Helaian muka

Monday, May 10, 2010

"Tongkat"

Sudah kebiasaan bagi sesetengah orang yang mempunyai kesulitan atau tiada upaya untuk berdiri atau berjalan dengan normal pasti akan menggunakan tongkat. Kita tentu pernah melihat orang yang patah kaki akan berjalan terhincut-hincut dengan menggunakan tongkat. Begitu juga bagi orang yang sudah berumur yang kakinya sudah tidak kuat tentu sahaja akan menggunakan alat bantuan untuk berdiri atau berjalan itu. Itulah namanya tongkat. Alat bantuan atau tempat kebergantungan bagi sesiapa yang tiada keupayaan.

Namun kali ini saya bukan hendak bercerita tentang kegunaan dan kepentingan tongkat. Saya sebenarnya amat tertarik dengan kenyataan yang dibuat oleh seorang fasilitator kursus BTN yang saya telah hadiri bulan Mac lepas. Beliau menyatakan dengan penuh semangat yang berbunyi "orang Melayu masih memerlukan tongkat!". Barisan peserta kursus yang seramai 101 orang itu terpegun dan seperti begitu semangat untuk menyokong.

Ketika itu saya juga terpegun tetapi kehairanan yang timbul lebih tinggi. Sebagai seorang anak muda Melayu yang berjiwa besar dan masih kuat, kenapa saya memerlukan tongkat? Terselit sebuah persoalan yang mungkin akan terus melahirkan persoalan-persoalan yang lain. Jelas sebenarnya ketika waktu itu saya berasa kesal dengan kenyataan fasilitator tersebut. Begitu cetek dan lemah pemikiran dan semangatnya. Jika waktu itu merupakan sesi forum atau dialog umum, tentu sahaja saya akan menanyakan berbagai soalan kepadanya dan lantas pasti akan menolak sekeras-sekerasnya kenyataan tersebut. Sungguh memalukan bangsa Melayu yang suatu masa dahulu merupakan satu bangsa dagang yang cekal dan mempunyai semangat yang tinggi.

 Gambar Hiasan - Inikah gambaran orang Melayu yang masih memerlukan "tongkat"?
Bagiku pula begitu rugi jika seorang anak muda khususnya anak muda Melayu yang masih memerlukan tongkat untuk hidup. Tidak terlalu keras jika saya mengatakan lebih baik mati sahaja jika anak muda yang sihat dan kuat tetapi perlukan tongkat untuk hidup. Daif sangatkah orang Melayu? Lemah sangatkah kaki orang Melayu? Ke mana perginya kekuatan orang Melayu? Adakah orang Melayu semuanya cacat kakinya? Adakah orang Melayu semuanya tidak pandai berjalan dan memerlukan tongkat sebagai bantuan? Lontaran persoalan kepada sekalian pembaca. Tepuk dada dan tanya selera. Jawapannya pasti ada di dalam diri anda.

Sekali lagi saya ingin mengetengahkan mengenai tongkat yang tersuratnya merupakan alat bantuan untuk berjalan atau berdiri bagi yang tiada upaya. Apakah maksud tersirat yang cuba disampaikan oleh fasilitator mengenai tongkat tersebut? Mungkinkah dia memaksudkan bahawa tongkat itu ialah pembela bagi orang Melayu. Pembela yang akan membantu orang-orang Melayu untuk terus maju dan terus keluar dari kepompong kemiskinan. Begitukah maksudnya? Siapa pula pembela yang dimaksudkan itu?

Jika berkaitan dengan orang Melayu, rasanya tidaklah susah untuk merungkai persoalan ini. Tentulah Umno yang sejak dari mula penubuhannya yang memperjuangkan nasib orang Melayu dengan slogan “Hidup Melayu!” atau ia mungkin juga sebuah badan bukan kerajaan Melayu yang baru ditubuhkan iaitu Pribumi Perkasa Negara yang diterajui oleh Ibrahim Ali yang kini sedang giat kononnya memperjuangkan institusi Raja Melayu.

Namun, saya pasti ia tentu sekali fokus kepada Umno kerana parti ini merupakan sebuah badan yang berkuasa dalam kerajaan Malaysia. Tetapi kuasanya kini kian goyah dengan pelbagai isu yang menghilangkan kepercayaan orang Melayu dan masyarakat Malaysia secara umumnya. Kenyataan "orang Melayu masih memerlukan tongkat!" ini hanyalah sebuah propaganda yang mahu mengekalkan atau meningkatkan kebergantungan orang melayu terhadap Umno. 

Boleh di sini saya simpulkan bahawa “tongkat” orang Melayu ini kian reput dan mungkin sahaja tidak berguna lagi. Itu tidak bermakna orang Melayu akan menjadi lemah atau hilang upaya, tetapi orang Melayu kini sudah hebat dan boleh untuk berdiri sendiri. Inilah percubaan besar bagi orang Melayu iaitu berani untuk berdiri dan berjalan tanpa menggunakan “tongkat”. Inilah masanya untuk melangkah keseluruh pelusuk dunia. Melangkah dengan berani dan bersemangat. Campakkkan tongkat dan teruskan perjalanan dengan penuh gaya dan segak. Itulah dia anak muda Melayu yang sebenar.

Saya menyeru kepada semua anak muda terutama anak muda Melayu agar tampil lebih berani dan melakukan perubahan di dalam diri dan pemikiran. Sudah tiba masanya kita berubah. Anak muda tidak boleh ketinggalan kerana kita adalah pewaris negara. Oleh itu kita perlu lebih kuat dan hebat daripada orang-orang sebelumnya. Kita sudah tidak memerlukan “tongkat”. Keberanian dan semangat itu yang sepatutnya dijadikan azimat dan pegangan keramat.

Sebagai penutup coretan saya ini, ingin saya kongsikan pepatah Melayu Mengkasar yang dipetik oleh Prof. Hamka yang berbunyi, “Anak laki-laki tidak boleh dihirau panjang, hidupnya ialah buat berjuang, kalau perahunya telah dikayuhnya ke tengah, dia tak boleh disurut palang, meski bagaimana besar gelombang. Biar kemudi patah, biarkan layar robek, itu lebih mulia daripada berbalik haluan pulang”. Marilah bersama kita renung-renung dan fikirkan.

0 comments: