Helaian muka

Tuesday, April 14, 2009

Perubahan: Sesuaikah ia di waktu kini?

Tanah Melayu yang dulu penuh dengan kehijauan tetapi kini diliputi dengan pembangunan. Anak-anak muda Melayu dahulu berpantang maut sebelum ajal untuk mempertahankan kedaulatan agama, bangsa dan negara tetapi muda-mudi Melayu generasi kini begitu mudah luntur adat dan budayanya dikikis kemodenan dalam arus globalisasi. Melayu yang dulu bersatu demi mencapai kemerdekaan tetapi kini seperti cerai yang menanti roboh. Empayar Islam yang dulu disegani tetapi kini tiada lagi. Adakah ini hasil sebuah perubahan?

Perubahan menuntut supaya kita berfikir sedalam-dalamnya sebelum tindakan untuk berubah itu dilakukan. Perubahan juga menuntut keberanian iaitu berani untuk menanggung segala risiko atas perubahan itu.

Perubahan boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu dari yang baik kepada buruk atau dari yang buruk kepada baik. Tiada seorang insan di dunia ini yang mahu berubah kepada yang tidak baik. Tetapi perubahan tidak hanya menuntut ke arah kebaikan, tetapi ia juga boleh menjadi sesuatu yang buruk dan mungkin lebih buruk dari sebelumnya. Justeru itu, berfikirlah sebelum kita berubah. Jika masa depan perubahan itu masih lagi kelam dan tidak pasti, baiklah saja dikekalkan seperti sediakala.

Lihatlah fenomena dunia di era global yang sentiasa berubah-ubah. Segalanya cepat, mudah dan senang. Segalanya hanya di hujung jari. Tetapi bagaimana pula implikasi negatifnya? Tidak perlu susah payah kita melihat jauh sampai ke Barat, Utara atau Selatan. Lihatlah apa sudah jadi dengan anak bangsa kita sendiri? Sudah lupa adat dan budaya ketimuran. Pergaulan bebas tanpa segan dan silu. Sopan-santun budi bahasa tidak lagi seindah dulu. Bahasa ibunda disalaikan hingga tiada lagi kecap manisnya. Sungai yang dulu jernih dan bersih serta kaya dengan hasilnya kini hanya sampah-sarap yang menjadi isi. Mengalir lesu langsung tidak bermaya. Hutan rimba yang kaya dengan khazanah alam kini miskin dengan kehijauan. Pokok-pokok yang seumur dengan nenek moyang kita tergadai tanpa ganti. Pernahkah kita dengar laungan alam ini kita dengar dari lantangnya suara ahli-ahli politik tanahair kita? Mereka inikah yang akan memandu perubahan?

Bertuah sungguh jika kita mendengarnya. Selama ini tidak pernahku dengar semua ini disuarakan oleh ahli-ahli politik tanahair kita sewaktu berkempen. Tidak kira dari pihak kerajaan atau pembangkang, semuanya berkisar mengenai peruntukan yang nilai jutaan ringgit, harga minyak, halal dan haram, perubahan itu dan ini dan bermacam-macam lagi yang menjadi modal janji palsu mereka ini. Tidak sunyi juga dari fitnah dan cacian. Suatu kisah, tergelak kecil dalam hatiku sewaktu menonton rakaman ceramah seorang ahli politik berjanji jika beliau menang maka pada keesokan harinya harga minyak akan terus turun. Bagi rakyat yang mengundi ahli politik ini, adakah undi mereka sama nilainya dengan harga minyak yang hendak diturunkan itu? Nampak sungguh ketandusan idea bagi ahli politik tersebut untuk mencari modal memancing undi. Oleh kerana ceteknya akal berfikir dan gopohnya untuk berubah, maka berlumba-lumba rakyat mengundi ahli politik ini. Ingatlah, ahli-ahli politik ini juga manusia biasa seperti kita. Mungkin ada kelebihan tetapi tidak kurang juga kelemahannya. Perubahan yang dilaung-laungkan mungkin juga benar atau palsu yang menyerupai asli.

Perubahan memang dituntut jika kita ingin terus maju. Namun biarlah ia ke arah kebaikan. Renunglah sejauh mungkin mata memandang. Disebalik terang mungkin banyak kegelapan. Berubahlah apabila kita sudah benar-benar pasti agar tidak menyesal di kemudian hari.

0 comments: