Helaian muka

Showing posts with label Tulisan Hati. Show all posts
Showing posts with label Tulisan Hati. Show all posts

Monday, August 22, 2011

Rasa Merdeka


Ratusan Warga Negara Indonesia Menjadi Tentara Malaysia

Assalamualaikum.

Inilah berita yang tidak saya sangka. Saya perolehi video ini melalui post di wall facebook kawan saya. Cubalah saudara/i tonton video ini dan menilai sendiri. Jasa kerajaan Umno/BN kepada negara kita yang tercinta ini. Marilah kita membawa perubahan kepada negara agar perkara seperti ini boleh dielakkan. Ayuh bangkit anak-anak muda kerana kita adalah pewaris yang akan memimpin negara di masa hadapan. Negara ini akhirnya akan diterajui oleh kita. Mana mungkin kita akan membiarkan negara tercinta ini tergadai hanya kerana akur dengan pemerintah yang bersifat tamak haloba meratah hasil negara sedangkan rakyat masih ramai yang merempat kesusahan.



Sumber video: http://www.youtube.com/watch?v=0zOCn1ebAyM&feature=share

Monday, July 11, 2011

BERSIH 2.0: Video Realiti Yang Menyayat Hati

Assalamualaikum.

Saya melayari laman facebook milik saya dan saya perasan ada seorang insan memuat naik sebuah video iaitu video yang saya pamerkan di bawah. Ketika saya menonton video ini hingga ke babak klimaks, air mata saya mula membasahi pipi. Ya Allah, jarang sekali saya menangis hanya kerana menonton video. Tetapi video ini benar-benar menyentuh sifat manusia yang ada dalam diri saya. Saya harap anda semua dapat menonton sama video ini. Jika air mata anda mula membasahi pipi, biarkan ia kering dengan sendiri. Kerana iar mata itu menjadi saksi anda berjiwa manusia. 

Saya mohon anda semua sebarkan video ini. Biar seluruh dunia tahu apa yang terjadi pada tarikh 9 Julai 2011.



Sekian.

Sunday, July 10, 2011

BERSIH 2.0 - Koleksi Gambar

Assalamualaikum.

Pertama kali saya ingin ucapkan takziah kepada wira kita iaitu Allahyarham Baharudin Ahmad yang meninggal dunia sewaktu perhimpunan BERSIH sedang berlangsung. Saya pula sangat bersyukur kerana berjaya mengharungi pelbagai dugaan yang ai antaranya gas pemedih mata yang dilalui bersama para wira demonstran BERSIH. Waktu itu kami bagai  saudara. Berkongsi garam, Eno dan air mineral. Bersembang sambil berjalan bagaikan pertemuan dengan sahabat yang telah lama tidak ditemui. 

Ya, perhimpunan itu cukup aman dan harmoni. Kami melambai dan bersalaman dengan polis yang menjaga lalu lintas. Saya percaya tidak ramai polis yang baik dan banyak jumlahnya polis yang kurang beretika. Inilah beberapa gambar yang hendak kongsikan. Anda boleh klik link di bawah. www.lensamassa.wordpress.com merupakan blog yang khusus bagi foto  milik saya. Selamat menjamu mata. :)

Saturday, July 9, 2011

Hari Membersih


Harinya telah tiba..
layar telah ku naikkan..
panji telah ku kibarkan..
ombak dan badai datang melanda..
namun tiada ku berundur..
kerana itu dugaan semata..
kerana itu cabaran dunia..
dan kerana aku adalah anak muda..


mereka gelisah..
pemerintah resah..
itu rasa bagi yang salah..


bagi yang benar..
kami gembira..
hanya berpesta membersih jalan raya..




Wednesday, March 9, 2011

Hari Wanita Sedunia 2011

Assalamualaikum kepada semua. Tugas, masa dan mood telah menjadikan saya agak kurang mempunyai idea untuk menulis. Namun malam ini saya kuatkan semangat supaya dapat mengucapkan kepada wanita seluruh dunia mengenai hari mengingati kaum hawa ini. Saya harap saya belum terlalu lambat untuk mengucapkannya.

Wanita merupakan kaum yang paling banyak bersama dan berdampingan dengan saya semenjak saya kecil lagi. Bermula dengan wanita yang paling saya sayangi iaitu ibu saya yang tidak pernah jemu untuk menyayangi saya dan sentiasa sabar dengan kerenah saya ini.

Kemudian ibu-ibu saudara saya, akak-akak saudara, yang sentiasa membantu dan memberi dorongan supaya saya berjaya dalam hidup ini. Bukanlah tiada lelaki dalam perjalanan hidup saya, tetapi mungkin saya yang telah kehilangan ayah semenjak berumur 2 tahun dan tambah tiada adik beradik perempuan, menjadikan saya menghargai wanita di sekeliling saya. Mungkin inilah nikmat Allah yang diberikan kepada saya. Diberikannya wanita-wanita ini sebagai ganti kepada seorang ayah dan ketiadaan adik beradik perempuan.

Pesan saya juga kepada semua wanita, hargailah diri kamu semua. Usahlah ego diri dan melakukan perkara yang tidak elok. Mantapkan penghargaan dan kepercayaan golongan lelaki kepada anda semua.

8 Mac telah pun berlalu. Setiap tahun pada tarikh ini merupakan Hari Wanita Sedunia. Tema bagi Hari Wanita Sedunia 2011 ini ialah “Kesamarataan peluang terhadap pelajaran, latihan, sains dan teknologi: laluan kerjaya terpuji untuk wanita”. Istimewanya tahun ini juga merupakan sambutan ke-100 Hari Wanita Sedunia.

Saya akhiri dengan sebuah kata-kata khas buat kaum wanita, di sebalik kejayaan seorang lelaki, 'berdiri seorang wanita yang hebat'. Beginilah hebatnya seorang wanita, ukurannya kepada kejayaan seorang lelaki dan saya percaya lelaki ini adalah si suami.

Selamat Menyambut Hari Wanita Sedunia 2011

Sekian.


Saturday, January 1, 2011

Hari Baru

Hari baru yang mendatang,
cerita baru juga datang,
pelbagai cerita yang akan dikarang,
ada yang gelap dan ada yang terang.
mengikut gerak tangan pengarang,
teknologi lama atau moden zaman sekarang.

Hari baru yang mendatang,
aku harap kau akan pulang,
seperti mentari pagi yang terang,
hari-hari muncul berulang,
bagai fajar yang menyinsing di waktu petang,
buku yang lama jangan dibuang.

Hari baru yang mendatang,
pelbagai kisah dan ragam orang,
ada yang mungkin cemerlang,
dan ada yang mungkin kecundang,
yang baik jadi harapan setiap orang,
jangan biar buku baru terconteng arang.

Friday, December 31, 2010

Tahun Baru 2011

Di kesempatan ini Indera Segara ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru 2011 kepada seluruh rakyat Malaysia. Indera Segara juga berharap tahun 2011 ini akan merubah Malaysia kepada negara yang lebih baik dari sebelumnya. Negara yang sepatutnya jadi setelah 53 tahun mengecapi kemerdekaan.

Tanggungjawab merubah negara adalah di tangan kita sebagai rakyat. Allah tidak akan merubah nasib sesuatu kaum itu kecuali kaum itu sendiri yang merubahnya. Begitulah yang telah difirmankan oleh Allah.

Moga tahun 2011 dan tahun-tahun lain yang akan mendatang akan memberi sinar baru dan harmoni kepada negara dan rakyatnya. InsyaAllah.

Sekian,
Indera Segara

Selamat Tahun Baru 2011

Harimau Malaysia: Piala Suzuki AFF 2010


Baru-bari ini pasukan bola sepak Malaysia yang diberi jolokan nama "Harimau Malaya" telah berjaya memenangi Piala Suzuki AFF 2010. Dalam perlawanan akhir II di Stadium Bung Karno Indonesia, Malaysia telah kalah 2-1 dengan Indonesia tetapi telah menang agregat 4-2 kerana telah menang sewaktu perlawanan akhir I di Stadium Nasional Bukit Jalil dengan kemenangan 3 berbalas kosong.

Indera Segara menitipkan harapan agar kemenangan pasukan bola Malaysia ini akan meningkat prestasi dan terus konsisten untuk memenangi piala lain iaitu Asia dan juga dunia. Moga-moga sekalian rakyat Malaysia juga mempunyai harapan yang sama.

Kepada pasukan bola Indonesia, anggaplah kekalahan kali ini sebagai titk tolak kepada perpaduan saudara serumpun dan bukannya alasan untuk kita berbalah. Walaupun begitu, pasukan bola Indonesia tetap hebat.

Sekian,
Indera Segara

Sunday, September 26, 2010

Matahari & Aku

Hari ini aku melihat matahari,
panas membara menghangat alam semesta,
lalu aku bertanya kepada diri,
apa yang telah aku beri?

Kepada langit dan bumi,
kepada udara, sungai dan lautan,
kepada rimbunan pohonan dan gunung-ganang bukit membukau,
kepada saudara dan jiran tetangga,
kepada yatim dan juga piatu,
kepada yang miskin dan yang fakir,
kepada agama dan tanahair ini.

Diriku rasa begitu kerdil,
melihat matahari memberi tanpa menerima dariku.

Sunday, September 5, 2010

Iklan Aidilfitri TV3 Yang Memualkan. MARI BANTAH!!!

Salam lebaran kepada semua umat Islam. Kita telah menyaksikan banyak iklan Aidilfitri yang disirkan oleh TV3 dan pada tahun 2010 ini iklan Aidilfitiri ini nampak perbezaan yang terlalu janggal. Iklan yang berunsur agama lain diselit di dalamnya. Ini telah menjatuhkan maruah Islam itu sendiri. Bukanlah ingin mengatakan bahawa Islam itu jumud atau sebagainya, cuma Islam tetap ada garis semapadannya yang perlu dipatuhi. Seperti tajuk di atas, iklan ini sememangnya memualkan. Oleh itu, saya sebagai umat Islam menyeru kepada seluruh umat Islam di Malaysia yang peka dan prihatin kepada agama Islam anutan kita ini supaya bangkit dan bersatu untuk membantah penyiaran iklan Aidilfitri TV3 ini. Inilah masa untuk kita bersatu. Ketepikan segala ideologi politik dan sebagainya. Kita berdiri dan bersatu sebagai umat Islam. Mari bantah!!!

Benang dijahit bersimpul-simpul,
membuat anyaman buat kenalan,
di Damansara Utama kita berkumpul,
mari bersama menentang kejahilan.


Inilah iklan yang memualkan itu. Selamat menonton dan suarakanlah bantahan anda!!!

Thursday, September 2, 2010

Islam Melayu, Melayu Islam?

Salam Ramadhan kepada semua. Rasanya masih belum terlambat untuk diri ini mengucapkannya. Keadaan diri yang agak sibuk sejak awal Ramadhan membataskan diri untuk mengaktifkan diri dengan blog ini. Kini kesibukan itu telah pun pergi meninggalkan diri ini dan sudah pun mempunyai masa untuk menaip dan menyampaikan rasa hati ini.

Seperti biasa apabila menghampiri sahaja bulan Ramadhan, maka akan banyak kelihatan kain rentang yang berbentuk ucapan menyambut Ramadhan dan selamat berpuasa kepada sekalian umat Islam di negara kita ini. Kain rentang ini kebiasaannya adalah daripada Yang Berhormat Wakil Rakyat dan juga NGO.

Namun berlainan pula di Seksyen 7, Bandar Baru Bangi, kain rentang yang aku lihat ini seperti menarik minat untuk aku berfikir mengenainya iaitu mengenai mesej sebenar yang hendak disampaikan oleh tulisan yang terpamer di dada kain rentang itu. Kain rentang tersebut adalah seperti yang terpamer di bawah.


Beginilah rupa kain rentang tersebut. Ia seperti tidak fokus kepada mesej yang utama iaitu ucapan " Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak" yang berada di bahagian atas kain rentang. Ini kerana saiz tulisan itu adalah agak kecil berbanding dengan slogan yang berada baris ketiga tulisan kain rentang itu yang tertera " Islam Melayu, Melayu Islam'. Kain rentang ini seolah-olah mengfokuskan kepada slogan di baris ketiga itu. Persoalannya apakah niat sebenar kain rentang ini dibuat dan digantung untuk tatapan umum? Adakah slogan " Islam Melayu, Melayu Islam " ini menunjukkan bahawa Islam dan Melayu itu sinonim?

Walaubagaimanapun tafsiran anda, sepatutnya kain rentang yang mengadungi ucapan untuk menyambut Ramadhan ini tidak perlu diselitkan slogan seperti itu. Fokus kepada bulan Ramadhan dan ketepikan agenda tersirat yang lain. Biarlah kita ikhlas dalam menyampaikan apa jua mesej atau maklumat kerana golongan penerima akan membentuk pelbagai persepsi seperti positif atau negatif.

Sekian.

Burhanuddin al-Helmy

Lagu yang membawa nilai sebenar kenangan sebuah perjuangan. Lebih bernilai jika dibandingkan dengan lagu negara yang merupakan hasil ciplak. Ucapan tahniah dan terima kasih kepada pencipta lagu ini kerana menghasilkan lagu yang sangat baik. Semoga lagu ini akan mengembalikan jiwa kebangsaan yang sepatutnya ada dalam diri kita. Selamat Mendengar kepada semua.



Sumber: http://www.youtube.com/watch?v=-lPvQyl12dI

Wednesday, September 1, 2010

Hari Merdeka 31 Ogos 1957 & Hari Penubuhan Malaysia 16 September 1963

Sambutan Kemerdekaan Malaysia akan disambut setiap tahun dengan pelbagai acara seperti perarakan dan sinaran bunga api di langit Bandaraya Kuala Lumpur pada 31 Ogos setiap tahun. Malam kemerdekaan ini juga tidak terlepas daripada dicemari dengan perbuatan yang negatif seperti aksi-aksi merbahaya samseng jalanan dan juga seks bebas.

Hari Malaysia pula ialah hari tertubuhnya Malaysia iaitu pada 16 September 1963. Namun setelah 47 tahun Malaysia ditubuhkan, tahun 2010 merupakan tahun pertama rakyat Malaysia akan meraikannya. Pengisytiharan cuti telah dibuat oleh kerajaan Malaysia, namun bagaimana sambutan untuk mengenang tarikh penubuhan negara bangsa Malaysia ini masih lagi belum diketahui. Adakah akan ada perarakan dan juga letupan bunga api yang menerangi langit Kuala Lumpur?

Kadang-kadang aku seperti hairan atau janggal untuk menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia pada 31 Ogos sedangkan Malaysia ditubuhkan pada 16 September 1963. Jadi Hari Kemerdekaan yang disambut setiap 31 Ogos pada setiap tahun adalah Hari Kemerdekaan bagi Tanah Melayu sebenarnya.

Namun, aku cuba mengetepikan rasa hairan dan ketidak selesaan yang aku rasa ini dengan menerima kemerdekaan tanah airku ini dengan hati yang terbuka tetapi masih mengharapkan sesuatu yang lebih telus dan benar akan dilakukan oleh kerajaan agar aku tidak terus hairan dan keliru dengan fakta serta sejarah yang selalu sahaja songsang dan diseleweng oleh pihak tertentu. Semoga negara Malaysia akan dijauhi dengan pengkhinat-pengkhianat yang bertopengkan penyelamat negara.

Sekian.

Sang Saka Merah Putih Bintang 12

Bendera merupakan satu lambang kemegahan sebuah negara. Bendera yang berkibar megah membawa semangat dan impian masyarakat di sesebuah negara untuk lebih memahami jati diri dan perjuangan dalam menubuhkan sesebuah negara serta perjuangan untuk mempertahankan negara daripada segala ancaman anasir luar. Bendera pasti juga akan dilihat apabila sebuah masyarakat atau bangsa sedang bersemangat berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan bagi negara mereka. Begitu juga halnya yang berlaku di Tanah Melayu (Malaysia) suatu ketika dahulu ketika perjuangan masyarakat terutama golongan muda berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan bagi Tanah Melayu yang tercinta ini.

Pelbagai nama tokoh pejuang seperti Dr. Burhanuddin Helmi, Haji Ishak Bin Mohamad (Pak Sako), Ahmad Boestamam dan ramai lagi yang juga mewakili pelbagai parti seperti KMM, PKMM, API dan AWAS. Mereka ini dilabelkan sebagai golongan pejuang haluan kiri. Penghargaan kepada pejuang-pejuang haluan kiri ini tidak mendapat tempat yang sepatutnya sebaliknya hanya nama pejuang Melayu daripada UMNO sahaja yang sering dicanang.

Keistimewaan pejuang haluan kiri ini ialah mereka boleh dikatakan antara golongan terawal yang berjuang dengan misi untuk mencapai kemerdekaan bagi Tanah Melayu ini. Berbekalkan semangat yang membara bersama bendera Sang Saka Merah Putih, mereka berjuang tanpa kenal penat dan lelah hingga sanggup berkorban demi tanah air yang tercinta ini.

Namun sedih kerana bendera yang mempunyai jiwa dan roh perjuangan untuk mendapatkan kemerdekaan ini telah diketepikan untuk memberi laluan kepada hasil penciplakan bendera Amerika. Oleh itu, jika masyarakat tidak menghormati dan mengibarkan bendera Malaysia, maka tidak boleh menyalahkan masyarakat kerana lumrah manusia mahukan sesuatu yang tulen atau original. Dengan ini, barang ciplak sepatutnya ditukar kepada yang tulen hasil tangan anak bangsa negara Malaysia sendiri. Begitu juga hal yang sama mengenai lagu Negaraku yang diplak daripada lagu Perancis iaitu Mamula Moon.

Inilah sumber dalaman yang sepatutnya menjadi agen kepada pembentukan jati diri anak-anak bangsa. Namun jika agen ini hasil ciplak, bagaimana hendak membentuk sebuah jati diri yang kuat lagi utuh? Tepuk dada dan tanya selera. Sesetengah pihak mengatakan bahawa ini merupakan bendera Komunis dan ada yang mengatakan ia menyerupai bendera Myanmar serta tidak cantik. Walaubagaimanapun, ini adalah bendera perjuangan yang sejati untuk menuntut kemerdekaan Tanah Melayu suatu ketika dahulu.

Salam Merdeka daripada saya. Moga negara kita akan terus maju dan anak-anak bangsa akan lebih merdeka dengan acuan yang baik dan positif. Sekian.

Wednesday, June 2, 2010

Pahlawan - Puisi Usman Awang

Jika hilangmu tanpa pusara

Jika pusaramu tanpa nama

Jika pusaramu tanpa bunga

Mereka mengatakan kau penderhaka

Engkau tetap pahlawan

Sungai Pahang berubah merah

Rumput tebingnya segala musnah

Satu satu pahlawan rebah

Arus merahnya menjulang mayat

Pahlawan bangsa pahlawan rakyat

Tujuh liang dadanya tersayat.

-Usman Awang-

Saturday, May 22, 2010

Judi Dan Arak

Al-Quran menyebut: (maksud)

“Mereka bertanya engkau (wahai Muhammad) tentang arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa (keburukan) yang besar dan manfaat kepada manusia. Namun dosa (keburukan) keduanya lebih besar dari manfaatnya” (Surah al-Baqarah ayat 219).

Melihat pada maksud ayat al-Quran di atas ini, jelas la bahawa arak dan judi itu keburukannya lebih besar daripada manfaat (kebaikan). Jadi sebab inilah keduanya diharamkan di sisi Islam.

Semenjak Datuk Dr Awang Adek Hussein yang merupakan Timbalan Menteri Kewangan mengumumkan pemberian lesen judi bola sepak kepada kumpulan BERJAYA, seluruh Malaysia tidak kira umat Islam atau bukan Islam merasakan tidak puas hati. Pelbagai kenyataan yang berbentuk bantahan dibuat oleh wakil-wakil parti politik di Malaysia.

Siang tadi telah diadakan demo di beberapa negeri selepas solat Jumaat untuk membantah pemberian lesen judi tersebut. Demo bantahan ini dikemudikan oleh wakil-wakil daripada Parti PAS. Namun demo ini dianggap hanya "panas badan" kerana akan datang akan diadakan demo besar-besaran ke Istana Negara untuk menunjukkan bantahan. Semoga mereka berjaya mendesak supaya lesen judi tersebut ditarik kembali atau dibatalkan.

Berbalik kepada maksud ayat al-Quran di atas tadi, ia tidak menyatakan hanya judi, tetapi berpasangan dengan arak. Persoalannya di sini, mengapa tidak demo untuk arak juga? Sedangkan kita tahu dan seluruh rakyat Malaysia juga tahu bahawa negara kita ini juga menjual arak. Lesen penjualan arak diberikan kepada syarikat-syarikat atau premis-premis tertentu. Ternyata ramai juga di kalangan muda mudi yang beragama Islam yang terjebak dengan gejala minum arak ini.

Lesen judi dikeluarkan tetapi judi tersebut hanya untuk orang-orang bukan Islam dan orang-orang Islam haram untuk melibatkan diri dalam judi bola tersebut. Namun orang Islam mungkin sahaja boleh terlibat dengan judi ini jika tiada pengawalan yang ketat dilakukan. Situasi atau keadaan ini sama juga dengan lesen penjualan arak. Lesen penjualan arak diberikan dan tidak boleh dijual kepada orang-orang Islam. Namun ia juga bergantung kepada akidah orang-orang Islam juga. Ini kerana sebilangan besar orang-orang Islam yang dengan bersahaja membeli arak dan meminumnya.

Dari segi proses pemberian lesen dan operasi judi dan penjualan arak ini adalah lebih kurang sama tetapi persoalannya kenapa penjualan arak di Kelantan tidak ditentang seperti tentangan terhadap pemberian lesen judi ini? Sedangkan arak juga haram di sisi Islam. Tuan Guru Nik Aziz membenarkan arak dijual di Kelantan dengan syarat ia tidak dijual kepada orang-orang Islam dan jika jika penjual ditangkap kerana menjual kepada orang-orang Islam, maka lesen akan ditarik. Lebih kurang beginilah ucapan TGNA yang saya dengar sewaktu di Felda Sungai Tengi, semasa PRK di Hulu Selangor. Persoalannya, adakah benar dan pasti tiada orang Islam di kelantan yang membeli arak? Adakah begitu ketat kawalan dan penguatkuasaan di sana?

Mungkinkah kerana dia terkenal sebagai Tuan Guru dan ulama', maka segala keputusan dan tidakannya akan betul? Datuk Dr Awang Adek Hussein pula merupakan ahli Umno maka keputusan atau tindakannya segalanya adalah salah.

Bagaimana pula situasi di Brunei? Negara Brunei terus mengharamkan arak tanpa ada kompromi. Ini kerana jika Allah ingin menurunkan bala, ia bukan diturunkan kepada si peminum dan penjual arak sahaja, tetapi kepada semua manusia lain yang ada disekeliling juga. Tidakkah hujah ini cukup kuat?

Baiklah, saya menulis kali ini sekadar untuk meluahkan persoalan di dalam akal fikiran saya. Saya juga ingin mengajak saudara dan saudari yang membaca tulisan saya ini untuk berfikir sejenak. Mari kita renungkan bersama. Arak dan judi diharamkan oleh Allah. Siapa kita sebagai hambanya untuk menghalalkannya.

P/S: Saya minta maaf kepada penyokong Pas dan TGNA jika tulisan saya ini bercanggah atau menyakitkan hati. Tiada niat untuk menyakitkan hati mana-mana pihak. Sekadar menulis untuk mencari kepastian. Sekian.

Thursday, May 20, 2010

Bangunlah Wahai Anak Muda!!!

Apabila kita dalam perjuangan, tentu sahaja pelbagai cara dilakukan untuk menaikkan semangat untuk terus berjuang agar jauh dan terhindar daripada rasa putus asa. Antara yang selalu kita lihat ialah penggunaan panji atau bendera, puisi-puisi yang membakar semangat, dan juga lagu.


Namun, dipaparan kali ini saya ingin memaparkan video lagu yang bagi saya cukup memberi semangat kepada sesiapa sahaja yang ingin berjuang teruatama kepada anak muda. Justeru itu, marilah kita menghayati irama, lirik dan video lagu yang bertajuk " Adakah Kau Lupa " yang saya salin dan pindahkan ke blog saya untuk tatapan saudara dan saudari sekalian.

Semoga kepada yang sudah mempunyai semangat untuk berjuang akan tambah lebih bersemangat dan tidak akan cepat putus asa. Manakala bagi yang jiwanya masih kosong, harap akan terbit kesedaran semangat untuk berjuang. Bangunlah wahai anak muda!!!

Thursday, May 6, 2010

Ibu

Ibuku ibu yang mithali. Mungkin insan lain melihat dia hanya seorang biasa. Mungkin hanya jiran-jiran sekitar tempat tinggalku sahaja yang mengetahuinya. Namun yang mengetahui hanya bagi jiran yang ambil peduli dan perihatin. Mungkin sekalian alam yang menyaksikannya sahaja yang mengerti tetapi hanya mampu menyaksikan dalam bisu. Ketika itu aku melaluinya tanpa penuh pengertian dalam diri seorang anak.

Ayahku meninggal dunia ketika aku berusia seawal umur 2 tahun. Semenjak itu, ibuku membesarkanku dengan titik peluhnya sendiri. Mencari rezeki menjual hasil pertanian di pekan sehari di bandar Triang yang lebih kurang 10km atau lebih dari kampungku. Alhamdulillah hasil rezekinya mencukupi untuk menyara hidup kami. Walaupun kadang-kadang seperti tidak mencukupi, namun syukur Allah itu Maha Kaya kerana mencukupi kekurangan dalam hidup kami.

Kisah ini sewaktu aku bersekolah rendah. Teratak tempat tinggalku jauh dengan sekolah dan lebih pedih apabila tiada kenderaan awam yang boleh aku naik untuk pergi ke sekolah. Ini kerana rumahku tidak berada di jalan utama. Namun semangat untuk menuntut ilmu dan dorongan ibuku membuatkan aku kuat untuk melalui semua ini.

Untuk mendapatkan bas sekolah, aku terpaksa menaiki basikal ke jalan utama yang memakan masa lebih kurang 10 hingga 15 minit perjalanan. Ibuku akan mengejutkan aku seawal pagi kerana bas sekolah tiba di tempat perhentian dalam jam 7. Jadi kebiasaannya aku akan bangun seawal jam 6 untuk solat subuh dan bersiap untuk ke sekolah.

Pakaian aku semua sudah siap bergosok. Begitulah ibuku melayan aku yang tidak pandai untuk menggosok pakaian sendiri. Sudah belajar namun masih juga tidak pandai. Dengan sarapan yang sudah siap dihidangkan, aku menjamah sebelum turun dari rumah. Kebiasaan aku akan turun dari rumah dalam jam 6.30 pagi atau jam 6 jika aku ingin lebih awal ke sekolah kerana terdapat juga bas sekolah yang memulakan operasinya sekitar jam 6.30 atau 6.45 pagi.

Suasana awal pagi itu masih lagi gelap dan kenderaan masih lagi tidak banyak melalui jalan di kawasan kampungku. Ibuku mengikut di belakangku untuk menghantar aku separuh jalan kerana aku takut untuk melalui jalan itu ketika waktu masih gelap. Lebih 500 meter kawasan hutan tebal yang berbukit perlu aku lalui dengan pelbagai kisah seram yang pernah aku dengar. Namun ibuku tetap juga menemaniku dengan berbekalkan lampu suluh yang kecil dan sebilah parang sebagai senjata untuk mempertahankan diri jika berlaku sebarang perkara yang tidak diingini. Ibuku kelihatan berani dan hebat dengan parang di tangannya namun dia tetap seorang wanita.

Kebiasaannya ibuku akan menghantarku ke separuh jalan kawasan yang berhutan dan dari situ baru akan menaiki basikal lalu memecut tanpa menoleh ke belakang lagi. Zalimkah aku pada waktu itu kerana membiarkan ibuku keseorang dalam kegelapan yang dikelilingi oleh hutan tebal? Namun ibuku tidak mahu aku memikirkan tentang itu. Dia hanya mahu aku selamat sampai ke sekolah dan dapat menuntut ilmu. Itulah matlamat dan impiannya yang mahukan anak tunggalnya ini berjaya dalam hidup.

Tetapi aku tidak pernah mendengar ibuku merungut walau sepatah kata pun. Lidahnya bagai terkunci oleh pengobanan itu. Meletakkan dirinya dalam bahaya setiap hari hanya untuk melepaskan anaknya pergi ke sekolah. Pernah satu ketika seekor babi hutan yang aku kira sebesar seekor kuda melintas di tengah jalan tidak jauh dari kami. Aku sudah ketakutan namun ibuku tidak sedikit pun berundur. Dia meminta aku meneruskan perjalanan dan dia akan tetap mengiringiku. Sampai di kawasan tempat babi hutan itu melintas, dia menyuruhku untuk mula mengayuh basikal. Berat hatiku untuk meninggalkannya namun aku terpaksa. Aku mula mengayuh dan ibuku masih berdiri di tempatnya. Dia akan memerhatikan aku sehingga aku tiada lagi di pandangannya dan kemudian baru dia akan berpaling dan terus pulang.

Pernah juga suatu ketika ada beberapa orang Cina yang memburu babi di kawasan tersebut. Aku telah meninggalkan ibuku dan mengayuh basikal seperti biasa. Tiba-tiba aku mendengar bunyi tembakan. Aku sangat terkejut. Setibanya aku di tempat yang berbunyi tembakan itu, aku melihat beberapa orang Cina sedang mencari babi hutan yang mereka tembak. Aku meneruskan perjalan hingga ke rumah ibu saudaraku di mana tempat aku meletak basikal sebelum aku menaiki bas untuk ke sekolah. Setelah aku meletak basikal dan ingin menuju ke tempat perhentian bas, aku melihat ibuku termengah-mengah dalam langkah yang agak pantas menuju ke arahku. Kebetulan hari itu ibuku memang ingin ke rumah ibu ibu saudaraku itu. Setelah mendengar bunyi tembakan, langkah menjadi pantas untuk meneruskan perjalanan. Pasti ketika itu hatinya diselubungi dengan keresahan dan kerisauan. Dia bimbang jika apa-apa terjadi kepadaku. Dia bimbang jika tembakan pemburu babi itu mengenai tubuhku. Ibuku bersyukur aku selamat. Raut wajahnya gembira walau dalam kepenatan dan termengah-mengah untuk bernafas.

Kini umurku sudah menjangkau 24 tahun. Jalan yang aku lalui dulu pun sudah tidak menyeramkan sangat. Hutan yang tebal dulu kini sudah agak nipis dimamah masa. Aku pun sudah bekerja di perantauan. Bila ku kenang kembali kisah ini, aku rasa sedih. Namun ego seorang lelaki sering menyorokkan air mata ini. Tahun 2010 ini ibuku sudah berusia lebih 62 tahun. Usia telah membataskan pergerakannya. Namun sikap ambil berat dan perihatin terhadap anaknya ini masih lagi seperti dulu yang langsung tidak dimakan usia. Sungguh aku menyayangi ibuku dan dialah ibu yang mithali yang sukar untuk dicari ganti. Terima kasih ibu.
 Kabur - Gambar bersama ibu di Putrajaya
Sesungguhnya banyak silap dan dosaku kepada ibu. Dewasaku ini akanku balas segala jasa dan pengorbananmu. Moga ibu akan berbahagia di dunia dan akhirat sana.

Wednesday, May 5, 2010

Pena














Pena,
sungguh ia amatlah berguna;
bisa melukis berbagai rupa;
tiap titipnya ada seribu makna;
makna yang menterjemah segenap lautan.

Pena,
menari mengikut rentak;
langkah cantik indah terpuji;
langkah sumbang songsang dihayati;
yang mulia bisa menjadi keji.

Pena,
menitip kenangan lalu;
membentuk jati diri untuk maju;
melakar masa depan;
membina tugu harapan.

Pena,
yang gembira bisa menjadi duka;
yang duka bisa lahir gelak ketawa;
meluahkan segala rasa;
bagai jiwa berasa lega.

Pena,
membongkar sebuah kebenaran;
mengubah segenap kesilapan;
yang berkuasa disanjung tinggi;
yang lemah dicaci maki.

Pena,
berteman jari jemari;
di atas sebidang kertas;
menulis kata demi kata;
mampu menggegar jiwa dan raga.

Pena,
selagi punya daya;
selagi jari punya kuasa;
tiada pernah sia-sia;
selamanya berguna.