Helaian muka

Saturday, June 5, 2010

Jeti Baru Yang Mengecewakan

 Pemandangan sungai Pahang dari atas pelantar jeti

Sungai Pahang merupakan sungai yang terletak di negeri Pahang dan juga sungai yang terbesar di Malaysia. Setiap sungai tentu sahaja tidak lari dari memiliki tebing dan di tebing sungai pasti akan ada jeti sebagai tempat persinggahan dan berlabuh pelbagai jenis kenderaan air.

Jeti juga merupakan kemudahan yamg disediakan bagi memudahkan urusan turun dan naik dari sungai. Ia juga boleh membantu dalam menjana ekonomi sesetengah golongan masyarakat yang berniaga hasil sungai atau hasil tani. Hasil sungai dan tani yang ingin dijual ini senang untuk dinaik dan diturunkan apabila menggunakan kemudahan jeti.

Jeti Kampung Tok Langit ini merupakan kawasan jeti yang telah lama wujud. Kini ia diganti dengan jeti baru yang diperbuat daripada simen dan bahan-bahan lain yang akan menjadikannya lebih kukuh dan tahan lama. Di kawasan seberang jeti kampung ini merupakan Kampung Guai yang sebilangan penduduknya adalah peniaga yang akan menggunakan jeti ini. Jeti lama yang diperbuat daripada kayu telah reput dan runtuh.

Kepada pengguna kemudahan ini, ia satu berita yang sangat menggembirakan terutama bagi golongan peniaga kecil hasil sungai dan tani yang berniaga di tepi jeti tersebut. Namun, adakah benar mereka akan berasa gembira?

 Pemandangan dari atas kesan pembinaan

Kehampaan bukan sahaja dirasai oleh golongan peniaga, tetapi juga kepada penduduk kampung yang menempatkan jeti tersebut. Pelantar yang baru dibina iaitu kelangsungan daripada pembinaan jeti baru itu sangat mengecewakan. Ia hanya bagai projek cincai yang tidak menguntungkan penggunanya atau secara amnya tidak menguntungkan masyarakat. Sudahlah tidak menguntungkan, menambah lagi kesusahan.

 Tangga ala kolam renang
Mengikut sumber cakap dari mulut ke mulut, peruntukan untuk membina pelantar (jeti baru) ini ialah sebanyak RM50 ribu. Persoalannya jika benar peruntukan sebanyak itu, berbaloikah dengan hasil binaannya seperti gambar yang dipamerkan?

Jika benar maklumat dari mulut ke mulut ini, maka tentu sahaja terdapat sesuatu yang mencurigakan. Mungkinkah ada ketirisan dalam perbelanjaan atau peruntukan yang disalurkan? Mungkinkah juga ada unsur-unsur rasuah yang menjadi punca projek ini menjadi sebegini? Ke manakah hilangnya pemaju yang mengendalikan projek ini yang pergi begitu sahaja dengan meninggalkan barang-barang pembinaan yang mungkin membahayakan pengguna atau pengunjung jeti? Ya, banyak persoalan yang timbul dan pasti ia sangat mencurigakan.

Semoga isu ini akan diberi keadilan oleh pihak yang bertanggungjawab. Kepada sesiapa yang prihatin dengan isu ini, semoga dapat memberi atau mencadangkan apa-apa isiatif bagi mendapatkan keadilan yang sepatutnya.

Wednesday, June 2, 2010

Dari Kompas.com: Bahasa Inggris Bisa "Hambat" Kemajuan

Bahasa Inggris Bisa "Hambat" Kemajuan

Rabu, 2 Juni 2010 | 19:15 WIB

JAKARTA, KOMPAS.com - Dalam penguasaan mata pelajaran Matematika, anak-anak Korea Selatan berada di peringkat pertama dari 57 negara, sedangkan Indonesia berada di urutan ke-49. Di bidang sains, anak-anak Indonesia menduduki peringkat ke-50 dari 57 negara, namun anak-anak Korea Selatan bertengger di posisi ke-7.

Menggunakan bahasa Inggris sebagai bahasa pengantar di tingkat SD tidak membantu suatu negara untuk menjadi maju, tapi bisa sebaliknya.
-- Hywel Coleman

Demikian data itu terungkap dalam penelitian Hywel Coleman, peneliti senior bidang pendidikan keguruan di University of Leeds, Inggris, selama kurun waktu 2009-2010. Hasil penelitian yang telah dibukukan dan diterbitkan oleh British Council Asia Tenggara berjudul Teaching Other Subjects through English in Two Asian Nations: Teacher's Response to Globalisation ini sangat relevan dengan polemik yang mengiringi perjalanan sekolah-sekolah negeri di Indonesia yang berstatus rintisan sekolah bertaraf internasional (RSBI) dan sekolah berstandar internasional (SBI).

"Angka ini pasti mengecewakan, padahal selama ini di Indonesia belajar dengan menggunakan bahasa Indonesia sebagai bahasa pengantar. Nah, kalau anak Indonesia dipaksa belajar dengan menggunakan bahasa Inggris sebagai bahasa pengantarnya, dapat dipastikan akan lebih mengecewakan lagi," ujar Hywel dalam penelitiannya.

Menurutnya, hampir di semua negara dengan tingkat perekonomian yang kuat di dunia, pembelajaran bagi para siswa menggunakan bahasa ibunya sebagai bahasa pengantar, semisal bahas Jerman, Inggris, Jepang, Korea Selatan, dan lain-lainnya. Sebaliknya, di negara-negara miskin dan berkembang memakai atau mulai memakai bahasa Inggris sebagai bahasa pengantar di sekolah seperti Afrika, Pakistan, Indonesia dan sebagainya.

"Dengan demikian dapat disimpulkan, bahwa penggunaan bahasa Inggris sebagai bahasa pengantar, terutama tingkat SD, tidak membantu suatu negara untuk menjadi maju, tetapi malah bisa menghambat," ujarnya.

Pahlawan - Puisi Usman Awang

Jika hilangmu tanpa pusara

Jika pusaramu tanpa nama

Jika pusaramu tanpa bunga

Mereka mengatakan kau penderhaka

Engkau tetap pahlawan

Sungai Pahang berubah merah

Rumput tebingnya segala musnah

Satu satu pahlawan rebah

Arus merahnya menjulang mayat

Pahlawan bangsa pahlawan rakyat

Tujuh liang dadanya tersayat.

-Usman Awang-

Selamatkan Gaza Manakala Jahanamkan Israel


Berikutan kes rampasan kapal bantuan aktivis kemanusiaan ke Gaza dan pembunuhan 20 orang aktivis kemanusiaan oleh komando Israel, masyarakat dunia tidak mengira yang beragama Islam atau bukan telah sepakat untuk mengecam kerajaan Israel.

Apa yang ingin ditegaskan di sini bahawa blog Indera Segara mengutuk sekeras-kerasnya tindakan komando dan kerajaan Israel yang jelas telah membelakangi norma-norma kemanusiaan.

Oleh itu, marilah kita mendoakan semoga misi kemanusiaan Turki ini akan berjaya diteruskan dan mencapai matlamat murninya yang menjadi harapan sebilangan besar masyarakat dunia.

Di samping itu, marilah kita mendoakan semoga kerajaan Israel akan dilaknat dan dijahanamkan serta seterusnya lenyap dari muka bumi ini.

Pemberani Dunia Kini

Dunia kini kelihatan ramai pemimpin-pemimpin negara yang hanya suka untuk berada dalam lingkungan yang selamat. Mereka ini kelihatan begitu pasif hingga banyak isu-isu besar dunia hanya dibiarkan berlalu begitu sahaja.

Jika kita melihat dalam video di bawah ini, suka untuk dikatakan bahawa dunia sebenarnya masih mempunyai pemimpin yang prihatin dengan isu besar seperti isu kemanusiaan di Palestin atau Gaza yang tidak berkesudahan dan telah banyak mengorbankan nyawa insan yang tidak berdosa.

Justeru itu, marilah kita mencontohi Perdana Menteri Turki ini iaitu Recep Tayyip Erdogan. Dalam dunia masa kini, beliau kelihatan seperti seorang wira pemberani yang pasti akan mengejutkan atau menggerunkan negara-negara kuasa besar yang tidak berperikemanusiaan seperti Amerika sekutunya Israel.

Saturday, May 22, 2010

Judi Dan Arak

Al-Quran menyebut: (maksud)

“Mereka bertanya engkau (wahai Muhammad) tentang arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa (keburukan) yang besar dan manfaat kepada manusia. Namun dosa (keburukan) keduanya lebih besar dari manfaatnya” (Surah al-Baqarah ayat 219).

Melihat pada maksud ayat al-Quran di atas ini, jelas la bahawa arak dan judi itu keburukannya lebih besar daripada manfaat (kebaikan). Jadi sebab inilah keduanya diharamkan di sisi Islam.

Semenjak Datuk Dr Awang Adek Hussein yang merupakan Timbalan Menteri Kewangan mengumumkan pemberian lesen judi bola sepak kepada kumpulan BERJAYA, seluruh Malaysia tidak kira umat Islam atau bukan Islam merasakan tidak puas hati. Pelbagai kenyataan yang berbentuk bantahan dibuat oleh wakil-wakil parti politik di Malaysia.

Siang tadi telah diadakan demo di beberapa negeri selepas solat Jumaat untuk membantah pemberian lesen judi tersebut. Demo bantahan ini dikemudikan oleh wakil-wakil daripada Parti PAS. Namun demo ini dianggap hanya "panas badan" kerana akan datang akan diadakan demo besar-besaran ke Istana Negara untuk menunjukkan bantahan. Semoga mereka berjaya mendesak supaya lesen judi tersebut ditarik kembali atau dibatalkan.

Berbalik kepada maksud ayat al-Quran di atas tadi, ia tidak menyatakan hanya judi, tetapi berpasangan dengan arak. Persoalannya di sini, mengapa tidak demo untuk arak juga? Sedangkan kita tahu dan seluruh rakyat Malaysia juga tahu bahawa negara kita ini juga menjual arak. Lesen penjualan arak diberikan kepada syarikat-syarikat atau premis-premis tertentu. Ternyata ramai juga di kalangan muda mudi yang beragama Islam yang terjebak dengan gejala minum arak ini.

Lesen judi dikeluarkan tetapi judi tersebut hanya untuk orang-orang bukan Islam dan orang-orang Islam haram untuk melibatkan diri dalam judi bola tersebut. Namun orang Islam mungkin sahaja boleh terlibat dengan judi ini jika tiada pengawalan yang ketat dilakukan. Situasi atau keadaan ini sama juga dengan lesen penjualan arak. Lesen penjualan arak diberikan dan tidak boleh dijual kepada orang-orang Islam. Namun ia juga bergantung kepada akidah orang-orang Islam juga. Ini kerana sebilangan besar orang-orang Islam yang dengan bersahaja membeli arak dan meminumnya.

Dari segi proses pemberian lesen dan operasi judi dan penjualan arak ini adalah lebih kurang sama tetapi persoalannya kenapa penjualan arak di Kelantan tidak ditentang seperti tentangan terhadap pemberian lesen judi ini? Sedangkan arak juga haram di sisi Islam. Tuan Guru Nik Aziz membenarkan arak dijual di Kelantan dengan syarat ia tidak dijual kepada orang-orang Islam dan jika jika penjual ditangkap kerana menjual kepada orang-orang Islam, maka lesen akan ditarik. Lebih kurang beginilah ucapan TGNA yang saya dengar sewaktu di Felda Sungai Tengi, semasa PRK di Hulu Selangor. Persoalannya, adakah benar dan pasti tiada orang Islam di kelantan yang membeli arak? Adakah begitu ketat kawalan dan penguatkuasaan di sana?

Mungkinkah kerana dia terkenal sebagai Tuan Guru dan ulama', maka segala keputusan dan tidakannya akan betul? Datuk Dr Awang Adek Hussein pula merupakan ahli Umno maka keputusan atau tindakannya segalanya adalah salah.

Bagaimana pula situasi di Brunei? Negara Brunei terus mengharamkan arak tanpa ada kompromi. Ini kerana jika Allah ingin menurunkan bala, ia bukan diturunkan kepada si peminum dan penjual arak sahaja, tetapi kepada semua manusia lain yang ada disekeliling juga. Tidakkah hujah ini cukup kuat?

Baiklah, saya menulis kali ini sekadar untuk meluahkan persoalan di dalam akal fikiran saya. Saya juga ingin mengajak saudara dan saudari yang membaca tulisan saya ini untuk berfikir sejenak. Mari kita renungkan bersama. Arak dan judi diharamkan oleh Allah. Siapa kita sebagai hambanya untuk menghalalkannya.

P/S: Saya minta maaf kepada penyokong Pas dan TGNA jika tulisan saya ini bercanggah atau menyakitkan hati. Tiada niat untuk menyakitkan hati mana-mana pihak. Sekadar menulis untuk mencari kepastian. Sekian.

Thursday, May 20, 2010

Banjir Kilat Di Jalan Reko

Jika kawasan luar bandar, banjir selalunya akan terjadi apabila tiba musim tengkujuh sekitar beberapa bulang di hujung tahun dan beberapa bulan di awal tahun berikutnya. Tetapi di kawasan bandar berlainan pula fenomenanya, limpahan air akan berlaku apabila hujan lebat turun membasahi bumi. Limpahan air ini digelar banjir kilat kerana limpahan air akibat hujan yang lebat.

Limpahan air ini berlaku mungkin sahaja kerana air hujan yang banyak tetapi tiada tempat untuk disalurkan. Bumi tentu sekali tidak dapat menyerap kerana kawasan dataran di bandar ditutupi dengan tar dan batu. Manakala kawasan bukit disekeliling bandar pula habis botak dikerjakan untuk bangunkan menjadi taman perumahan. Jadi inilah hakikat yang manusia di bandar perlu terima dengan rela dan redha. Demi pembangunan dan kemudahan untuk sekalian manusia, mereka terpaksalah menerima kesan negatif hasil daripada tangan mereka ini.

Kejadian banjir kilat seperti dalam gambar yang dipaparkan ini berlaku di Jalan Reko, Seksyen 5 West Country yang berhampiran dengan Hentian Bas Kajang. Kejadian ini berlaku di waktu petang apabila hujan lebat mula turun di sekitar kawasan Bangi dan Kajang sekitar jam 4 hingga 5.

Hujan lebat yang agak lama itu telah melimpahkan air ke atas jalan dan menyebabkan kesukaran kenderaan untuk melalui jalan tersebut. Kesesakan lalu lintas telah berlaku kerana sesetengah kereta tidak berani untuk meredah air banjir kerana bimbang akan terkandas dan seterusnya mungkin akan merosakkan kenderaan.

Inilah kesan kerosakkan di bumi hasil sentuhan tangan manusia. Harapan semoga pihak yang bertanggungjawab atau pihak yang berkepentingan serta masyarakat agar lebih peka dengan isu sebegini. Pembangunan yang dirancang biarlah lebih teratur dan terurus dan mengambil kira kepentingan alam sekitar juga. Bukannya hanya memikirkan hasil keuntungan semata-mata.