Monday, April 11, 2011
30 Bomoh
Saya hendak bercerita mengenai seseorang ini. Beliau ini merupakan orang pro parti yang telah banyak membela nasib orang Melayu di Malaysia.
Beliau bercerita mengenai ceramah Umi Hafilda yang tidak silap saya beliau telah hadir dan memberi sepenuh perhatian. Beliau ini terus mengulas dan bercerita. Saya hanya memasang telinga. Banyak juga yang beliau sampaikan kepada kawan-kawannya terutama tentang kisah 18 video seks yang Umi Hafilda hendak dedahkan tetapi masih belum hingga hari ini.
Apa yang tiba-tiba mengejutkan dan menjadikan telinga saya geli ialah beliau menyatakan bahawa Umi Hafilda kata ketika DSAI dibicarakan di mahkamah, ada 30 orang bomoh yang mengiringi DSAI. Dasyat sungguh! Ini telah mengalahkan Taib Mahmud yang diiringi oleh sekitar 6 orang bomoh sahaja ketika berkempen sewaktu PRN Sarawak yang dijadualkan 16 April 2011 ini.
30 bomoh ini jika benar tentu DSAI itu telah menang dalam semua kes beliau. Tentu sahaja hakim mahkamah dan peguam yang membicarakan kes DSAI itu akan jadi bodoh seperti orang yang percaya akan kisah kewujudan 30 bomoh ini.
Jika hendak berpolitik, berpolitiklah dengan cara yang bijak. Bukannya mereka-reka cerita yang akhirnya menunjukkan kebodohan diri sendiri.
Sekian.
Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone
Selesai Subuh
Penulis buku ini bernama Pramoedya Ananta Toer. Seorang penulis yang amat disegani bukan sahaja di Indonesia tetapi di mata dunia. Buku ini terbitan Syarikat Wira Karya, 1994.
Tiga tajuk cerpen yang terkandung dalam buku ini ialah Blora, Jalan Kurantil 28 dan Dendam. Ketiga cerpen ini sangat menarik. Ia merupakan cebisan kisah revolusi Indonesia.
Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone
Masyarakat Sampah
Kali ini saya bukanlah hendak bercerita mengenai sampah masyarakat tetapi mengenai masyarakat sampah. Saya sendiri tidak tahu bagaimana hendak meletakkan definisi bagi dua perkataan yang digabungkan ini. Namun, bunyinya seperti agak kasar tetapi ini realiti. Masyarakat sampah memang wujud dan Malaysia tidak terkecuali.
Sebenarnya saya ingin merujuk kepada tabiat masyarakat Malaysia tidak kira apa kaum dan agama yang gemar membuang sampah merata-rata tempat. Ikut suka tangan mereka sahaja.
Ini satu tabiat yang sangat buruk. Dalam Islam sendir menuntut umatnya supaya menjaga kebersihan. Tetapi saya sering juga melihat orang Islam yang membuang sampah di merata tempat. Tidak malukah kita kepada masyarakat luar yang datang ke negara kita? Bagi yang beragama Islam, tidak malukah pada pelancong luar yang bukan beragama Islam sedangkan Malaysia telah diiktiraf sebagai sebuah negara Islam tetapi kebersihannya tidak seperti seperti sebuah negara yang majoritinya orang Islam.
Cuba kita lihat dalam gambar, tong sampah ada tetapi pelbagai jenis sampah bersepah diluarnya. Susah sangatkah untuk membuang sampah-sampah itu ke dalam tong sampah? Hanya buka dan masukkan. Semudah 1, 2, 3 sahaja. Tolonglah sedar wahai saudara-saudari yang senegara denganku.
Tidak kurang juga ada masyarakat yang perihatin dan bertanggungjawab. Orang-orang seperti ini akan membuang sampah ke dalam tempat yang disediakan. Tetapi lain pula masalahnya. Bilangan sampah tidak mencukupi atau saiznya tidak sesuai dengan kuantiti sampah yang dibuang di kawasan itu.
Tambah lagi dengan pengalaman saya dan saya biasa mengalaminya. Apabila saya hendak membuang sampah, saya tercari-cari tong sampah dan kadang-kadang tong sampahnya ada tetapi perlu berjalan agak jauh untuk mendapatkannya. Jadi tidak hairanlah jika ramai orang membuang sampah merata-rata. Mereka ini sukar untuk membuang sampah di tempat yang betul.
Pada pendapat saya, ini tanggungjawab pihak yang terbabit dan perlu memainkan peranan secara proaktif untuk mengatasi masalah ini. Sediakan tong sampah yang mencukupi dan saiz yang sesuai berdasarkan keperluan. Biarkan masyarakat dapat membuang sampah dengan mudah dan senang di tempat yang betul. Jagalah kebersihan dan cintailah keindahan bumi tempat tinggal kita ini.
Sekian.
Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone
Bukan Iklan Malaysia
Saya bukanlah hendak bercerita mengenai roti canai atau nasi lemak tetapi apa yang saya lihat ketika sedang asyik makan roti canai. Anak mata saya kurang senang melihatnya. Timbul persoalan yang saya pasti sukar untuk dicari jawapan kerana mungkin tiada siapa yang tahu akan jawapannya.
Apa yang saya lihat itu seperti yang terdapat dalam gambar. Hanya iklan jawatan kosong. Apa masalahnya? Ini sesuatu yang baik dan perlu direbut. Kepada sesiapa yang masih belum mempunyai pekerjaan dan mempunyai kelayakan seperti yang dinyatakan, silalah memohon. Jika ada rezeki, pekerjaan itu pasti milik anda.
Namun, isunya bukan itu, tetapi kenapa menggunakan Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina sahaja? Setahu saya, kedai ini terletak di Malaysia iaitu sebuah negara yang majoriti masyarakatnya bertutur dalam Bahasa Melayu. Ini juga tertakluk dalam perlembagaan iaitu Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. Jadi, persoalannya lagi, kepada siapa iklan ini ditujukan? Kepada rakyat Amerika dan Chinakah?
Saya bukanlah hendak taksub dengan Bahasa Melayu tetapi bahasa ini ialah bahasa yang dituturkan secara rasmi di Malaysia. Jadi, gunakanlah ia sebaik mungkin dalam apa jua keadaan dan urusan.
Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone
Muhasabah Diri - Perhiasan Sebelum Tidur
Saya tertarik untuk membicarakan tentang apa yang kita fikir sebelum tidur. Setelah berjam-jam kita berjaga, tiba masa sebelum tidur, kita fikir kembali apa yang telah kita lakukan atau kerjakan. Adakah hidup kita hari ini telah kita lakukan sesuatu yang bermakna untuk diri kita, agama, masyarakat dan negara. Inilah yang dikatakan muhasabah diri dan ia sangat dituntut dalam Islam.
Tidur juga diistilahkan seperti mati iaitu mati seketika. Jadi eloklah kita merenung kembali amalan kita seharian sebelum kita "mati seketika" ini. Ada juga "mati seketika" yang menjadikan mati untuk selama-lamanya. Sesungguhnya ajal dan maut itu di tangan Tuhan.
Jadi baiklah jika kita muhasabah diri dan seterusnya beristighfar. Saya pasti tidur kita akan lebih sempurna jika kita melakukan amalan ini. Kemudian kita juga boleh membaca ayat Qursi dan juga doa sebelum tidur.
Harapan semoga tidur kita akan diberkati oleh Allah dan terhindar dari mimpi-mimpi yang buruk. Moga hari esok dan hari-hari akan datang lebih baik dari hari ini.
Selamat malam saya ucapkan. Assalamualaikum penutup bicara malam.
Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone
Sunday, April 10, 2011
Penyangkut baju
Kali ini saya mahu mengetengahkan sesuatu yang terbuku dalam fikiran dan hati saya. Ia berkaitan dengan bahasa kebangsaan iaitu Bahasa Melayu. Bahasa yang saya tuturkan semenjak saya tahu berbicara hingga kini. Saya setia dengan bahasa kebangsaan ini.
Namun saya bimbang apabila memikirkan kelangsungannya pada masa hadapan. Ia terdetik apabila saya melihat benda seperti dalam gambar yang juga diberi nama atau disebut "penyangkut baju". Benarkah rakyat Malaysia terutama orang Melayu menggunakan kata nama "penyangkut baju" bagi benda ini? Tepuk dada tanya selera. Saya sendiri tidak menggunakan kata nama tersebut. Kebanyakkan orang menggunakan perkataan kata nama dalam Bahasa Inggeris iaitu "hanger".
Jujur saya kata dan saya percaya ramai orang selesa dengan menyebut "hanger" berbanding "penyangkut baju". Bagaimana ini boleh terjadi? Kenapa kita tidak memperkayakan bahasa kita ini?
Timbul juga persoalan yang saya rasa logik. Jika perkataan "penyangkut baju" digunakan, bagaimana pula jika benda ini digunakan untuk menyangkut seluar? Ia bukan lagi menjadi "penyangkut baju" tetapi "penyangkut seluar".
Jadi saya fikir, pihak yang bertanggungjawab wajib untuk memikirkan jalan penyelesaian bagi masalah bahasa seperti ini. Coretan saya ini bukan untuk memperlekehkan bahasa kebangsaan, tetapi kerana rasa keperihatinan dan harapan saya yang mahu melihat Bahasa Melayu menjadi bahasa global yang setanding dengan bahasa dunia lain.
Cintailah bahasa kebangsaan kita dan gunakanlah sebaik mungkin dalam setiap tutur kata kita seharian. Jika bukan kita, siapa lagi akan menggunakan Bahasa Melayu ini? Jatuh bangunnya di tangan kita.
Sekian
Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone