Helaian muka

Saturday, May 22, 2010

Judi Dan Arak

Al-Quran menyebut: (maksud)

“Mereka bertanya engkau (wahai Muhammad) tentang arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa (keburukan) yang besar dan manfaat kepada manusia. Namun dosa (keburukan) keduanya lebih besar dari manfaatnya” (Surah al-Baqarah ayat 219).

Melihat pada maksud ayat al-Quran di atas ini, jelas la bahawa arak dan judi itu keburukannya lebih besar daripada manfaat (kebaikan). Jadi sebab inilah keduanya diharamkan di sisi Islam.

Semenjak Datuk Dr Awang Adek Hussein yang merupakan Timbalan Menteri Kewangan mengumumkan pemberian lesen judi bola sepak kepada kumpulan BERJAYA, seluruh Malaysia tidak kira umat Islam atau bukan Islam merasakan tidak puas hati. Pelbagai kenyataan yang berbentuk bantahan dibuat oleh wakil-wakil parti politik di Malaysia.

Siang tadi telah diadakan demo di beberapa negeri selepas solat Jumaat untuk membantah pemberian lesen judi tersebut. Demo bantahan ini dikemudikan oleh wakil-wakil daripada Parti PAS. Namun demo ini dianggap hanya "panas badan" kerana akan datang akan diadakan demo besar-besaran ke Istana Negara untuk menunjukkan bantahan. Semoga mereka berjaya mendesak supaya lesen judi tersebut ditarik kembali atau dibatalkan.

Berbalik kepada maksud ayat al-Quran di atas tadi, ia tidak menyatakan hanya judi, tetapi berpasangan dengan arak. Persoalannya di sini, mengapa tidak demo untuk arak juga? Sedangkan kita tahu dan seluruh rakyat Malaysia juga tahu bahawa negara kita ini juga menjual arak. Lesen penjualan arak diberikan kepada syarikat-syarikat atau premis-premis tertentu. Ternyata ramai juga di kalangan muda mudi yang beragama Islam yang terjebak dengan gejala minum arak ini.

Lesen judi dikeluarkan tetapi judi tersebut hanya untuk orang-orang bukan Islam dan orang-orang Islam haram untuk melibatkan diri dalam judi bola tersebut. Namun orang Islam mungkin sahaja boleh terlibat dengan judi ini jika tiada pengawalan yang ketat dilakukan. Situasi atau keadaan ini sama juga dengan lesen penjualan arak. Lesen penjualan arak diberikan dan tidak boleh dijual kepada orang-orang Islam. Namun ia juga bergantung kepada akidah orang-orang Islam juga. Ini kerana sebilangan besar orang-orang Islam yang dengan bersahaja membeli arak dan meminumnya.

Dari segi proses pemberian lesen dan operasi judi dan penjualan arak ini adalah lebih kurang sama tetapi persoalannya kenapa penjualan arak di Kelantan tidak ditentang seperti tentangan terhadap pemberian lesen judi ini? Sedangkan arak juga haram di sisi Islam. Tuan Guru Nik Aziz membenarkan arak dijual di Kelantan dengan syarat ia tidak dijual kepada orang-orang Islam dan jika jika penjual ditangkap kerana menjual kepada orang-orang Islam, maka lesen akan ditarik. Lebih kurang beginilah ucapan TGNA yang saya dengar sewaktu di Felda Sungai Tengi, semasa PRK di Hulu Selangor. Persoalannya, adakah benar dan pasti tiada orang Islam di kelantan yang membeli arak? Adakah begitu ketat kawalan dan penguatkuasaan di sana?

Mungkinkah kerana dia terkenal sebagai Tuan Guru dan ulama', maka segala keputusan dan tidakannya akan betul? Datuk Dr Awang Adek Hussein pula merupakan ahli Umno maka keputusan atau tindakannya segalanya adalah salah.

Bagaimana pula situasi di Brunei? Negara Brunei terus mengharamkan arak tanpa ada kompromi. Ini kerana jika Allah ingin menurunkan bala, ia bukan diturunkan kepada si peminum dan penjual arak sahaja, tetapi kepada semua manusia lain yang ada disekeliling juga. Tidakkah hujah ini cukup kuat?

Baiklah, saya menulis kali ini sekadar untuk meluahkan persoalan di dalam akal fikiran saya. Saya juga ingin mengajak saudara dan saudari yang membaca tulisan saya ini untuk berfikir sejenak. Mari kita renungkan bersama. Arak dan judi diharamkan oleh Allah. Siapa kita sebagai hambanya untuk menghalalkannya.

P/S: Saya minta maaf kepada penyokong Pas dan TGNA jika tulisan saya ini bercanggah atau menyakitkan hati. Tiada niat untuk menyakitkan hati mana-mana pihak. Sekadar menulis untuk mencari kepastian. Sekian.

0 comments: