Helaian muka

Friday, September 24, 2010

Sinar Harian: Belia 4B Bantu Gerakkan Belia

KAMPUNG MENGKARAK – Gerakan Belia 4B Cawangan Mengkarak berhasrat menubuhkan kelab kompang yang melibatkan golongan remaja di kampung ini.

Pengerusinya, Muhayudin Salleh berkata, kelas pembelajaran kompang akan dimulakan Oktober ini dijangka memberi peluang kepada anak-anak muda khususnya di kampung ini untuk mempelajari teknik pukulan kompang yang betul.

Menurutnya, tenaga pengajar yang terdiri daripada ahli Belia 4B cawangan ini dapat melahirkan mereka yang benar-benar berbakat supaya dapat memastikan budaya tradisional ini dikekalkan pada masa akan datang.

“Saya percaya ramai yang berminat untuk mempelajari teknik pukulan kompang yang betul tetapi tidak berkesempatan berbuat demikian mungkin kerana tidak tempat untuk belajar atau pasukan kompang sedia ada tidak mahu menerima golongan muda ini.

“Walaupun kita hanya mempunyai 18 kompang yang boleh digunakan untuk mengajar mereka, namun sekurang-kurangnya ia dapat dimanfaatkan dengan baik dan memberi ruang kepada golongan muda ini untuk bersama dengan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri anjuran Belia 4B Cawangan Mengkarak di Dewan Serba Guna Kampung Mengkarak.

Turut serta Pengerusi Majlis Belia Negeri Pahang, Norol Azali Sulaiman; Pengerusi Belia 4B Negeri Pahang, Ahmad Daniar Ismail dan Ketua Kampung, Rosli Mohd Yunan.

Muhayudin berkata, usaha ini adalah untuk menyemarakkan lagi aktiviti golongan belia di kampung ini kerana tidak mahu mereka beranggapan tiada sebarang perancangan untuk mereka sedangkan mereka juga tidak ketinggalan berjasa terhadap tempat kelahiran sendiri.

Menurutnya, selesai sahaja pembelajaran selama dua bulan, kelab kompang akan ditubuhkan bagi memudahkan memenuhi keperluan majlis atau kenduri kahwin di kampung ini.

“Kelas ini tidak mengenakan sebarang bayaran kerana ia ditaja malah sesiapa sahaja boleh mengikuti kelas ini namun tumpuan hanya diberikan mereka yang berumur antara 12 hingga 20 tahun sahaja.

“Daripada mereka ini, kita akan mengambil mereka sebagai pemain kompang yang bernaung di bawah Belia 4B dan ilmu itu akan diturunkan kepada generasi yang akan datang pula,” katanya.

Muhayudin berharap, langkah ini mendapat sokongan daripada golongan belia supaya bersama-sama melonjakkan nama Belia 4B kampung ini sekali gus memasyhurkan lagi kebudayaan tradisional Melayu.

0 comments: