak yang hendak diturunkan itu? Nampak sungguh ketandusan idea bagi ahli politik tersebut untuk mencari modal memancing undi. Oleh kerana ceteknya akal berfikir dan gopohnya untuk berubah, maka berlumba-lumba rakyat mengundi ahli politik ini. Ingatlah, ahli-ahli politik ini juga manusia biasa seperti kita. Mungkin ada kelebihan tetapi tidak kurang juga kelemahannya. Perubahan yang dilaung-laungkan mungkin juga benar atau palsu yang menyerupai asli.

Perubahan memang dituntut jika kita ingin terus maju. Namun biarlah ia ke arah kebaikan. Renunglah sejauh mungkin mata memandang. Disebalik terang mungkin banyak kegelapan. Berubahlah apabila kita sudah benar-benar pasti agar tidak menyesal di kemudian hari.

Monday, April 13, 2009

Penganiayaan ke atas seorang wanita




Pilihanraya kampus UKM telah pun berakhir dengan kemenangan memihak kepada ASPIRASI. Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) yang merupakan barisan pembangkang melakukan pelbagai demonstrasi, dialog dan forum untuk menyebarkan propaganda mereka.Namun pada kali ini saya bukan hendak menulis mengenai situasi politik kampus UKM pada waktu itu, tetapi saya ingin menulis mengenai nasib seorang pegawai UKM yang bertanggungjawab menguruskan bahagian persatuan dan pengantarabangsaan.

Dia merupakan pegawai wanita yang juga bertanggungjawab untuk menguruskan pilihanraya kampus UKM. Pelbagai tohmahan dan cacian yang dia telah terima dari pihak mahasiswa pembangkang. Tetapi ini semua masih lagi boleh diterima oleh pegawai tersebut. Cuma semenjak dua menjak ini semakin menjadi-jadi pula perangai mahasiswa dari pihak pembangkang ini. Mereka seolah-olah masih tidak berpuas-hati dengan keputusan pilihanraya tersebut.

Oleh itu, satu komplot penganiayaan telah dilakukan.Pengaiayaan ini dilakukan ke atas seorang pegawai wanita yang tegas tetapi dia tetap seorang wanita yang lemah. Itulah fitrah kejadian seorang perempuan. Penganiayaan ini telah mengganggu ketenteraman hidup pegawai itu. Cubalah sekalian perempuan di luar sana yang membaca artikel ini berfikir, jika kamu semua yang berada di tempat pegawai ini, apakah yang akan berlaku ke atas kamu? Mungkinkah diri dalam ketakutan atau dilanda trauma? Hidup pegawai itu diganggu oleh panggilan-panggilan dari orang yang tidak dikenali. Tetapi tidak boleh juga hendak menyalahkan pemanggil-pemanggil tersebut kerana mereka tidak mengetahui perkara sebenarnya.

Banyak iklan palsu ditampal di sekitar Bandar Baru Bangi yang tertulis nama dan nombor telefon bimbit pegawai berkenaan. Iklan-iklan tersebut semuanya berkenaan dengan kereta sewa, rumah sewa dan pengasuh kanak-kanak (seperti di dalam gambar).Beginikah sikap atau peribadi seorang yang bergelar mahasiswa/wi di salah sebuah universiti yang terkemuka di Malaysia? Jika mahasiswa yang melakukan penganiayaan ini dari pihak GMUKM, adakah ini mencerminkan latar belakang persatuan tersebut? Mampukah wujudnya sebuah kepimpinan yang baik tetapi disebaliknya berdiri teguh sebuah penganiayaan?

Terimalah segala keputusan yang telah pun ditakdirkan. Adat berlawan pasti ada yang menang dan yang kalah. Jangan diikutkan hati yang dikuasai nafsu dan syaitan. Syaitan sentiasa mencari jalan untuk memecah-belahkan umat Islam. Janganlah kerana berbeza fahaman politik dan pendapat, kita lupa dengan persaudaraan sah sesama Islam. Ingatlah, sesungguhnya doa insan yang teraniaya itu amatlah makbul. Mungkin bukan sekarang ia dimakbulkan oleh Allah, tetapi percayalah orang yang melakukan penganiayaan pasti akan menerima balasan. Marilah kita bersama-sama pulang ke pangkal jalan.

Friday, April 10, 2009

KJ Tidak Tersenarai, Mukhriz Dilantik Sebagai Timbalan


Bersyukur kepada Ilahi atas barisan Kabinet baru yang telah diumumkan oleh DS Najib. Rasa syukur ini atas sebab KJ tidak disenaraikan. Maka Kabinet yang baru ini bersih daripada muka perasuah.



Datuk Mukhriz Mahathir, calon Ketua Pemuda UMNO yang telah kalah sebaliknya telah dilantik sebagai Timbalan Menteri 1 di Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri. Tentu ini adalah berita yang menggembirakan sekalian penyokong Datuk Mukhriz.



Tahniah kepada Datuk Mukhriz atas perlantikan tersebut. Semoga dapat menjalankan tugas dengan baik dan menyumbangkan segala yang terbaik buat rakyat dan juga Negara.

Kabinet Baru Najib


Khamis, 9 hb April 2009, Kabinet baru di bawah pimpinan Perdana Menteri baru Malaysia ke-6 DS Najib bin Tun Abd Razak telah diumumkan. Hanya beberapa orang saja muka lama yang dikekalkan dan beberapa orang saja juga yang kekal di kementerian yang sebelum ini.

Muka-muka baru dan yang kekal kelihatan mempunyai rekod yang bersih dari gejala rasuah. Semoga barisan Kabinet baru Najib ini akan dapat merubah persepsi rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) terutama terhadap Parti UMNO iaitu parti keramat yang menjadi peneraju.

Ucapan tahniah dan semoga DS Najib akan dapat memimpin barisan Kabinet baru ini ke arah yang lebih baik. Janganlah mengecewakan hati rakyat tidak kira dari pihak pembangkang dan terutama dari pihak yang menyokong kuat Parti BN.

Harapan yang besar semoga Malaysia dan rakyatnya akan terus maju dan dijauhi daripada konflik dan kekacauan seperti yang berlaku di Thailand.

JANJI MELAYU

menduduki Tanah Melayu ataupun sekarang yang lebih dikenali sebagai Malaysia. Namun begitu, dalam sebilangan besar orang melayu yang menduduki negara Malaysia ini, terdapat satu istilah yang saya kurang fahami kenapa ia boleh wujud. Ia hanya dua perkataan yang selalu disebut dan dijadikan alasan berkaitan dengan kelewatan masa iaitu ‘Janji Melayu’. Saya selalu mendengar istilah ini sejak dari kecil lagi. Saya tertanya-tanya kenapa istilah ini boleh wujud dan terus menular sehingga ia menjadi seperti satu kebiasaan atau adat resam atau juga sebagai satu cara orang Melayu menguruskan masa.

Bagaimana istilah tersebut boleh wujud dan siapakah orang pertama yang mengucapkannya? Adakah orang itu berketurunan melayu atau bangsa asing? Mungkinkah terdapat satu peristiwa yang menjadi punca kepada kewujudan istilah ini? Begitulah persoalan yang wujud dan tersimpan lama di benak fikiranku ini. Namun begitu, saya berasa pasti bahawa persoalan ini sebenarnya tidak punya jawapan kerana tiada siapa pun yang boleh menjawabnya. Tetapi tidak tahulah pula jika waktu akan datang akan dijodohkan saya bertemu dengan insan yang mempunyai jawapan ke atas semua soalan ini.

Berbalik kepada istilah ‘Janji Melayu’, ia seolah-olah memburukkan imej orang Melayu di sisi bangsa yang lain. Disebabkan istilah ini, bangsa lain kurang mempercayai orang melayu dan seterusnya memandang rendah terhadap bangsa melayu. Ini amat kurang menyenangkan bagi diri insan yang menyedari bahawa mereka merupakan orang Melayu. Tambah-tambah lagi rasa tidak senang itu sangatlah bagi sesetengah orang melayu yang tidak berpegang pada istilah tersebut. Kerana nila setitik rosak santan sebelanga.

Agama Islam merupakan agama rasmi bagi negara Malaysia yang termaktub dalam perlembagaan. Agama Islam juga merupakan agama yang dianuti oleh orang-orang melayu dan segelintir orang-orang bukan melayu di Malaysia. Apa yang ingin disampaikan di sini ialah agama islam itu sendiri menegaskan bahawa orang Islam mesti atau wajib menepati janji atau masa. Ini terbukti apabila orang yang memungkiri janji digolongkan dalam ciri-ciri orang yang munafik iaitu apabila berjanji ia mungkiri. Sudah terang lagi bersuluh. Masakan orang Islam yang juga berbangsa Melayu tidak mengetahui ini semua. Jika tidak mengetahuinya, maka saat dan tika ini perlulah sedar tentang pentingnya menepati masa dan janji dalam agama Islam itu.

Dari segi komunikasinya, istilah ini boleh dikaitkan dengan kronemik iaitu kajian yang berkaitan dengan gelagat penggunaan masa. Menurut kajian kronemik ini, orang yang tidak menepati janji atau masa atau juga lewat ialah orang yang malas, tidak bertanggungjawab atau tidak boleh dipercayai. Adakah ini istilah yang mendefinisikan sikap orang melayu? Nauzubillahiminazalik. Minta-minta dijauhkanlah persepsi sebegitu bagi orang-orang Melayu.

Budaya Melayu itu penuh dengan nilai-nilai murni, tinggi budi dan bahasanya serta kaya dengan sopan dan santunnya juga. Janganlah dicemari dengan istilah yang tidak bermoral tersebut. Marilah kita sama-sama memperbetulkan diri dan menjauhkan diri dari istilah ‘janji Melayu’. Apa yang diharapkan, semoga bangsa Melayu akan terus utuh dan berdiri teguh di mata dunia. Biar dunia mengenali kita. Buktikan kepada dunia bahawa bangsa Melayu merupakan bangsa yang berkualiti dan bukan bangsa yang boleh diperbodoh-bodohkan dan diperkotak-katikkan. Hidup Melayu!

Thursday, April 9, 2009

Pilihan Raya Kecil DI Dua Bukit & Satu Batang

Hari ni, Rabu 8hb April 2009, berita di akhbar-akhbar utama Malaysia dan blog-blog banyak menulis dan menyiarkan mengenai kemenangan dua kemenangan parti pembangkang iaitu PAS di Bukit Gantang dan PKR di Bukit Selambau. BN pula memenangi di kawasan BAtang Ai di Sarawak.

Apa yang saya lihat di sini, keputusan ini membuktikan bahawa Malaysia memang mengamalkan sistem demokrasi yang bersih. Tiada soal undi hantu dan Suruhanjaya Pilihan Raya yang mengikut telunjuk kerajaan serta lain-lain lagi yang sering menjadi modal pihak pembangkang untuk mencerca parti kerajaan iaitu BN.

Sekarang calon parti pembangkang telah menang. Tiada pula pelbagai dakwaan yang selalu dibuat apabila parti BN yang menang. Mungkin dakwaan-dakwaan tersebut hanya akan dibuat jika pihak parti pembangkang yang menang. Yang menjadi persoalannya, tidak banyak atau kurang pula dakwaan-dakwaan yang dibuat oleh Barisan Nasional apabila parti pembangkang yang menang? Atau mungkin tidak pernah ada dakwaan?

walaubagaimanapun, tahniah kepada tiga calon yang menang iaitu dua dari parti pembangkang dan satu dari parti Barisan Nasional (BN). Menang dan kalah adat permainan dan pertaruhan. Jadi terima sahaja dengan redha. Tentu sahaja terdapat hikmahnya disebalik setiap kejadian yang berlaku.

Diharapkan kemenangan ini tidak akan disia-siakan oleh calon-calon yang menang. Jalankanlah tugas anda sebagai seorang wakil rakyat. Tunjukkan contoh dan imej yang baik serta terpuji kepada seluruh rakyat. Bertugaslah dengan penuh etika, amanah dan jujur.

sekian,

INDERA SEGARA