Helaian muka

Showing posts with label Forum Dan Diskusi. Show all posts
Showing posts with label Forum Dan Diskusi. Show all posts

Friday, October 21, 2011

Sembang Santai Bersama Facebookers & Bloggers

Assalamualaikum.

Di sini ada satu hebahan. Maklumat hebahan ini adalah seperti dalam gambar.

Kepada yang berkelapangan dan berminat, sila hadirkan diri.


Thursday, September 8, 2011

Forum - Mat Indera Pejuang Atau Pengkhianat Kemerdekaan

Assalamualaikum.

Saya telah hadir ke forum ini dengan jayanya pada malam semalam di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur. Sungguh di luar jangkaan kerana kehadiran yang sangat menggalakkan apabila dewan penuh hingga ada yang sanggup berdiri dan duduk bersila di atas lantai hanya kerana hendak mendengar hujah-hujah dari ketiga-tiga panel.

Saya puji pihak penganjur kerana berjaya mengadakan forum ini. Saya harap forum seperti dapat diadakan selalu agar masyarakat Malaysia dapat dididik ke arah cara pemikiran dan hujan diskusi lalu audien berhak memilih dan membuat keputusan atas hujah-hujah dalam diskusi yang diadakan.

Saya tidak dapat hendak mengulas mengenai isi-isi hujah ketiga-tiga panel yang telah hadir itu. Cuma sangat yakin bahawa Mat Indera bukanlah seorang pengkhianat atau penderhaka atau pengganas. Sebaliknya beliau adalah seorang pejuang nasionalis sejati Tanah Melayu ketika itu. Biarpun ada pendapat mengatakan beliau Komunis dan sebagainya, walau apa pun ideologinya, beliau berhak diiktiraf sebagai pejuang kemerdekaan dan bukan pengampu penjajah. Begitu juga pejuang-pejuang yang lain seperti Dr. Burhanuddin al-Helmy, Ahmad Boestamam, Syamsiah Fakeh, Ishak Haji Mohamad (Pak Sako) dan ramai lagi. Tidak kurang juga pejuang-pejuang Melayu tradisional seperti Tok Janggut, Dato' Bahaman, Haji Abdul Rahman Limbong dan sudah tentu ramai lagi, mereka ini wajib diiktiraf dan diwartakan oleh kerajaan sebagai PEJUANG KEMERDEKAAN!

Cukuplah sampai di coretan saya. Serba sedikit gambar yang sempat saya rakam. Silalah layari laman blog foto milik saya di http://lensamassa.wordpress.com/2011/09/07/forum-mat-indera-pejuang-atau-pengkhianat-kemerdekaan/.

Sekian.

Sunday, February 20, 2011

Malam diskusi Anak Muda

Solidariti Anak Muda Malaysia dengan sokongan Majlis Perbandaran Sepang telah menganjurkan sebuah program yang sangat bagus iaitu Malam Diskusi Anak Muda yang bertempat di Dataran Avenue 1, Cyberjaya.

Panel yang dijemput terdiri dari 7 orang wakil dari Institut Pengajian Tinggi Awam/Swasta (IPTA/S). Kemudian wakil dari parti-parti politik seperti Umno, Pas dan DAP.

Perbincangan sangat menarik walaupun masa sangat singkat dengan kehadiran panel yang ramai. Namun penulis tetap ingin komen mengenai malam diskusi ini kerana ada beberapa perkara yang tidak disenangi oleh penulis sendiri. Komen ini adalah komen peribadi dari penulis dan tiada kaitan dengan sesiapa pun.

Perkara pertama ialah kehadiran sesetengah panel yang lambat dan ini telah melewatkan bermulanya majlis diskusi ini. Penulis yang tiba agak awal terpaksa menunggu agak lama kerana program bermula sekitar jam 10.

Perkara kedua pula ialah mengenai hujah atau isu yang dibangkitkan oleh panel-panel terutama wakil-wakil IPTA/S. Tajuk diskusi yang bertemakan anak muda telah fokus dan berkisar mengenai mahasiswa. Sedangkan topik anak muda itu sangat besar untuk dibincangkan tetapi telah dikecilkan dengan membincangkan topik mahasiswa. Ini sangat mendukacitakan penulis. Namun penulis masih mengharapkan sesuatu yang lebih baik dari mereka ini.

Dari segi penganjuran, penulis puji SAMM kerana berani untuk menganjurkan program sebegini. Harap-harap akan berterusan dan kepada sdr Chegu Bard, anda moderator yang sangat bersahaja. Teruskan perjuangan untuk anak-anak muda dan juga masyarakat secara umunya. Hidup anak muda!!!

Gambar-gambar sekitar Malam Diskusi Anak Muda




Sekian.

Saturday, February 12, 2011

Forum Isu Semasa: Analisis Perkembangan Terkini Di Timur Tengah

Selasa, 1 Feb 2011, telah berlangsung forum isu semasa yang bertajuk "Analisis Perkembangan Terkini Di Timur Tengah" yang bertempat di Dewan Besar Darul Hikmah, Sungai Ramal Dalam, Kajang Selangor. Forum bermula sekitar jam 9 lewat lebih setengah jam kerana menunggu kehadiran audien. Forum ini anjuran PKPIM, ABIM dan WADAH.

Dua orang panel yang dijemput sangat hebat dan memberi gambaran yang jelas mengenai krisis di Timur Tengah ini. Panel yang pertama ialah Prof. Dr. Mohammad Redzuan Othman, Dekan Fakulti Sastera & Sains Sosial Universiti Malaya. Panel kedua pula Tn. Hj. Ahmad Azam Abdul Rahman yang merupakan Pengerusi Suruhanjaya Sosial, Kemanusiaan & Perpaduan, Kesatuan NGO-NGO Islam Sedunia (UNIW).

Turut hadir bersama untuk sesi kedua iaitu Abdalrahim M. Shebab yang mewakili Persatuan Islam Jabaliyyah Palestin untuk membentangkan isu-isu semasa mengenai Palestin.

Penulis ingin membuat kesimpulan atas forum yang telah berlangsung ini iaitu Mesir dan negara-negara Arab yang lain perlu menyahut seruan untuk berubah dan tanggungjawab ini perlu dipikul oleh anak-anak muda yang kelihatan sangat ghairah dalam membuat tuntutan. Pemimpin-pemimpin Arab yang merupakan sekutu Amerika dan Israel yang juga seorang diktator perlu bersiap sedia untuk melawan kemaraan anak-anak muda ini dan sudah tentu persediaan itu juga adalah persediaan untuk tumbang atau digulingkan.

Gambar sekitar forum yang berlangsung


Di sebelah kanan moderator ialah Prof. Dr. Mohammad Redzuan Othman dan 
manakala di sebelah kiri pula Tn. Hj. Ahmad Azam Abdul Rahman


Panel 1


Panel 2


Sesi bersama wakil dari Palestin






Barisan audien yang hadir


Semoga aktiviti seperti akan lebih banyak diadakan dan seterusnya menjadikan ia satu budaya khususnya kepada anak-anak muda di Malaysia.

Sekian.