Helaian muka

Wednesday, July 28, 2010

Mengapa Terlalu Defensif?

Syukur ke hadrat Ilahi kerana aku masih lagi mampu untuk menaip. Kali ini coretan aku adalah mengenai sebuah pages di facebook.com yang aku tidak mahu ketengahkan namanya. Pages ini dimiliki oleh seorang pemimpin besar dalam salah sebuah parti pembangkang yang berteraskan Islam di Malaysia. Tidak pasti pula aku siapa yang menguruskan pages pemimpin parti politik ini dan aku seperti pasti bahawa pages beliau diuruskan oleh pembantunya.

Apa yang menarik minat dan buat aku terkejut ialah apabila komen aku di salah satu wall post pada 26hb Julai 2010 di pages tersebut telah dibuang (delete) oleh admin. Post itu berkaitan dengan pemimpin tersebut yang telah menghadiri Majlis Perasmian Radix Fried chicken Cawangan Kubang Kerian. Aku hanya mampu tersenyum lalu terbit soalan "mengapa terlalu defensif?".

Komen aku di wall post tersebut adalah berbentuk teguran iaitu mengenai penggunaan nama "Radix Fried Chicken". Kenapa perlu menggunakan Bahasa Inggeris sedangkan ia beroperasi di Malaysia? Aku melontarkan persoalan dalam ruangan komen iaitu mengapa tidak menggunakan Bahasa Melayu seperti "Ayam Goreng Radix"? Itukan lebih baik dan membawa agenda untuk memartabatkan Bahasa Melayu.  Komen ini telah dibuang begitu sahaja. Hmmmm...........

Aku melihat pemimpin-pemimpin lain daripada parti politik yang diterajui oleh pemilik pages ini "meletup-letup" membantah penggunaan Bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik.Tetapi apa yang berlaku kepada aku ini tidak seperti apa yang telah "diletupkan" itu. Adakah perjuangan anti PPSMI yang disokong dan diperjuangkan oleh sebilangan besar pemimpin dalam parti politik ini hanya retorik politik semata-mata? Adakah hanya untuk mendapatkan sokongan masyarakat kepada parti mereka? Nampaknya seperti benar apa yang terlintas di fikiran aku ini.

Persoalannya lagi mengapa terlalu defensif? Tidakkah parti politik ini memperjuangkan demokrasi dan keterbukaan serta semuanya adalah berasaskan Islam? Apa yang terjadi ini sangat memalukan pemimpin parti politik tersebut walaupun aku yakin beliau tidak mengetahui tentang perkara ini kerana pages beliau diuruskan oleh adminnya. Islam tidak mengamalkan prinsip yang menolak maklumbalas daripada masyarakat sebaliknya menerima dan menyelidik maklumbalas tersebut. Mencari kebenaran dan kesahihan serta rasinal yang wujud secara tersirat atau tersurat dalam maklumbalas yang diterima.

Terus terang aku amat kecewa dengan apa yang terjadi ini. walaubagaimanapun aku berharap admin pages atau mungkin seluruh pemimpin dan ahli parti tersebut tidak terlalu defensif sebaliknya perlu terbuka untuk menerima dan membincangkan sesuatu maklumbalas yang diterima.

Akhir kata dari aku, ikhlaslah dalam perjuangan. Sekian.

Sumber gambar: Umum dari Google

0 comments: