Helaian muka

Wednesday, September 1, 2010

Sang Saka Merah Putih Bintang 12

Bendera merupakan satu lambang kemegahan sebuah negara. Bendera yang berkibar megah membawa semangat dan impian masyarakat di sesebuah negara untuk lebih memahami jati diri dan perjuangan dalam menubuhkan sesebuah negara serta perjuangan untuk mempertahankan negara daripada segala ancaman anasir luar. Bendera pasti juga akan dilihat apabila sebuah masyarakat atau bangsa sedang bersemangat berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan bagi negara mereka. Begitu juga halnya yang berlaku di Tanah Melayu (Malaysia) suatu ketika dahulu ketika perjuangan masyarakat terutama golongan muda berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan bagi Tanah Melayu yang tercinta ini.

Pelbagai nama tokoh pejuang seperti Dr. Burhanuddin Helmi, Haji Ishak Bin Mohamad (Pak Sako), Ahmad Boestamam dan ramai lagi yang juga mewakili pelbagai parti seperti KMM, PKMM, API dan AWAS. Mereka ini dilabelkan sebagai golongan pejuang haluan kiri. Penghargaan kepada pejuang-pejuang haluan kiri ini tidak mendapat tempat yang sepatutnya sebaliknya hanya nama pejuang Melayu daripada UMNO sahaja yang sering dicanang.

Keistimewaan pejuang haluan kiri ini ialah mereka boleh dikatakan antara golongan terawal yang berjuang dengan misi untuk mencapai kemerdekaan bagi Tanah Melayu ini. Berbekalkan semangat yang membara bersama bendera Sang Saka Merah Putih, mereka berjuang tanpa kenal penat dan lelah hingga sanggup berkorban demi tanah air yang tercinta ini.

Namun sedih kerana bendera yang mempunyai jiwa dan roh perjuangan untuk mendapatkan kemerdekaan ini telah diketepikan untuk memberi laluan kepada hasil penciplakan bendera Amerika. Oleh itu, jika masyarakat tidak menghormati dan mengibarkan bendera Malaysia, maka tidak boleh menyalahkan masyarakat kerana lumrah manusia mahukan sesuatu yang tulen atau original. Dengan ini, barang ciplak sepatutnya ditukar kepada yang tulen hasil tangan anak bangsa negara Malaysia sendiri. Begitu juga hal yang sama mengenai lagu Negaraku yang diplak daripada lagu Perancis iaitu Mamula Moon.

Inilah sumber dalaman yang sepatutnya menjadi agen kepada pembentukan jati diri anak-anak bangsa. Namun jika agen ini hasil ciplak, bagaimana hendak membentuk sebuah jati diri yang kuat lagi utuh? Tepuk dada dan tanya selera. Sesetengah pihak mengatakan bahawa ini merupakan bendera Komunis dan ada yang mengatakan ia menyerupai bendera Myanmar serta tidak cantik. Walaubagaimanapun, ini adalah bendera perjuangan yang sejati untuk menuntut kemerdekaan Tanah Melayu suatu ketika dahulu.

Salam Merdeka daripada saya. Moga negara kita akan terus maju dan anak-anak bangsa akan lebih merdeka dengan acuan yang baik dan positif. Sekian.

0 comments: