Friday, April 29, 2011
Bukan Tayangan Perdana Video Seks
Saya agak biasa dengan wajah dalam banner di sebelah kanan gambar ini tetapi agak kurang biasa dengan wajah seorang lagi insan ini. Sebenarnya kurang biasa melihat gambar wajahnya di banner tetapi biasa melihat individu ini di kaca televisyen terutama Buletin Utama TV3. Inilah salah seorang dari tiga orang yang menggelarkan diri mereka "Datuk T".
Kini, individu ini seolah-olah sudah menjadi wira atau hero Melayu yang telah mendedahkan video seks di mana pelakunya menyerupai Dato' Seri Anwar Ibrahim kepada media. Hanya yang tidak mahu berfikir sahaja akan merasakan individu ini sebagai hero tetapi bagi yang mahu berfikir, ini adalah ibarat wayang politik yang hendak menjatuhkan karier politik dan maruah DSAI dan juga keluarga.
Saya tidak mahu bercerita panjang mengenai hal ini. Biarkan pihak berkuasa yang menyiasat dan saya harap siasatan yang dilakukan biarlah telus dan dan adil tanpa campurtangan pihak lain. Moga yang berada di pihak yang benar akan mendapat keadilan dan kemenangan manakala yang bersalah mendapat hukuman yang setimpal. Jika terlepas hukuman di dunia, hukuman di akhirat pula yang menanti dan pasti.
Sekian.
Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone
Thursday, April 28, 2011
Utusan Meloya
Sewaktu saya bersarapan pagi tadi di sebuah gerai roti canai yang tidak jauh dari tempat saya bekerja, gerai tersebut menyediakan surat khabar untuk dibaca oleh pengunjung gerai. Ia adalah surat khabar Utusan Malaysia. Saya sudah agak cerita video seks ke-2 pasti akan menjadi salah satu tajuk utama dan didipamerkan di muka hadapan akhbar.
Kini sesiapa pun boleh melihat klip video seks tersebut tetapi dalam bentuk imej pegun. Masyarakat di luar bandar yang tiada kemudahan internet dan orang yang tidak tahu melayari internet juga sudah boleh melihat video seks ini. Kanak-kanak di bawah umur juga tidak terkecuali. Di manakah moral akhbar ini?
Kononnya mahu masyarakat menjadi hakim kepada kes ini tetapi apa yang jelas, sebelum masyarakat membuat penghakiman, media terlebih dahulu membuat penghakiman. Inilah akhbar yang kononnya menjadi suara orang Melayu. Pada hal sebenarnya menjadi lidah pemerintah.
Terpulanglah kepada masyarakat untuk menilai. Saya hanya individu kecil yang tiada kuasa tetapi mempunyai upaya. Upaya untuk bersuara agar dapat berkongsi pendapat dan pandangan dengan masyarakat semua.
Sekian.
Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone
Wednesday, April 27, 2011
Propaganda BN
Apa yang lebih menarik sewaktu saya menyelak-nyelak akhbar ini ialah berkaitan dengan Isu Buku Jin-Gay. Inilah strategi BN untuk memperlekehkan dasar Buku Jingga Pakatan Rakyat. Persoalan saya kenapa gunakan perkataan "Buku Jin-Gay"?
Mungkin benar inilah bukti yang selalu orang katakan bahawa BN suka menghebohkan berita atau isu lucah seperti akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian serta Kosmo yang asyik menyiarkan isu video seks.
Semoga editor dan wartawan akhbar propaganda BN ini akan diampuni dosanya dan dirahmati Allah.
Sekian.
Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone
Iklan Lucah
Hari ini pemandangan saya ketika hendak pergi bekerja agak terganggu dengan iklan yang pada saya kurang menyenangkan. Mungkin pada saya tidak mengapa tetapi bagaimana pula bagi kanak-kanak?
Kini saya rasa peralatan seperti yang ternyata dalam iklan itu telah menjadi sesuatu yang biasa. Orang-orang yang lalu lalang pula tidak ambil peduli dengan iklan ini termasuk dengan penguatkuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau kerajaan tempatan.
Saya pasti kakitangan terutama penguatkuasa PBT di kawasan iklan ini juga menggunakan jalan raya untuk ke mana-mana arah yang hendak ditujui. Persoalan saya adakah mereka tidak melihat iklan ini dan seterusnya mengambil tindakan? Saya juga pasti iklan ini tidak mendapat kebenaran atau permit dari PBT dan tindakan undang-undang atau menurunkan iklan wajib dilakukan.
Harapan saya kepada PBT agar dapat memantau iklan-iklan haram daripada sewenang-wenangnya disiar atau digantung sebegini. Ini telah mencacatkan pemandangan dan ada juga sesetengahnya mengganggu penglihatan pengguna jalan raya yang sudah tentu membahayakan nyawa mereka. Tindakan yang drastik perlu diambil oleh PBT untuk menangani masalah seperti ini. Semoga PBT akan lebih peka dan bertanggungjawab dalam memastikan setiap kawasan PBT bersih daripada iklan-iklan haram terutama bagi yang mempunyai mesej lucah.
Sekian.
Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone
Nasi Lemak
Saya merupakan bekas pelajar sekolah rendah dan menengah yang kantin sekolah tempat saya bersekolah menjual nasi lemak setiap hari. Hingga kini BMI saya masih dalam keadaan yang stabil walaupun berat sudah agak bertambah.
Jadi, saya ingin katakan bahawa nasi lemak bukanlah punca kepada peningkatan obesiti pelajar-pelajar sekolah. Saya fikir mungkin ada punca lain yang menjadi sebabnya dan ini perlu dikaji oleh pihak yang bertanggungjawab. Pada saya tidak adil memburukkan imej nasi lemak hanya kerana peningkatan obesiti.
Untuk pengetahuan, nasi lemak merupakan menu masakan Melayu yang sedap dan ia dimakan oleh setiap lapisan kaum di Malaysia. Imej nasi lemak adalah seperti dalam gambar di atas.
Saya sekadar ingin menimbulkan persoalan, mengapa makanan dalam sekolah dan sekitar kawasan sekolah sahaja yang menjadi isu? Bagaimana dengan makanan ringan seperti McDonald, KFC, Pizza dan lain-lain lagi yang jelas boleh memberi kesan negatif kepada kesihatan terutama kepada kanak-kanak? Mari kita fikir-fikirkan.
Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone
Saturday, April 23, 2011
Sanggar Kerja - Kemunting Beach Resort
Lokasi tepi pantai ini dipilih adalah bertujuan untuk santai sambil melakukan aktiviti sanggar. Kadang-kadang pekerja atau kakitangan sesebuah organisasi perlukan masa santai seperti ini bagi menghilangkan tekanan waktu bekerja. Harap-harap peserta program Sanggar Kerja akan dapat menghilangkan tekanan dan meningkatkan produktiviti kerja apabila pulang ke pajabat nanti.
Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone
Friday, April 22, 2011
Roti Canai Melayu
Namun, saya meletakkan syarat untuk makan roti canai iaitu ia buatan orang Melayu dan bukan roti canai restoran mamak. Tidak tahu mengapa dan apa sebabnya, tetapi inilah yang saya pegang. Saya memang seorang yang tidak suka makan di kedai mamak kecuali jika darurat atau kerana permintaan dari kawan-kawan. Jika saya diberi peluang untuk memilih, sudah tentu saya tidak akan memilih restoran mamak.
Roti canai Melayu bagi saya lebih sedap berbanding roti canai mamak. lagipun roti canai mamak sekarang bukan original mamak tetapi warga India dan begitu juga dengan para pekerjanya.
Ada pihak mengatakan restoran mamak kotor. Saya agak percaya dengan kenyataan ini. Di luar nampak kemas, bersih dan cantik tetapi bagaimana pula dengan keadaan dapurnya? Jika hendak memastikan kenyataan ini, silalah melawat dapur restoran mamak. Jangan terperanjat jika ia benar.
Walaubagaimanapun, roti canai Melayu lebih sedap berbanding roti canai restoran mamak. Kebersihan dan status halalnya lebih terjamin. Tidak kira Melayu, Cina, India, Kadazan, Dusun, Dayak dan lain-lain lagi, saya seru sokong dan makanlah roti canai Melayu.
Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone
Thursday, April 21, 2011
Lagi Tentang Kosmo
Namun, tajuknya tidak menggambarkan jawapan oleh MB Kedah. Tajuk seperti mewujudkan persepsi yang negatif sedangkan jawapan MB adalah benar dan relavan untuk menarik semula rebat yang diberikan.
Kepada pembaca yang membaca tajuk sahaja pasti akan timbul persepsi yang negatif terhadap kerajaan negeri Kedah sekarang. Tetapi jika dibaca sampai habis isi berita tersebut, jawapan diletak di akhir tulisan berita dan jawapan MB sangat tepat dan relavan.
Ada sumber video dalam laman sosial facebook yang saya jumpai menyiarkan temuramah oleh beberapa orang wartawan dengan MB Kedah dan beliau memberi jawapan yang lebih banyak dan jelas mengenai isu ini.
Dunia sudah maju dan sumber maklumat juga tanpa sempadan. Jadi carilah jawapan menggunakannya hingga kebenaran terbukti. Buatlah pertimbangan yang terbaik agar tiada pihak yang teraniaya.
Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone
Bendera Malaysia - Kenapa?
Rasa hormat saya terhadap bendera Malaysia ini berkurangan apabila memasuki sekolah menengah. Jika di sekolah rendah saya dilantik menjadi pengawas dan akan menaikkan dan menurunkan bendera mengikut jadual. Ketika itu bendera tidak boleh dihujankan. Tiap-tiap hari bendera akan diturunkan dan disimpan. Berlainan ketika di sekolah menengah, bendera dinaikkan pada hari isnin dan diturunkan pada petang Jumaat. Jika hujan dibiarkan. Saya serba salah tetapi ini yang diajar ketika di sekolah menengah.
Kini saya telah bekerja. Bekerja diperantauan. Apa yang menarik ialah di tempat kerja saya ada tiang bendera dengan bendera Malaysia yang berkibar. Perkara baru mengenai bendera yang saya pelajari di alam pekerjaan ini ialah bendera dinaikkan dan diturunkan apabila ia sudah pudar, lusuh dan koyak. Tiga peringkat pengenalan bagi rasa hormat terhadap bendera negara.
Banyak lagi soalan berputar memikirkan tentang bendera Malaysia ini. Kenapa ia menyerupai bendera Amerika? Negara lain sekitar Nusantara memilih Sang Saka Merah Putih sebagai asas warna bendera tetapi Malaysia menjadikan bendera Amerika sebagai asas. Mungkin Malaysia dipimpin oleh orang yang berjiwa barat dan bukan berjiwa Nusantara yang merdeka.
Rasa hormat saya tidak pernah pudar kerana saya terpaksa akui bendera negara adalah begini. Saya menerima hakikat cuma saya tiada semangat apabila mengibarkannya. Juga wujud rasa acuh tidak acuh. Jika melihat keadaan bendera seperti dalam gambar, kadang saya akan mengambilnya dan meletakkan di tempat yang baik dan kadang saya akan membiarkannya begitu sahaja.
Mungkin Malaysia perlukan bendera lain yang boleh membawa semangat jiwa nasional. Bendera yang boleh menjadi panji membawa semangat juang rakyat dan tentera sewaktu berperang. Apa yang pasti saya begitu teruja dengan Sang Saka Merah Putih. Jiwa Nusantara merdeka bersemadi di dalamnya.
Sang Saka Merah Putih dikibarkan ketika perjuangan menuntut kemerdekaan di Indonesia melawan Belanda. Bendera darah rakyat yang berjuang. Bagaimana dengan bendera Malaysia? Ia bendera yang dicipta bukan atas dasar perjuangan. Bendera yang tiada nadi darah perjuangan rakyat menuntut kemerdekaan. Mudah saya katakan bahawa bendera Malaysia ini seolah tiada jiwa dan roh. Jiwa dan roh rakyat.
Bendera Malaysia perlukan sentuhan perjuangan rakyat. Perlukan identiti dan konsep tersendiri. Perlukan sentuhan jiwa dan roh seluruh rakyat. Bendera Malaysia perlu menjadi seperti Sang Saka. Membawa semangat juang rakyat di medan perang.
Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone
Wednesday, April 20, 2011
Sang Bujang
Sang bujang menaiki apa sahaja kenderaan,
Motosikal, kereta dan ada yang berjalan,
Sang bujang juga mencari kenalan,
Kenalan untuk dijadikan teman.
Sang bujang kelaparan,
Kadang berteman kadang keseorangan,
Mencari dapur di tepian jalan,
Tempat rakyat marhaen santai makan,
Kadang juga elit kelihatan,
Mungkin sudah bosan dengan gaya hidup kebaratan.
Pelayan Sang bujang dari seberang,
Tukang masak dari timur semenanjung,
Inilah dapur Sang bujang,
Dapur tepian jalan,
Mengisi perut untuk meneruskan kehidupan.
Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone
Alam & Manusia - Selamat Hari Bumi
Kedua-duanya saling memerlukan. Keperluan paling jelas ialah ada di antara haiwan yang menjadi sumber makanan manusia dan tidak kurang juga manusia yang menjadi makanan kepada haiwan.
Saya juga sering membaca dan melihat kisah manusia diserang dan dicederakan oleh haiwan yang disiarkan dalam media. Namun, saya kurang bersetuju apabila kisah dan tajuknya seperti haiwan itu yang bersalah dan kejam.
Pernahkah kita terfikir mengenai habitat haiwan ini? Jika dulu Tanah Melayu dijajah oleh British dan kini kita rakyat Malaysia yang merdeka pula yang menjadi penjajah iaitu menjajah hutan yang menjadi habitat haiwan dan tumbuhan. Jadi tidak peliklah jika manusia diserang oleh haiwan kerana manusia telah menceroboh habitat mereka. Kesnya lebih kurang sama sewaktu penentangan masyarakat Melayu terhadap British kerana British datang menceroboh di Tanah Melayu.
Jadi keras saya katakan ini silap kita sebagai manusia. Mari kita fikirkan bersama. Di Malaysia sebagai contohnya selalu terjadi kes orang diserang atau diganggu oleh monyet, kera atau beruk. Kes seperti ini selalu terjadi di pinggir bandar dan juga selalu juga terjadi di IPTA.
Saya pasti kebanyakkan tapak IPTA di Malaysia ini asalnya adalah hutan. Di UKM misalnya, dulu merupakan kawasan hutan. UM dan UIA juga begitu. UUM di utara semenanjung Malaysia juga sama. Semuanya berasal dari tapak hutan. Jika difikirkan, ke mana perginya haiwan-haiwan yang menjadikan kawasan hutan tapak IPTA-IPTA ini dulu pergi? Habitat mereka diceroboh dan kita menyalahkan haiwai-haiwan ini jika kita diserang.
Haiwan tidak diberi akal tetapi manusia mempunyai akal. Jadi jelas tanggungjawab untuk memikirkan penyelesai bagi masalah ini ialah manusia. Akal yang ada ini bukan asyik digunakan untuk memikirkan sumber wang, keuntungan dan sebagainya, tetapi juga untuk memikirkan apa yang terbaik untuk semua makhluk ciptaan Tuhan di atas muka bumi ini.
Pada pendapat saya, kurangkanlah pembangunan dan pencerobohan hutan. Biarkan bumi Malaysia ini kekal hijau. Biarkan haiwan-haiwan itu bahagia tinggal di hutan seperti mana kita bahagia dengan kehidupan kita. Selamat Hari Bumi saya ucapkan.
Sekian.
Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone
Tuesday, April 19, 2011
Kosmo - Ape la nak jadi
Muka hadapan berita utama ialah mengenai cukai tanah UUM 1.8 juta yang dikenakan oleh kerajaan negeri Kedah.
Malam tadi saya juga menonton berita mengenai cukai tanah UUM ini di Buletin Utama TV3. Agendanya lebih kurang sama sahaja iaitu mewujudkan perspektif negatif terhadap kerajaan negeri Kedah yang kini ditadbir oleh Pakatan Rakyat.
Inilah tujuan atau matlamat media penentu agenda yang banyak diterbitkan di Malaysia dan di antaranya juga adalah media perdana yang seharusnya telus dan tidak bias. Media tidak boleh memihak pada mana-mana pihak. Media adalah saluran maklumat bagi rakyat dan rakyat berhak untuk mendapat maklumat yang benar dan mendidik.
Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone
Saturday, April 16, 2011
P'raya negeri S'wak: Pengundian bermula - Malaysiakini
Thursday, April 14, 2011
Seram, Seram, Seram...
Kini saya sudah dewasa dan syukur saya sudah tidak seperti waktu zaman kanak-kanak. Saya sudah menjadi seorang anak muda yang agak berani hingga kadang-kadang berani tidak kena pada tempatnya. Emak saya hingga naik marah kerana lelakinya kini sudah berani dan dia minta supaya menjadi penakut semula agar tidak melakukan sesuatu yang padanya merbahaya.
Saya sebenarnya buka hendak berbicara mengenai zaman kanak-kanak saya dulu tetapi mengenai drama dan filem seram. Saya tertanya-tanya apakah yang menarik di sebalik drama dan filem genre seram ini. Saya tidak dapat memahaminya hingga kini.
Bagaimana pula dengan kesannya? Adakah ia mendidik ke arah fikiran yang maju atau sebaliknya? Dari segi agama Islam pula, hantu merupakan perkara yang syirik jika kita mempercayainya. Bagaimana masyarakat dan negara hendak maju jika dihidangkan dengan drama dan filem yang bergenre begini.
Pada pendapat saya, tidak salah untuk berkarya, tetapi biarlah karya yang mendidik. Karya yang menjadikan masyarakat bijak. Karya yang menjadikan masyarakat berfikiran maju. Karya yang membawa masyarakat keluar dari kepercayaan yang karut marut.
Walaubagaimanapun, saya tetap menyukai beberapa drama atau filem yang bergenre seram tetapi diselit genre lawak. Antaranya ialah Hantu Kak Limah Balik Rumah.
Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone
Seputar Hidup
Hidup ini ibarat roda, ada kalanya di atas dan ada kalanya di bawah. Cuba kita lihat bumi, ia berbentuk bulat dan juga berputar lalu siang dan malam silih berganti. Putaran bumi ini menjadi kiraan hari yang juga menjadi angka kepada umur kita.
Sedang saya duduk di ofis, saya terpandang kipas syiling. Laju ia berputar. Lalu terlintas di fikiran saya satu soalan. Bagaimanakah keadaannya jika bumi ini berputar laju seperti kipas?
Saya pasti tentu kita langsung tiada masa untuk duduk santai memikirkan tentang nasib. Semuanya akan menjadi begitu pantas. Muda akan cepat tua dan ajal pasti menjemput awal.
Kelajuan putaran bumi ini sesuai untuk kita memuhasabah diri. Memikirkan apa yang telah kita lakukan dan punya masa untuk bertaubat pada yang insaf dan kesal. Allah itu memberi kita ruang dan peluang yang kita tidak sedari ini.
Saya bukanlah guru agama untuk memberi ceramah dan bercerita tentang hadith dan sirah. Saya cuma insan yang mencari. Mencari hakikat hidup di sebuah pentas perhentian ini. Mencari makna sebuah kehidupan yang sebenarnya. Matlamat syurga sementara atau syurga yang kekal selamanya.
Sekian.
Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone
Ombak Kebangkitan Rakyat Sarawak
Inilah gambar yang saya dapat kongsikan bersama anda semua. Sumber gambar ini dari laman sosial Facebook. Bagaimana pula dengan kita? Mahu ikut serta?
Wednesday, April 13, 2011
Dialog Peradaban Barat & Islam
Ketika saya menaip post ini, saya sedang berada dalam majlis dialog seperti tajuk di atas. Majlis dialog ini bermula sekitar jam 9 dan bertempat di Lecture Hall A, Pusat Asasi UIAM, Petaling Jaya.
Bersama dalam majlis dialog ini yang juga sebagai panel ialah Imam Faisal Raof. Beliau bertutur dalam Bahasa Inggeris dan sekali-sekala beliau bertutur dalam Bahasa Melayu walaupun tidak begitu fasih. Kadang-kadang beliau terbawa-bawa bertutur dalam Bahasa Melayu Indonesia.
Apa yang menarik dalam majlis dialog ini ialah ia di luar budaya kebiasaan majlis-majlis seperti ini di Malaysia. Kebiasaannya sesi soal jawab akan diadakan di akhir sesi tetapi majlis ini soalan boleh ditanya pada bila-bila masa. Apa yang tambah menarik, dalam setiap penerangan yang diberikan oleh panel, setelah selesai beliau akan meminta audien untuk bertanya. Saya gembira melihat audien banyak bertanya dan kadang sampai berebut-rebut.
Terkejut juga saya dan ini juga di luar kebiasaan iaitu kehadiran seorang audien berbangsa Cina yang saya dia bukan beragama Islam. Perempuan yang berbangsa Cina ini juga bangun untuk bertanyakan soalan kepada panel. Ini suatu yang agak baru bagi saya. Bukan Islam diberi ruang dalam majlis ilmu yang bertemakan Islam. Inilah keterbukaan yang diperlukan oleh masyarakat Islam di Malaysia.
Kehadiran dalam dewan kuliah agak penuh dan saya boleh katakan bahawa program ini berjaya. Namun, panel ada mengatakan "it's not about quantity but quality". Bagi saya, kuantiti dan kualiti itu ada dalam majlis ini.
Majlis dianggarkan akan tamat sekitar jam 11. Semoga majlis ilmu seperti akan sentiasa diadakan dan diperbanyakkan lagi bukan sahaja di institut-institut pengajian ilmu, tetapi di mana-mana jua tempat di luar sana.
Sekian.
Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone
Antara Pakaian Istiadat & Rakyat
Adakah pakaian seorang YB melangkaui tugasnya kepada rakyat?
Adakah pakaiannya tidak menutup aurat?
Ada apa dengan pakaian istiadat?
Hanya sekadar budaya dan kebiasaan sahaja.
Hanya menjaga adat menjunjung mereka.
Mereka yang tidak peduli nasib rakyat.
Rakyat mengundi mereka bukan untuk berpakaian istiadat, tetapi untuk menjadi wakil rakyat.
Untuk bekerja membela nasib rakyat.
Untuk berjuang mendapatkan hak rakyat.
Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone
Kritik Media
Lagi mengenai media perdana yang saya tidak patut berlaku. Media perdana yang merupakan media cetak ini dilihat pro kerajaan dan juga kepada negara. Tetapi saya tidak faham bagaimana perkara seperti ini boleh terjadi? Sekali lihat mungkin kita tidak perasan apa masalahnya, tetapi ia berkaitan dengan keutamaan.
Berita mengenai bola sepak berada di atas dan gambar serta yang lebih besar berbanding dengan berita bola sepak dalam negara. Kenapa ini terjadi? Berani saya katakan ini mungkin salah satu sebab kepada kejatuhan populariti liga bola sepak dalam negara.
Media cetak perdana ini lebih mementingkan berita bola sepak luar negara. Ini ada unsur untuk menarik pembeli dan motif utamanya adalah keuntungan semata-mata.
Kepada editor dan keseluruhan kakitangan media cetak perdana ini dan juga yang lain, saya harap dan minta supaya berita dalam negara diberi keutamaan seperti berita mengenai liga bola sepak dalam negara yang kelihatan suram. Inilah sumbangan media kepada sukan dalam negara yang sangat dituntut.
Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone
Tuesday, April 12, 2011
Hebahan: Dialog Peradaban Islam & Barat
Mendapat info dan jemputan daripada Presiden PKPIM untuk ke program ini. Jika berkelapangan saya pasti akan menyertai.
Saya juga menjemput anda semua untuk hadir sama. Info mengenai program seperti dalam gambar dan juga seperti di bawah.
Panel: Imam Faisal Raof (Pengerusi Cordoba Initiative, New York)
Tarikh: 13 April 2011
Waktu: 8 - 11 malam
Tempat: Dewan Kuliah A, Pusat Asasi UIAM, Petaling Jaya
Anjuran: Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone
Menyertai Atau Membentuk?
Akhbar merupakan media masyarakat yang menjadi saluran maklumat untuk rakyat. Oleh itu, maklumat yang disampaikan wajib benar dan telus. Perkataan dan lenggok bahasa serta susunan ayat juga mesti betul supaya ia tidak disalah erti atau faham oleh pembaca. Akhbar juga seharusnya menjadi wadah pendidik bangsa dengan memaparkan cetakan berita dan artikel yang membentuk pemikiran yang matang dan bijak.
Seperti yang dilihat dalam gambar, bagi saya pembetulan mesti dilakukan. Ini kerana terdapat salahguna perkataan dalam tajuk berita tersebut. Perkataan "menyertai" sepatutnya ditukar kepada "membentuk". Ini adalah sejarah dan ia wajib ditulis dengan betul, jujur dan telus. Bimbang jenerasi akan datang tersimpang dari sejarah yang sebenar.
Umum tahu Malaysia dibentuk pada 16 September 2011 iaitu Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak telah bersetuju untuk membentuk Negara Malaysia. Brunei dan beberapa negara lain tidak mahu ikut serta dalam membentuk Malaysia. Pada 9 Ogos 1965 Singapura telah keluar dari Malaysia dan membentuk negara sendiri.
Inilah hakikatnya, Sabah dan Sarawak yang masih kekal bukan menyertai Malaysia tetapi membentuk Malaysia. Diharap media cetak yang menjadi saluran informasi kepada rakyat dapat menulis atau mencetak dengan telus dan benar serta tidak bias. Begitu juga media elektronik dan media baru yang begitu diminati rakyat masa kini.
Sekian.
Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone
Monday, April 11, 2011
30 Bomoh
Saya hendak bercerita mengenai seseorang ini. Beliau ini merupakan orang pro parti yang telah banyak membela nasib orang Melayu di Malaysia.
Beliau bercerita mengenai ceramah Umi Hafilda yang tidak silap saya beliau telah hadir dan memberi sepenuh perhatian. Beliau ini terus mengulas dan bercerita. Saya hanya memasang telinga. Banyak juga yang beliau sampaikan kepada kawan-kawannya terutama tentang kisah 18 video seks yang Umi Hafilda hendak dedahkan tetapi masih belum hingga hari ini.
Apa yang tiba-tiba mengejutkan dan menjadikan telinga saya geli ialah beliau menyatakan bahawa Umi Hafilda kata ketika DSAI dibicarakan di mahkamah, ada 30 orang bomoh yang mengiringi DSAI. Dasyat sungguh! Ini telah mengalahkan Taib Mahmud yang diiringi oleh sekitar 6 orang bomoh sahaja ketika berkempen sewaktu PRN Sarawak yang dijadualkan 16 April 2011 ini.
30 bomoh ini jika benar tentu DSAI itu telah menang dalam semua kes beliau. Tentu sahaja hakim mahkamah dan peguam yang membicarakan kes DSAI itu akan jadi bodoh seperti orang yang percaya akan kisah kewujudan 30 bomoh ini.
Jika hendak berpolitik, berpolitiklah dengan cara yang bijak. Bukannya mereka-reka cerita yang akhirnya menunjukkan kebodohan diri sendiri.
Sekian.
Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone
Selesai Subuh
Penulis buku ini bernama Pramoedya Ananta Toer. Seorang penulis yang amat disegani bukan sahaja di Indonesia tetapi di mata dunia. Buku ini terbitan Syarikat Wira Karya, 1994.
Tiga tajuk cerpen yang terkandung dalam buku ini ialah Blora, Jalan Kurantil 28 dan Dendam. Ketiga cerpen ini sangat menarik. Ia merupakan cebisan kisah revolusi Indonesia.
Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone
Masyarakat Sampah
Kali ini saya bukanlah hendak bercerita mengenai sampah masyarakat tetapi mengenai masyarakat sampah. Saya sendiri tidak tahu bagaimana hendak meletakkan definisi bagi dua perkataan yang digabungkan ini. Namun, bunyinya seperti agak kasar tetapi ini realiti. Masyarakat sampah memang wujud dan Malaysia tidak terkecuali.
Sebenarnya saya ingin merujuk kepada tabiat masyarakat Malaysia tidak kira apa kaum dan agama yang gemar membuang sampah merata-rata tempat. Ikut suka tangan mereka sahaja.
Ini satu tabiat yang sangat buruk. Dalam Islam sendir menuntut umatnya supaya menjaga kebersihan. Tetapi saya sering juga melihat orang Islam yang membuang sampah di merata tempat. Tidak malukah kita kepada masyarakat luar yang datang ke negara kita? Bagi yang beragama Islam, tidak malukah pada pelancong luar yang bukan beragama Islam sedangkan Malaysia telah diiktiraf sebagai sebuah negara Islam tetapi kebersihannya tidak seperti seperti sebuah negara yang majoritinya orang Islam.
Cuba kita lihat dalam gambar, tong sampah ada tetapi pelbagai jenis sampah bersepah diluarnya. Susah sangatkah untuk membuang sampah-sampah itu ke dalam tong sampah? Hanya buka dan masukkan. Semudah 1, 2, 3 sahaja. Tolonglah sedar wahai saudara-saudari yang senegara denganku.
Tidak kurang juga ada masyarakat yang perihatin dan bertanggungjawab. Orang-orang seperti ini akan membuang sampah ke dalam tempat yang disediakan. Tetapi lain pula masalahnya. Bilangan sampah tidak mencukupi atau saiznya tidak sesuai dengan kuantiti sampah yang dibuang di kawasan itu.
Tambah lagi dengan pengalaman saya dan saya biasa mengalaminya. Apabila saya hendak membuang sampah, saya tercari-cari tong sampah dan kadang-kadang tong sampahnya ada tetapi perlu berjalan agak jauh untuk mendapatkannya. Jadi tidak hairanlah jika ramai orang membuang sampah merata-rata. Mereka ini sukar untuk membuang sampah di tempat yang betul.
Pada pendapat saya, ini tanggungjawab pihak yang terbabit dan perlu memainkan peranan secara proaktif untuk mengatasi masalah ini. Sediakan tong sampah yang mencukupi dan saiz yang sesuai berdasarkan keperluan. Biarkan masyarakat dapat membuang sampah dengan mudah dan senang di tempat yang betul. Jagalah kebersihan dan cintailah keindahan bumi tempat tinggal kita ini.
Sekian.
Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone
Bukan Iklan Malaysia
Saya bukanlah hendak bercerita mengenai roti canai atau nasi lemak tetapi apa yang saya lihat ketika sedang asyik makan roti canai. Anak mata saya kurang senang melihatnya. Timbul persoalan yang saya pasti sukar untuk dicari jawapan kerana mungkin tiada siapa yang tahu akan jawapannya.
Apa yang saya lihat itu seperti yang terdapat dalam gambar. Hanya iklan jawatan kosong. Apa masalahnya? Ini sesuatu yang baik dan perlu direbut. Kepada sesiapa yang masih belum mempunyai pekerjaan dan mempunyai kelayakan seperti yang dinyatakan, silalah memohon. Jika ada rezeki, pekerjaan itu pasti milik anda.
Namun, isunya bukan itu, tetapi kenapa menggunakan Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina sahaja? Setahu saya, kedai ini terletak di Malaysia iaitu sebuah negara yang majoriti masyarakatnya bertutur dalam Bahasa Melayu. Ini juga tertakluk dalam perlembagaan iaitu Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. Jadi, persoalannya lagi, kepada siapa iklan ini ditujukan? Kepada rakyat Amerika dan Chinakah?
Saya bukanlah hendak taksub dengan Bahasa Melayu tetapi bahasa ini ialah bahasa yang dituturkan secara rasmi di Malaysia. Jadi, gunakanlah ia sebaik mungkin dalam apa jua keadaan dan urusan.
Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone
Muhasabah Diri - Perhiasan Sebelum Tidur
Saya tertarik untuk membicarakan tentang apa yang kita fikir sebelum tidur. Setelah berjam-jam kita berjaga, tiba masa sebelum tidur, kita fikir kembali apa yang telah kita lakukan atau kerjakan. Adakah hidup kita hari ini telah kita lakukan sesuatu yang bermakna untuk diri kita, agama, masyarakat dan negara. Inilah yang dikatakan muhasabah diri dan ia sangat dituntut dalam Islam.
Tidur juga diistilahkan seperti mati iaitu mati seketika. Jadi eloklah kita merenung kembali amalan kita seharian sebelum kita "mati seketika" ini. Ada juga "mati seketika" yang menjadikan mati untuk selama-lamanya. Sesungguhnya ajal dan maut itu di tangan Tuhan.
Jadi baiklah jika kita muhasabah diri dan seterusnya beristighfar. Saya pasti tidur kita akan lebih sempurna jika kita melakukan amalan ini. Kemudian kita juga boleh membaca ayat Qursi dan juga doa sebelum tidur.
Harapan semoga tidur kita akan diberkati oleh Allah dan terhindar dari mimpi-mimpi yang buruk. Moga hari esok dan hari-hari akan datang lebih baik dari hari ini.
Selamat malam saya ucapkan. Assalamualaikum penutup bicara malam.
Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone
Sunday, April 10, 2011
Penyangkut baju
Kali ini saya mahu mengetengahkan sesuatu yang terbuku dalam fikiran dan hati saya. Ia berkaitan dengan bahasa kebangsaan iaitu Bahasa Melayu. Bahasa yang saya tuturkan semenjak saya tahu berbicara hingga kini. Saya setia dengan bahasa kebangsaan ini.
Namun saya bimbang apabila memikirkan kelangsungannya pada masa hadapan. Ia terdetik apabila saya melihat benda seperti dalam gambar yang juga diberi nama atau disebut "penyangkut baju". Benarkah rakyat Malaysia terutama orang Melayu menggunakan kata nama "penyangkut baju" bagi benda ini? Tepuk dada tanya selera. Saya sendiri tidak menggunakan kata nama tersebut. Kebanyakkan orang menggunakan perkataan kata nama dalam Bahasa Inggeris iaitu "hanger".
Jujur saya kata dan saya percaya ramai orang selesa dengan menyebut "hanger" berbanding "penyangkut baju". Bagaimana ini boleh terjadi? Kenapa kita tidak memperkayakan bahasa kita ini?
Timbul juga persoalan yang saya rasa logik. Jika perkataan "penyangkut baju" digunakan, bagaimana pula jika benda ini digunakan untuk menyangkut seluar? Ia bukan lagi menjadi "penyangkut baju" tetapi "penyangkut seluar".
Jadi saya fikir, pihak yang bertanggungjawab wajib untuk memikirkan jalan penyelesaian bagi masalah bahasa seperti ini. Coretan saya ini bukan untuk memperlekehkan bahasa kebangsaan, tetapi kerana rasa keperihatinan dan harapan saya yang mahu melihat Bahasa Melayu menjadi bahasa global yang setanding dengan bahasa dunia lain.
Cintailah bahasa kebangsaan kita dan gunakanlah sebaik mungkin dalam setiap tutur kata kita seharian. Jika bukan kita, siapa lagi akan menggunakan Bahasa Melayu ini? Jatuh bangunnya di tangan kita.
Sekian
Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone
Sayang Gebeng, Kuantan, Pahang, Malaysia
Saya berasa sangat kecewa kerana dalam bantahan demi bantahan yang dilakukan, projek Lynas ini masih diteruskan dan tiada langsung tanda-tanda ia akan dihentikan.
Tambah lagi MB Pahang menjamin bahawa projek ini selamat dan tidak merbahaya. Beberapa orang ahli politik Umno juga menyatakan sokongan supaya projek ini diteruskan. Mereka ini seperti tiada perikemanusiaan, mahu meneruskan projek yang sangat diragui kerana beberapa negara termasuk negeri Terengganu sendiri telah menolak projek itu dibina di sana. Tentu ada sebabnya ia ditolak. Negara Australia iaitu merupakan lokasi sumber "rare "earth" dicarigali juga tidak membenarkan ia diproses di sana.
Projek yang bernilai RM700 juta ini sangat diragui. Ia langsung tidak mendatangkan keuntungan kepada pihak negeri atau negara terutama pihak rakyat yang pasti akan menanggung akibat kesan radiasi pemprosesan loji "rare earth" tersebut.
Saya sangat pasti bahawa saya membantah sekeras-kerasnya projek ini. Saya menanti demonstrasi jalanan dianjurkan dan saya pasti akan menyertainya. Oleh itu, saya menyeru supaya semua rakyat Pahang dan juga seluruh Malaysia supaya nyatakan dan suarakan bantahan anda supaya negara negara kita ini bersih dari projek yang merbahaya seperti ini.
Ayuh semua, hak kita sebagai rakyat untuk hidup dalam keadaan selamat dan hak kita juga untuk membantah!
Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone
Tentang Telur Tiruan @ Palsu Lagi
- Asid sodium alga
- Gelatin
- Natrium benzoat
- Lakton
- Karboksimetil selulosa
- Kalsium karbaid
- Laisin
- Kalsium klorida
- Lilin parafin
- Tepung gypsum
Cara membuat melibatkan 7 langkah seperti dalam gambar.
Sumber: Akhbar Sinar Harian, m/s 6, Ahad, 10 April 2011.
Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone
Saturday, April 9, 2011
Khas Untuk Rakyat Sarawak
Telur Palsu
Oleh itu, setiap pagi sebelum ke sekolah, emak akan menyuruh saya memakan telur separuh masak yang digaul dengan kicap. Pada permulaan memang agak liat untuk saya memakannya, tetapi setelah beberapa minggu berlalu, ia telah menjadi kebiasaan dan telur separuh masak yang digaul dengan kicap begitu sedap saya rasa.
Kini saya telah dewasa, keadaan tubuh badan saya sudah sihat iaitu sudah tidak kurus, cekung dan pucat. Emak saya juga gembira dengan keadaan saya sekarang.
Tetapi baru-baru ini heboh di media seluruh negara mengenai telur palsu atau tiruan yang berada di pasaran. Telur palsu ini dikatakan buatan China. Kos pembuatannya juga sangat rendah. Dari segi kesan terhadap kesihatan, saya masih kurang pasti.
Nasib baik zaman kanak-kanak saya sudah berlalu. Tetapi bagaimana dengan kanak-kanak yang mengalami keadaan seperti saya dulu di masa kini? Mungkinkah mereka akan terselamat dari telur palsu ini?
Telur ini dikatakan datang China. Bagi saya ini padah kepada kerajaan kerana terlalu banyak mengimport bahan makanan dari luar terutama dari China.
Kesimpulannya, kerajaan perlu menggalakkan penghasilan bahan makanan dalam negara ke tahap yang tertinggi agar aktiviti mengimport bahan makanan dari luar dapat dikurangkan. Ini sudah tentu dapat menjamin ketulenan dan keaslian serta kehalalan bahan makanan tersebut. Tingkatkan produktiviti dalam negara.
Sekian.
Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone
Friday, April 8, 2011
Sarawak & Perubahan
Ketinggalan ini merujuk kepada rakyat di negerinya yang masih miskin dan kurang kemudahan awam. Tiada jalan raya untuk ke kawasan pedalaman dan pendidikan juga masih tidak tinggi di kalangan masyarakat terutama yang berada di luar bandar dan yang paling penting bagi waris masa depan yang akan menjadi pemimpin di Sarawak.
Inikah yang sepatutnya rakyat Sarawak dapat setelah 48 tahun diperintah oleh kerajaan Barisan Nasional? Media memaparkan seolah-olah Sarawak begitu maju dan terkehadapan. Tetapi ia sebenarnya tidak. Seorang kawan yang bertugas di sana pernah berkata bahawa Sarawak tidak sepatutnya begitu selepas 48 tahun kerana dalam tempoh yang panjang itu ia sepatutnya dalam keadaan yang lebih baik dan maju.
Ya, PRN kali ini yang akan menjadi titik tolak perubahan di sana. Rakyat perlu bangkit dan berubah. Pilihlah pemimpin yang membawa aspirasi rakyat.
Indera Segara mengucapkan selamat berkempen kepada parti-parti politik yang bertanding dan selamat mengundi kepada seluruh rakyat Sarawak. Undi adalah hak anda dan undilah untuk sebuah perubahan.
Sekian.
Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone
Pakatan Pilihan Raya
Ya, inilah dia kain rentang itu (seperti dalam gambar). Apabila diamati, ia seperti ada unsur sebuah pakatan pula. Pakatan yang janggal. Lebih janggal dari babak PAS boleh duduk semeja dengan DAP.
Sebuah suruhanjaya yang bebas yang menguruskan pilihan raya di Malaysia, logonya boleh bersama dengan kain rentang parti politik. Sekali lihat, adakah ini kain rentang milik SPR kerana ia bermula dengan SPR di hadapan ayat. Tetapi jelas ia milik parti politik Umno/BN. Cuba bayangkan jika kain rentang ini milik Pakatan Rakyat, mungkinkah akan jadi isu?
Apa yang jelas di sini ialah keadaan terdesak parti Umno/BN dan bersekongkol pula dengan SPR. SPR sepatutnya berkecuali dan tidak boleh sama sekali terlibat dalam kain rentang ini.
Kesimpulannya, PRU13 seperti sudah semakin hampir dan parti Umno/BN kini terdesak untuk menawan kembali negeri-negeri yang kini dikuasai Pakatan Rakyat. Gelombang kebangkitan rakyat yang mahukan perubahan kini semakin hangat dan peluang PR untuk menawan Putrajaya semakin cerah. Walaubagaimanapun, politik yang telus penting untuk membawa masyarakat dan negara ke arah kemajuan.
Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone