Helaian muka

Friday, April 17, 2009

JANGAN JADI LAYANG-LAYANG YANG MEMUTUSKAN TALI

Pada petang rabu, 15hb April 2009, terasa bosan duduk di rumah selepas pulang dari kerja. Tiba-tiba aku teringat mengenai cerita yang disampaikan oleh emak saudara pupu yang aku gelar Mak Chu. Ia adalah kisah sewaktu suaminya yang juga aku gelar Pak Chu mengajar di Pekan atau Kuantan (terlupa plak aku).

Pak Chu aku ini merupakan cikgu disiplin di sekolah ( tidak diberitahu pula nama sekolah tu kat aku) yang dia mengajar itu. Dia juga merupakan seorang cikgu disiplin yang garang. Oleh kerana tugasnya sebagai cikgu disiplin agak berat dan masalah disiplin pelajar juga sentiasa ada, maka dia telah membeli sebuah motor scrambler ( seperti motor dalam filem Gila-gila Remaja ). Tergelak juga aku waktu mendengarnya. Tidak sangka Pak Chu aku yang agak warak dan alim itu mempunyai sejarah yang sebegitu.

Tujuan dia membeli motor seperti itu agar mudah dia untuk mengejar pelajar-pelajar yang lari atau ponteng sekolah. Motor jenis itu memang dicipta untuk kegunaan lasak. Jadi jika pelajar-pelajar yang dikejarnya masuk ke hutan, dia dengan bersahaja juga masuk ke hutan dengan menunggang motornya itu.

Ramai pelajar-pelajar yang telah ditangkapnya tetapi hanya berkenaan dengan seorang pelajar ini saja yang Mak Chu aku nak cerita. Aku pun sudah betul-betul tertarik dengan ceritanya itu. Kekadang tergelak kecil aku dibuatnya apabila membayangkan babak-babak dalam cerita itu. Maklumlah, aku pun pernah bersekolah dan agak nakal juga. Jadi begitu mudah aku membayangkannya.

Berbalik kepada kisah seorang pelajar yang tidak diberitahu namanya itu. Dia telah ditangkap oleh Pak Chu aku di dalam hutan sewaktu dia sedang enak menghidu gam. Mungkin sebab terlalu khayal, jadi dia tidak sempat melarikan diri. Kalau lari pun memang kena kejarlah dengan Pak Chu aku yang menunggang motor scrambler tu.

Pak Chu aku waktu itu agak berang dan tanpa belas kasihan terus dibelasahnya pelajar itu. Mengikut ceritanya, teruk juga pelajar itu kena belasah. Setelah selesai budak itu dibelasah, baru Pak Chu aku membawanya balik semula ke sekolah. Tindakan disiplin pun dikenakan ke atas budak tu.

Selepas kejadian itu, pelajar itu masih lagi bersekolah di situ. Tetapi segalanya sudah berubah. Pelajar itu telah berubah dengan banyak sekali. Pak chu pun tidak menyangka akan berlaku sedemikian. Boleh dikatakan tiap-tiap hari nenek budak tu menghantar buah-buahan dan kuih-muih kat pak Chu aku atas rasa syukur dan terima kasih kerana telah merubah cucunya. Sebenarnya pelajar itu dibesarkan oleh neneknya. Tidak silap aku emak dan ayahnya berpisah dan semenjak itu neneknya yang memegang tanggungjawab sebagai emak dan ayah kepada pelajar itu.

Nak dipanjangkan cerita lagi, Pak Chu aku telah bertukar mengajar di sekolah yang lain. Selang beberapa tahun, Pak Chu aku kembali semula ke sekitar daerah di mana sekolah yang dia pernah mengajar itu terletak. Saja berjalan-jalan atau atas sebab tugas tidak pula aku diberitahu. Sedang Pak Chu aku berjalan-jalan, tiba-tiba seorang lelaki muda menegur dia dan menghulurkan tangan untuk bersalam. Pak Chu agak terkejut dan tanpa berfikir terus menghulurkan tangannya untuk menyambut salam pemuda itu. Lagi bertambah terkejut apabila pemuda itu mencium tangannya. Kemudian dengan hairan Pak Chu aku bertanya kepada pemuda itu, ‘ kamu siapa?’ Lalu pemuda itu tersenyum menjawab, ‘sayalah budak yang cikgu pernah belasah di dalam hutan dulu’. Barulah Pak Chu aku ingat akan kisah pelajar yang dibelasahnya di dalam hutan atas sebab ditangkap kerana memonteng dan menghidu gam. Budak itu yang telah pun menjadi pemuda begitu ramah dan mesra dengan Pak Chu aku.

Sebenarnya Pak Chu aku ini dulu lebih suka dan memandang tinggi pelajar-pelajar yang cerdik pandai dan tidak melakukan masalah disiplin. Tetapi dia kecewa dengan pelajar-pelajar jenis ini kerana langsung tidak menunjukkan sikap yang baik ketika bertemu dengannya di luar setelah mereka dewasa dan berjaya. Ketika terserempak, ada di antara mereka ini yang memalingkan muka dan buat-buat tidak kenal. Sepatutnya mereka yang baik dan dipandang tinggi oleh guru-guru inilah yang lebih cakna apabila berjumpa dengan bekas guru-guru yang pernah mengajar mereka.

Berlainan pula situasinya ketika itu. Seorang pelajar yang bermasalah dan tambah lagi pernah dipukul olehnya lebih menghormati dan mesra dengannya walaupun sudah bertahun-tahun tidak berjumpa. Terharu sungguh Pak Chu aku. Semenjak itu, persepsi Pak Chu aku terhadap pelajar-pelajar yang nakal telah berubah. Dia juga sudah tidak terlalu memandang tinggi pelajar-pelajar yang cemerlang dan tidak mempunyai masalah disiplin.

Begitulah kisahnya. Pak Chu aku kini telah pun pencen. Buat pengetahuan semua, beliau pernah menjadi pegawai pendidikan di PPD Bera dan Temerloh.

Harap-harap tulisanku ini dapat menyedarkan dan memberi iktibar kepada sesiapa saja yang masih bersekolah ataupun sudah lama meninggalkan sekolah. Janganlah lupa diri dan asal-usul. Kenanglah jasa orang di sekeliling kita terutama ibu bapa dan guru-guru. Tanpa mereka kita bukan siapa-siapa. Manusia dicipta dari tanah dan akan kembali juga ke tanah. Walau tinggi mana pun kita berada, kita tetap akan turun ke bawah.

Layang-layang tidak akan terbang jika tanpa tali, pemain dan kemahiran. Jika putus tali itu, maka melayang-layanglah tanpa arah dan akhirnya jatuh. Pemain layang-layang tidak pernah ingin terbang bersama dengan laying-layangnya. Cukuplah sekadar puas sambil tersenyum gembira melihat layang-layangnya terbang tinggi.

0 comments: