Helaian muka

Friday, December 31, 2010

Tahun Baru 2011

Di kesempatan ini Indera Segara ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru 2011 kepada seluruh rakyat Malaysia. Indera Segara juga berharap tahun 2011 ini akan merubah Malaysia kepada negara yang lebih baik dari sebelumnya. Negara yang sepatutnya jadi setelah 53 tahun mengecapi kemerdekaan.

Tanggungjawab merubah negara adalah di tangan kita sebagai rakyat. Allah tidak akan merubah nasib sesuatu kaum itu kecuali kaum itu sendiri yang merubahnya. Begitulah yang telah difirmankan oleh Allah.

Moga tahun 2011 dan tahun-tahun lain yang akan mendatang akan memberi sinar baru dan harmoni kepada negara dan rakyatnya. InsyaAllah.

Sekian,
Indera Segara

Selamat Tahun Baru 2011

Harimau Malaysia: Piala Suzuki AFF 2010


Baru-bari ini pasukan bola sepak Malaysia yang diberi jolokan nama "Harimau Malaya" telah berjaya memenangi Piala Suzuki AFF 2010. Dalam perlawanan akhir II di Stadium Bung Karno Indonesia, Malaysia telah kalah 2-1 dengan Indonesia tetapi telah menang agregat 4-2 kerana telah menang sewaktu perlawanan akhir I di Stadium Nasional Bukit Jalil dengan kemenangan 3 berbalas kosong.

Indera Segara menitipkan harapan agar kemenangan pasukan bola Malaysia ini akan meningkat prestasi dan terus konsisten untuk memenangi piala lain iaitu Asia dan juga dunia. Moga-moga sekalian rakyat Malaysia juga mempunyai harapan yang sama.

Kepada pasukan bola Indonesia, anggaplah kekalahan kali ini sebagai titk tolak kepada perpaduan saudara serumpun dan bukannya alasan untuk kita berbalah. Walaupun begitu, pasukan bola Indonesia tetap hebat.

Sekian,
Indera Segara

Friday, December 10, 2010

Kembalikan Hak Air Rakyat

Air merupakan nikmat yang diberikan oleh Allah kepada manusia tanpa perlu dibayar. Bagi umat Islam, hanya perlu menyatakan syukur dengan melakukan perintah dan meninggalkan apa yang telah dilarang oleh Allah.

Oleh itu, air yang diperolehi secara percuma ini telah diberi kuasa kepada manusia di bumi ini untuk menguruskannya. Sudah tentulah manusia itu adalah kahlifah. Khalifah yang diangkat oleh Allah untuk menjadi pemimpin.

Jadi seharusnya isu air ini tidak timbul. Ia merupakan isu kemanusiaan. Sangat tidak berperikemanusiaan jika sumber utama kehidupan ini hendak dikenakan bayaran yang tinggi kepada penggunanya. Sepatutnya pihak yang bertanggungjawab memikirkan cara lebih efektif untuk mengatasi masalah air tanpa perlu menaikkan tarif air.

Jika dilihat dari segi pendapatan, majoriti rakyat Malaysia masih berpendapatan rendah. Rakyat masih kurang mampu untuk menanggung kos kehidupan yang semakin hari semakin tinggi. SYABAS ingin menaikkan tarif air sebanyak 37% dan ini sangat tidak rasional kepada majoriti besar masyarakat Malaysia. Dalam keadaan negara mengalami gelombang bantahan daripada rakyat, masih sempat kerajaan menaikkan harga petrol RON 95, diesel, dan gula.

Saya sebagai rakyat biasa membantah apa yang dilakukan oleh kerajaan ini. Oleh itu, saya tidak akan menyalahkan masyarakat yang mengadakan demonstrasi aman untuk menyatakan bantahan. Walaupun aman, tetapi tetap perlu melayani kerenah polis yang memang tidak suka melihat keamanan dengan melakukan huru hara seperti menembak gas pemedih mata dan menyembur cecair kimia kepada demonstrator.

Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan!!! Berpeganglah pada slogan ini supaya kita sentiasa ingat apa yang mereka patut buat untuk rakyat. Oleh itu, kepada masyarakat di luar sana, fikir dan telitilah baik-baik terhadap keadaan yang berlaku sekarang. Mungkin sudah tiba masa kita berubah. Revolusi atau reformasi, rakyat yang tentukan.

Salam Maal Hijrah. Wassalam.

Berikut adalah gambar sekitar demonstrasi membantah kenaikan tarif air dan mengiring Menteri Besar Selangor untuk menyampaikan memorandom kepada Yang Dipertuan Agong ke Istana Negara yang berlangsung di hadapan Masjid Negara pada 5hb Disember 2010.


 Kebangkitan Mahasiswa



 Kanak-kanak juga tidak ketinggalan. Syabas!





 Ketika ucapan Menteri Besar Selangor



 Seorang Ayah yang tidak terlepas menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat dalam menyuarakan bantahan










Polis menyembur cecair kimia kepada demonstrator

Sekian

Sunday, September 26, 2010

Matahari & Aku

Hari ini aku melihat matahari,
panas membara menghangat alam semesta,
lalu aku bertanya kepada diri,
apa yang telah aku beri?

Kepada langit dan bumi,
kepada udara, sungai dan lautan,
kepada rimbunan pohonan dan gunung-ganang bukit membukau,
kepada saudara dan jiran tetangga,
kepada yatim dan juga piatu,
kepada yang miskin dan yang fakir,
kepada agama dan tanahair ini.

Diriku rasa begitu kerdil,
melihat matahari memberi tanpa menerima dariku.

Friday, September 24, 2010

Sinar Harian: Belia 4B Bantu Gerakkan Belia

KAMPUNG MENGKARAK – Gerakan Belia 4B Cawangan Mengkarak berhasrat menubuhkan kelab kompang yang melibatkan golongan remaja di kampung ini.

Pengerusinya, Muhayudin Salleh berkata, kelas pembelajaran kompang akan dimulakan Oktober ini dijangka memberi peluang kepada anak-anak muda khususnya di kampung ini untuk mempelajari teknik pukulan kompang yang betul.

Menurutnya, tenaga pengajar yang terdiri daripada ahli Belia 4B cawangan ini dapat melahirkan mereka yang benar-benar berbakat supaya dapat memastikan budaya tradisional ini dikekalkan pada masa akan datang.

“Saya percaya ramai yang berminat untuk mempelajari teknik pukulan kompang yang betul tetapi tidak berkesempatan berbuat demikian mungkin kerana tidak tempat untuk belajar atau pasukan kompang sedia ada tidak mahu menerima golongan muda ini.

“Walaupun kita hanya mempunyai 18 kompang yang boleh digunakan untuk mengajar mereka, namun sekurang-kurangnya ia dapat dimanfaatkan dengan baik dan memberi ruang kepada golongan muda ini untuk bersama dengan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri anjuran Belia 4B Cawangan Mengkarak di Dewan Serba Guna Kampung Mengkarak.

Turut serta Pengerusi Majlis Belia Negeri Pahang, Norol Azali Sulaiman; Pengerusi Belia 4B Negeri Pahang, Ahmad Daniar Ismail dan Ketua Kampung, Rosli Mohd Yunan.

Muhayudin berkata, usaha ini adalah untuk menyemarakkan lagi aktiviti golongan belia di kampung ini kerana tidak mahu mereka beranggapan tiada sebarang perancangan untuk mereka sedangkan mereka juga tidak ketinggalan berjasa terhadap tempat kelahiran sendiri.

Menurutnya, selesai sahaja pembelajaran selama dua bulan, kelab kompang akan ditubuhkan bagi memudahkan memenuhi keperluan majlis atau kenduri kahwin di kampung ini.

“Kelas ini tidak mengenakan sebarang bayaran kerana ia ditaja malah sesiapa sahaja boleh mengikuti kelas ini namun tumpuan hanya diberikan mereka yang berumur antara 12 hingga 20 tahun sahaja.

“Daripada mereka ini, kita akan mengambil mereka sebagai pemain kompang yang bernaung di bawah Belia 4B dan ilmu itu akan diturunkan kepada generasi yang akan datang pula,” katanya.

Muhayudin berharap, langkah ini mendapat sokongan daripada golongan belia supaya bersama-sama melonjakkan nama Belia 4B kampung ini sekali gus memasyhurkan lagi kebudayaan tradisional Melayu.

Tuesday, September 21, 2010

Jamuan Hari Raya Anjuran GB4B Caw Mengkarak & Sambutan Hari Malaysia

Ucapan tahniah kepada semua ahli Gerakan Belia 4B (GB4B) Caw Mengkarak kerana telah berjaya mengadakan Majlis Jamuan Hari Raya berserta Sambutan Hari Malaysia. Kejayaan ini dapat dikecapi kerana semua belia bekerjasama dan bantu-membantu dalam menjayakan majlis yang setahun sekali diadakan ini.


Majlis yang berlangsung secara bersederhana tetapi sangat bermakna bagi barisan belia. Ini kerana majlis jamuan yang diadakan ini telah dihadiri oleh tetamu istimewa yang dijemput khas iaitu YB ADUN GUAI, saudara Norol Azali Bin Sulaiman dan juga Pengerusi GB4B Negeri Pahang iaitu saudara Ahmad Daniar Bin Ismail bersama dengan dua orang lagi rakannya yang datang dari Kuala Lipis, Pahang. Majlis juga turut dihadiri oleh ahli JKKK Kampung Mengkarak.


Majlis dipengerusikan oleh saudara Muhayudin Bin Salleh iaitu Pengerusi GB4B Caw Mengkarak. Majlis yang juga diselitkan dengan ucapan daripada YB ADUN GUAI menmabah lagi tarikan kepada majlis ini. Ucapan beliau yang menyentuh mengenai Sambutan Hari Malaysia dan juga nasihat-nasihat yang berguna kepada belia sangat bermakna kepada hadirin yang hadir.


Setelah selesai ucapan YB ADUN GUAI, majlis diteruskan dengan bacaan doa oleh Tok Imam Masjid Kampung Mengkarak dan seterusnya sesi menjamu selera pun bermula. Hidangan yang disediakan seperti lemang, rendang ayam, sate dan nasi impit sangat menyelerakan tetamu yang hadir.


Tepat jam 3 petang, YB ADUN GUAI terpaksa meninggalkan majlis kerana mempunyai urusan di Kuala Lumpur. Dalam tergesa-gesa beliau pergi kerana majlis anjuran ANSARA itu telah bermula pada jam 2 dan habis jam 5 petang. Beliau telah lewat 1 jam. Namun beliau tetap pergi kerana ingin memenuhi jemputan tersebut.


Kemudian majlis diteruskan lagi dengan sesi penerangan mengenai GB4B yang diberikan oleh saudara Ahmad Daniar. Banyak info yang beliau sampaikan kepada belia mengenai bagaimana sikap dan cara untuk hidup dalam persatuan. Rakan beliau yang merupakan setiausaha GB4B Negeri Pahang juga turut memberikan sedikit penerangan. Secara mudahnya, harapan mereka agar GB4B di daerah Bera akan berjaya menubuhkan GB4B kawasan Bera pada masa akan datang.


Setelah selesai sesi penerangan, majlis telah sampai kepada penutup. Lebih kurang jam 4 petang, majlis telah bersurai. Belia-belia bergotong-royong untuk membersihkan Dewan Serbaguna Kampung Mengkarak yang digunakan. Sekali lagi ucapan tahniah kepada semua belia dan juga Pengerusi JKKK yang juga merangkap Ketua Kampung iaitu Rosli Bin Mohd Yunan yang banyak memberi kerjasama dalam menjayakan majlis ini.

Semoga Syawal akan datang GB4B Caw Mengkarak akan dapat mengdakan majlis yang sebegini bagi marapatkan lagi hubungan antara barisan belia dan pihak lain.

Sekian, wassalam.

Sunday, September 5, 2010

Iklan Aidilfitri TV3 Yang Memualkan. MARI BANTAH!!!

Salam lebaran kepada semua umat Islam. Kita telah menyaksikan banyak iklan Aidilfitri yang disirkan oleh TV3 dan pada tahun 2010 ini iklan Aidilfitiri ini nampak perbezaan yang terlalu janggal. Iklan yang berunsur agama lain diselit di dalamnya. Ini telah menjatuhkan maruah Islam itu sendiri. Bukanlah ingin mengatakan bahawa Islam itu jumud atau sebagainya, cuma Islam tetap ada garis semapadannya yang perlu dipatuhi. Seperti tajuk di atas, iklan ini sememangnya memualkan. Oleh itu, saya sebagai umat Islam menyeru kepada seluruh umat Islam di Malaysia yang peka dan prihatin kepada agama Islam anutan kita ini supaya bangkit dan bersatu untuk membantah penyiaran iklan Aidilfitri TV3 ini. Inilah masa untuk kita bersatu. Ketepikan segala ideologi politik dan sebagainya. Kita berdiri dan bersatu sebagai umat Islam. Mari bantah!!!

Benang dijahit bersimpul-simpul,
membuat anyaman buat kenalan,
di Damansara Utama kita berkumpul,
mari bersama menentang kejahilan.


Inilah iklan yang memualkan itu. Selamat menonton dan suarakanlah bantahan anda!!!