Helaian muka

Saturday, June 5, 2010

Jeti Baru Yang Mengecewakan

 Pemandangan sungai Pahang dari atas pelantar jeti

Sungai Pahang merupakan sungai yang terletak di negeri Pahang dan juga sungai yang terbesar di Malaysia. Setiap sungai tentu sahaja tidak lari dari memiliki tebing dan di tebing sungai pasti akan ada jeti sebagai tempat persinggahan dan berlabuh pelbagai jenis kenderaan air.

Jeti juga merupakan kemudahan yamg disediakan bagi memudahkan urusan turun dan naik dari sungai. Ia juga boleh membantu dalam menjana ekonomi sesetengah golongan masyarakat yang berniaga hasil sungai atau hasil tani. Hasil sungai dan tani yang ingin dijual ini senang untuk dinaik dan diturunkan apabila menggunakan kemudahan jeti.

Jeti Kampung Tok Langit ini merupakan kawasan jeti yang telah lama wujud. Kini ia diganti dengan jeti baru yang diperbuat daripada simen dan bahan-bahan lain yang akan menjadikannya lebih kukuh dan tahan lama. Di kawasan seberang jeti kampung ini merupakan Kampung Guai yang sebilangan penduduknya adalah peniaga yang akan menggunakan jeti ini. Jeti lama yang diperbuat daripada kayu telah reput dan runtuh.

Kepada pengguna kemudahan ini, ia satu berita yang sangat menggembirakan terutama bagi golongan peniaga kecil hasil sungai dan tani yang berniaga di tepi jeti tersebut. Namun, adakah benar mereka akan berasa gembira?

 Pemandangan dari atas kesan pembinaan

Kehampaan bukan sahaja dirasai oleh golongan peniaga, tetapi juga kepada penduduk kampung yang menempatkan jeti tersebut. Pelantar yang baru dibina iaitu kelangsungan daripada pembinaan jeti baru itu sangat mengecewakan. Ia hanya bagai projek cincai yang tidak menguntungkan penggunanya atau secara amnya tidak menguntungkan masyarakat. Sudahlah tidak menguntungkan, menambah lagi kesusahan.

 Tangga ala kolam renang
Mengikut sumber cakap dari mulut ke mulut, peruntukan untuk membina pelantar (jeti baru) ini ialah sebanyak RM50 ribu. Persoalannya jika benar peruntukan sebanyak itu, berbaloikah dengan hasil binaannya seperti gambar yang dipamerkan?

Jika benar maklumat dari mulut ke mulut ini, maka tentu sahaja terdapat sesuatu yang mencurigakan. Mungkinkah ada ketirisan dalam perbelanjaan atau peruntukan yang disalurkan? Mungkinkah juga ada unsur-unsur rasuah yang menjadi punca projek ini menjadi sebegini? Ke manakah hilangnya pemaju yang mengendalikan projek ini yang pergi begitu sahaja dengan meninggalkan barang-barang pembinaan yang mungkin membahayakan pengguna atau pengunjung jeti? Ya, banyak persoalan yang timbul dan pasti ia sangat mencurigakan.

Semoga isu ini akan diberi keadilan oleh pihak yang bertanggungjawab. Kepada sesiapa yang prihatin dengan isu ini, semoga dapat memberi atau mencadangkan apa-apa isiatif bagi mendapatkan keadilan yang sepatutnya.

0 comments: