Helaian muka

Sunday, September 26, 2010

Matahari & Aku

Hari ini aku melihat matahari,
panas membara menghangat alam semesta,
lalu aku bertanya kepada diri,
apa yang telah aku beri?

Kepada langit dan bumi,
kepada udara, sungai dan lautan,
kepada rimbunan pohonan dan gunung-ganang bukit membukau,
kepada saudara dan jiran tetangga,
kepada yatim dan juga piatu,
kepada yang miskin dan yang fakir,
kepada agama dan tanahair ini.

Diriku rasa begitu kerdil,
melihat matahari memberi tanpa menerima dariku.

Friday, September 24, 2010

Sinar Harian: Belia 4B Bantu Gerakkan Belia

KAMPUNG MENGKARAK – Gerakan Belia 4B Cawangan Mengkarak berhasrat menubuhkan kelab kompang yang melibatkan golongan remaja di kampung ini.

Pengerusinya, Muhayudin Salleh berkata, kelas pembelajaran kompang akan dimulakan Oktober ini dijangka memberi peluang kepada anak-anak muda khususnya di kampung ini untuk mempelajari teknik pukulan kompang yang betul.

Menurutnya, tenaga pengajar yang terdiri daripada ahli Belia 4B cawangan ini dapat melahirkan mereka yang benar-benar berbakat supaya dapat memastikan budaya tradisional ini dikekalkan pada masa akan datang.

“Saya percaya ramai yang berminat untuk mempelajari teknik pukulan kompang yang betul tetapi tidak berkesempatan berbuat demikian mungkin kerana tidak tempat untuk belajar atau pasukan kompang sedia ada tidak mahu menerima golongan muda ini.

“Walaupun kita hanya mempunyai 18 kompang yang boleh digunakan untuk mengajar mereka, namun sekurang-kurangnya ia dapat dimanfaatkan dengan baik dan memberi ruang kepada golongan muda ini untuk bersama dengan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri anjuran Belia 4B Cawangan Mengkarak di Dewan Serba Guna Kampung Mengkarak.

Turut serta Pengerusi Majlis Belia Negeri Pahang, Norol Azali Sulaiman; Pengerusi Belia 4B Negeri Pahang, Ahmad Daniar Ismail dan Ketua Kampung, Rosli Mohd Yunan.

Muhayudin berkata, usaha ini adalah untuk menyemarakkan lagi aktiviti golongan belia di kampung ini kerana tidak mahu mereka beranggapan tiada sebarang perancangan untuk mereka sedangkan mereka juga tidak ketinggalan berjasa terhadap tempat kelahiran sendiri.

Menurutnya, selesai sahaja pembelajaran selama dua bulan, kelab kompang akan ditubuhkan bagi memudahkan memenuhi keperluan majlis atau kenduri kahwin di kampung ini.

“Kelas ini tidak mengenakan sebarang bayaran kerana ia ditaja malah sesiapa sahaja boleh mengikuti kelas ini namun tumpuan hanya diberikan mereka yang berumur antara 12 hingga 20 tahun sahaja.

“Daripada mereka ini, kita akan mengambil mereka sebagai pemain kompang yang bernaung di bawah Belia 4B dan ilmu itu akan diturunkan kepada generasi yang akan datang pula,” katanya.

Muhayudin berharap, langkah ini mendapat sokongan daripada golongan belia supaya bersama-sama melonjakkan nama Belia 4B kampung ini sekali gus memasyhurkan lagi kebudayaan tradisional Melayu.

Tuesday, September 21, 2010

Jamuan Hari Raya Anjuran GB4B Caw Mengkarak & Sambutan Hari Malaysia

Ucapan tahniah kepada semua ahli Gerakan Belia 4B (GB4B) Caw Mengkarak kerana telah berjaya mengadakan Majlis Jamuan Hari Raya berserta Sambutan Hari Malaysia. Kejayaan ini dapat dikecapi kerana semua belia bekerjasama dan bantu-membantu dalam menjayakan majlis yang setahun sekali diadakan ini.


Majlis yang berlangsung secara bersederhana tetapi sangat bermakna bagi barisan belia. Ini kerana majlis jamuan yang diadakan ini telah dihadiri oleh tetamu istimewa yang dijemput khas iaitu YB ADUN GUAI, saudara Norol Azali Bin Sulaiman dan juga Pengerusi GB4B Negeri Pahang iaitu saudara Ahmad Daniar Bin Ismail bersama dengan dua orang lagi rakannya yang datang dari Kuala Lipis, Pahang. Majlis juga turut dihadiri oleh ahli JKKK Kampung Mengkarak.


Majlis dipengerusikan oleh saudara Muhayudin Bin Salleh iaitu Pengerusi GB4B Caw Mengkarak. Majlis yang juga diselitkan dengan ucapan daripada YB ADUN GUAI menmabah lagi tarikan kepada majlis ini. Ucapan beliau yang menyentuh mengenai Sambutan Hari Malaysia dan juga nasihat-nasihat yang berguna kepada belia sangat bermakna kepada hadirin yang hadir.


Setelah selesai ucapan YB ADUN GUAI, majlis diteruskan dengan bacaan doa oleh Tok Imam Masjid Kampung Mengkarak dan seterusnya sesi menjamu selera pun bermula. Hidangan yang disediakan seperti lemang, rendang ayam, sate dan nasi impit sangat menyelerakan tetamu yang hadir.


Tepat jam 3 petang, YB ADUN GUAI terpaksa meninggalkan majlis kerana mempunyai urusan di Kuala Lumpur. Dalam tergesa-gesa beliau pergi kerana majlis anjuran ANSARA itu telah bermula pada jam 2 dan habis jam 5 petang. Beliau telah lewat 1 jam. Namun beliau tetap pergi kerana ingin memenuhi jemputan tersebut.


Kemudian majlis diteruskan lagi dengan sesi penerangan mengenai GB4B yang diberikan oleh saudara Ahmad Daniar. Banyak info yang beliau sampaikan kepada belia mengenai bagaimana sikap dan cara untuk hidup dalam persatuan. Rakan beliau yang merupakan setiausaha GB4B Negeri Pahang juga turut memberikan sedikit penerangan. Secara mudahnya, harapan mereka agar GB4B di daerah Bera akan berjaya menubuhkan GB4B kawasan Bera pada masa akan datang.


Setelah selesai sesi penerangan, majlis telah sampai kepada penutup. Lebih kurang jam 4 petang, majlis telah bersurai. Belia-belia bergotong-royong untuk membersihkan Dewan Serbaguna Kampung Mengkarak yang digunakan. Sekali lagi ucapan tahniah kepada semua belia dan juga Pengerusi JKKK yang juga merangkap Ketua Kampung iaitu Rosli Bin Mohd Yunan yang banyak memberi kerjasama dalam menjayakan majlis ini.

Semoga Syawal akan datang GB4B Caw Mengkarak akan dapat mengdakan majlis yang sebegini bagi marapatkan lagi hubungan antara barisan belia dan pihak lain.

Sekian, wassalam.

Sunday, September 5, 2010

Iklan Aidilfitri TV3 Yang Memualkan. MARI BANTAH!!!

Salam lebaran kepada semua umat Islam. Kita telah menyaksikan banyak iklan Aidilfitri yang disirkan oleh TV3 dan pada tahun 2010 ini iklan Aidilfitiri ini nampak perbezaan yang terlalu janggal. Iklan yang berunsur agama lain diselit di dalamnya. Ini telah menjatuhkan maruah Islam itu sendiri. Bukanlah ingin mengatakan bahawa Islam itu jumud atau sebagainya, cuma Islam tetap ada garis semapadannya yang perlu dipatuhi. Seperti tajuk di atas, iklan ini sememangnya memualkan. Oleh itu, saya sebagai umat Islam menyeru kepada seluruh umat Islam di Malaysia yang peka dan prihatin kepada agama Islam anutan kita ini supaya bangkit dan bersatu untuk membantah penyiaran iklan Aidilfitri TV3 ini. Inilah masa untuk kita bersatu. Ketepikan segala ideologi politik dan sebagainya. Kita berdiri dan bersatu sebagai umat Islam. Mari bantah!!!

Benang dijahit bersimpul-simpul,
membuat anyaman buat kenalan,
di Damansara Utama kita berkumpul,
mari bersama menentang kejahilan.


Inilah iklan yang memualkan itu. Selamat menonton dan suarakanlah bantahan anda!!!

Thursday, September 2, 2010

Islam Melayu, Melayu Islam?

Salam Ramadhan kepada semua. Rasanya masih belum terlambat untuk diri ini mengucapkannya. Keadaan diri yang agak sibuk sejak awal Ramadhan membataskan diri untuk mengaktifkan diri dengan blog ini. Kini kesibukan itu telah pun pergi meninggalkan diri ini dan sudah pun mempunyai masa untuk menaip dan menyampaikan rasa hati ini.

Seperti biasa apabila menghampiri sahaja bulan Ramadhan, maka akan banyak kelihatan kain rentang yang berbentuk ucapan menyambut Ramadhan dan selamat berpuasa kepada sekalian umat Islam di negara kita ini. Kain rentang ini kebiasaannya adalah daripada Yang Berhormat Wakil Rakyat dan juga NGO.

Namun berlainan pula di Seksyen 7, Bandar Baru Bangi, kain rentang yang aku lihat ini seperti menarik minat untuk aku berfikir mengenainya iaitu mengenai mesej sebenar yang hendak disampaikan oleh tulisan yang terpamer di dada kain rentang itu. Kain rentang tersebut adalah seperti yang terpamer di bawah.


Beginilah rupa kain rentang tersebut. Ia seperti tidak fokus kepada mesej yang utama iaitu ucapan " Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak" yang berada di bahagian atas kain rentang. Ini kerana saiz tulisan itu adalah agak kecil berbanding dengan slogan yang berada baris ketiga tulisan kain rentang itu yang tertera " Islam Melayu, Melayu Islam'. Kain rentang ini seolah-olah mengfokuskan kepada slogan di baris ketiga itu. Persoalannya apakah niat sebenar kain rentang ini dibuat dan digantung untuk tatapan umum? Adakah slogan " Islam Melayu, Melayu Islam " ini menunjukkan bahawa Islam dan Melayu itu sinonim?

Walaubagaimanapun tafsiran anda, sepatutnya kain rentang yang mengadungi ucapan untuk menyambut Ramadhan ini tidak perlu diselitkan slogan seperti itu. Fokus kepada bulan Ramadhan dan ketepikan agenda tersirat yang lain. Biarlah kita ikhlas dalam menyampaikan apa jua mesej atau maklumat kerana golongan penerima akan membentuk pelbagai persepsi seperti positif atau negatif.

Sekian.

Burhanuddin al-Helmy

Lagu yang membawa nilai sebenar kenangan sebuah perjuangan. Lebih bernilai jika dibandingkan dengan lagu negara yang merupakan hasil ciplak. Ucapan tahniah dan terima kasih kepada pencipta lagu ini kerana menghasilkan lagu yang sangat baik. Semoga lagu ini akan mengembalikan jiwa kebangsaan yang sepatutnya ada dalam diri kita. Selamat Mendengar kepada semua.



Sumber: http://www.youtube.com/watch?v=-lPvQyl12dI

Wednesday, September 1, 2010

Hari Merdeka 31 Ogos 1957 & Hari Penubuhan Malaysia 16 September 1963

Sambutan Kemerdekaan Malaysia akan disambut setiap tahun dengan pelbagai acara seperti perarakan dan sinaran bunga api di langit Bandaraya Kuala Lumpur pada 31 Ogos setiap tahun. Malam kemerdekaan ini juga tidak terlepas daripada dicemari dengan perbuatan yang negatif seperti aksi-aksi merbahaya samseng jalanan dan juga seks bebas.

Hari Malaysia pula ialah hari tertubuhnya Malaysia iaitu pada 16 September 1963. Namun setelah 47 tahun Malaysia ditubuhkan, tahun 2010 merupakan tahun pertama rakyat Malaysia akan meraikannya. Pengisytiharan cuti telah dibuat oleh kerajaan Malaysia, namun bagaimana sambutan untuk mengenang tarikh penubuhan negara bangsa Malaysia ini masih lagi belum diketahui. Adakah akan ada perarakan dan juga letupan bunga api yang menerangi langit Kuala Lumpur?

Kadang-kadang aku seperti hairan atau janggal untuk menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia pada 31 Ogos sedangkan Malaysia ditubuhkan pada 16 September 1963. Jadi Hari Kemerdekaan yang disambut setiap 31 Ogos pada setiap tahun adalah Hari Kemerdekaan bagi Tanah Melayu sebenarnya.

Namun, aku cuba mengetepikan rasa hairan dan ketidak selesaan yang aku rasa ini dengan menerima kemerdekaan tanah airku ini dengan hati yang terbuka tetapi masih mengharapkan sesuatu yang lebih telus dan benar akan dilakukan oleh kerajaan agar aku tidak terus hairan dan keliru dengan fakta serta sejarah yang selalu sahaja songsang dan diseleweng oleh pihak tertentu. Semoga negara Malaysia akan dijauhi dengan pengkhinat-pengkhianat yang bertopengkan penyelamat negara.

Sekian.

Hishammuddin Rais: Negara Ciplak

Ciplak boleh dimaksudkan sebagai tidak asli, tidak tulen atau tidak original. Marilah kita menonton klip video pendek ini untuk mengetahui apakah sebenarnya yang dimaksudkan ciplak oleh saudara Hishamuddin Rais ini. Cubalah menganalisis isi video ini dengan fikiran yang kritikal. Selamat menonton dan berfikir.



Sumber: http://www.youtube.com/watch?v=uK_P9vQ9NXg&feature=player_embedded

Sang Saka Merah Putih Bintang 12

Bendera merupakan satu lambang kemegahan sebuah negara. Bendera yang berkibar megah membawa semangat dan impian masyarakat di sesebuah negara untuk lebih memahami jati diri dan perjuangan dalam menubuhkan sesebuah negara serta perjuangan untuk mempertahankan negara daripada segala ancaman anasir luar. Bendera pasti juga akan dilihat apabila sebuah masyarakat atau bangsa sedang bersemangat berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan bagi negara mereka. Begitu juga halnya yang berlaku di Tanah Melayu (Malaysia) suatu ketika dahulu ketika perjuangan masyarakat terutama golongan muda berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan bagi Tanah Melayu yang tercinta ini.

Pelbagai nama tokoh pejuang seperti Dr. Burhanuddin Helmi, Haji Ishak Bin Mohamad (Pak Sako), Ahmad Boestamam dan ramai lagi yang juga mewakili pelbagai parti seperti KMM, PKMM, API dan AWAS. Mereka ini dilabelkan sebagai golongan pejuang haluan kiri. Penghargaan kepada pejuang-pejuang haluan kiri ini tidak mendapat tempat yang sepatutnya sebaliknya hanya nama pejuang Melayu daripada UMNO sahaja yang sering dicanang.

Keistimewaan pejuang haluan kiri ini ialah mereka boleh dikatakan antara golongan terawal yang berjuang dengan misi untuk mencapai kemerdekaan bagi Tanah Melayu ini. Berbekalkan semangat yang membara bersama bendera Sang Saka Merah Putih, mereka berjuang tanpa kenal penat dan lelah hingga sanggup berkorban demi tanah air yang tercinta ini.

Namun sedih kerana bendera yang mempunyai jiwa dan roh perjuangan untuk mendapatkan kemerdekaan ini telah diketepikan untuk memberi laluan kepada hasil penciplakan bendera Amerika. Oleh itu, jika masyarakat tidak menghormati dan mengibarkan bendera Malaysia, maka tidak boleh menyalahkan masyarakat kerana lumrah manusia mahukan sesuatu yang tulen atau original. Dengan ini, barang ciplak sepatutnya ditukar kepada yang tulen hasil tangan anak bangsa negara Malaysia sendiri. Begitu juga hal yang sama mengenai lagu Negaraku yang diplak daripada lagu Perancis iaitu Mamula Moon.

Inilah sumber dalaman yang sepatutnya menjadi agen kepada pembentukan jati diri anak-anak bangsa. Namun jika agen ini hasil ciplak, bagaimana hendak membentuk sebuah jati diri yang kuat lagi utuh? Tepuk dada dan tanya selera. Sesetengah pihak mengatakan bahawa ini merupakan bendera Komunis dan ada yang mengatakan ia menyerupai bendera Myanmar serta tidak cantik. Walaubagaimanapun, ini adalah bendera perjuangan yang sejati untuk menuntut kemerdekaan Tanah Melayu suatu ketika dahulu.

Salam Merdeka daripada saya. Moga negara kita akan terus maju dan anak-anak bangsa akan lebih merdeka dengan acuan yang baik dan positif. Sekian.