Helaian muka

Friday, April 10, 2009

JANJI MELAYU

menduduki Tanah Melayu ataupun sekarang yang lebih dikenali sebagai Malaysia. Namun begitu, dalam sebilangan besar orang melayu yang menduduki negara Malaysia ini, terdapat satu istilah yang saya kurang fahami kenapa ia boleh wujud. Ia hanya dua perkataan yang selalu disebut dan dijadikan alasan berkaitan dengan kelewatan masa iaitu ‘Janji Melayu’. Saya selalu mendengar istilah ini sejak dari kecil lagi. Saya tertanya-tanya kenapa istilah ini boleh wujud dan terus menular sehingga ia menjadi seperti satu kebiasaan atau adat resam atau juga sebagai satu cara orang Melayu menguruskan masa.

Bagaimana istilah tersebut boleh wujud dan siapakah orang pertama yang mengucapkannya? Adakah orang itu berketurunan melayu atau bangsa asing? Mungkinkah terdapat satu peristiwa yang menjadi punca kepada kewujudan istilah ini? Begitulah persoalan yang wujud dan tersimpan lama di benak fikiranku ini. Namun begitu, saya berasa pasti bahawa persoalan ini sebenarnya tidak punya jawapan kerana tiada siapa pun yang boleh menjawabnya. Tetapi tidak tahulah pula jika waktu akan datang akan dijodohkan saya bertemu dengan insan yang mempunyai jawapan ke atas semua soalan ini.

Berbalik kepada istilah ‘Janji Melayu’, ia seolah-olah memburukkan imej orang Melayu di sisi bangsa yang lain. Disebabkan istilah ini, bangsa lain kurang mempercayai orang melayu dan seterusnya memandang rendah terhadap bangsa melayu. Ini amat kurang menyenangkan bagi diri insan yang menyedari bahawa mereka merupakan orang Melayu. Tambah-tambah lagi rasa tidak senang itu sangatlah bagi sesetengah orang melayu yang tidak berpegang pada istilah tersebut. Kerana nila setitik rosak santan sebelanga.

Agama Islam merupakan agama rasmi bagi negara Malaysia yang termaktub dalam perlembagaan. Agama Islam juga merupakan agama yang dianuti oleh orang-orang melayu dan segelintir orang-orang bukan melayu di Malaysia. Apa yang ingin disampaikan di sini ialah agama islam itu sendiri menegaskan bahawa orang Islam mesti atau wajib menepati janji atau masa. Ini terbukti apabila orang yang memungkiri janji digolongkan dalam ciri-ciri orang yang munafik iaitu apabila berjanji ia mungkiri. Sudah terang lagi bersuluh. Masakan orang Islam yang juga berbangsa Melayu tidak mengetahui ini semua. Jika tidak mengetahuinya, maka saat dan tika ini perlulah sedar tentang pentingnya menepati masa dan janji dalam agama Islam itu.

Dari segi komunikasinya, istilah ini boleh dikaitkan dengan kronemik iaitu kajian yang berkaitan dengan gelagat penggunaan masa. Menurut kajian kronemik ini, orang yang tidak menepati janji atau masa atau juga lewat ialah orang yang malas, tidak bertanggungjawab atau tidak boleh dipercayai. Adakah ini istilah yang mendefinisikan sikap orang melayu? Nauzubillahiminazalik. Minta-minta dijauhkanlah persepsi sebegitu bagi orang-orang Melayu.

Budaya Melayu itu penuh dengan nilai-nilai murni, tinggi budi dan bahasanya serta kaya dengan sopan dan santunnya juga. Janganlah dicemari dengan istilah yang tidak bermoral tersebut. Marilah kita sama-sama memperbetulkan diri dan menjauhkan diri dari istilah ‘janji Melayu’. Apa yang diharapkan, semoga bangsa Melayu akan terus utuh dan berdiri teguh di mata dunia. Biar dunia mengenali kita. Buktikan kepada dunia bahawa bangsa Melayu merupakan bangsa yang berkualiti dan bukan bangsa yang boleh diperbodoh-bodohkan dan diperkotak-katikkan. Hidup Melayu!

0 comments: