Helaian muka

Thursday, May 6, 2010

Ibu

Ibuku ibu yang mithali. Mungkin insan lain melihat dia hanya seorang biasa. Mungkin hanya jiran-jiran sekitar tempat tinggalku sahaja yang mengetahuinya. Namun yang mengetahui hanya bagi jiran yang ambil peduli dan perihatin. Mungkin sekalian alam yang menyaksikannya sahaja yang mengerti tetapi hanya mampu menyaksikan dalam bisu. Ketika itu aku melaluinya tanpa penuh pengertian dalam diri seorang anak.

Ayahku meninggal dunia ketika aku berusia seawal umur 2 tahun. Semenjak itu, ibuku membesarkanku dengan titik peluhnya sendiri. Mencari rezeki menjual hasil pertanian di pekan sehari di bandar Triang yang lebih kurang 10km atau lebih dari kampungku. Alhamdulillah hasil rezekinya mencukupi untuk menyara hidup kami. Walaupun kadang-kadang seperti tidak mencukupi, namun syukur Allah itu Maha Kaya kerana mencukupi kekurangan dalam hidup kami.

Kisah ini sewaktu aku bersekolah rendah. Teratak tempat tinggalku jauh dengan sekolah dan lebih pedih apabila tiada kenderaan awam yang boleh aku naik untuk pergi ke sekolah. Ini kerana rumahku tidak berada di jalan utama. Namun semangat untuk menuntut ilmu dan dorongan ibuku membuatkan aku kuat untuk melalui semua ini.

Untuk mendapatkan bas sekolah, aku terpaksa menaiki basikal ke jalan utama yang memakan masa lebih kurang 10 hingga 15 minit perjalanan. Ibuku akan mengejutkan aku seawal pagi kerana bas sekolah tiba di tempat perhentian dalam jam 7. Jadi kebiasaannya aku akan bangun seawal jam 6 untuk solat subuh dan bersiap untuk ke sekolah.

Pakaian aku semua sudah siap bergosok. Begitulah ibuku melayan aku yang tidak pandai untuk menggosok pakaian sendiri. Sudah belajar namun masih juga tidak pandai. Dengan sarapan yang sudah siap dihidangkan, aku menjamah sebelum turun dari rumah. Kebiasaan aku akan turun dari rumah dalam jam 6.30 pagi atau jam 6 jika aku ingin lebih awal ke sekolah kerana terdapat juga bas sekolah yang memulakan operasinya sekitar jam 6.30 atau 6.45 pagi.

Suasana awal pagi itu masih lagi gelap dan kenderaan masih lagi tidak banyak melalui jalan di kawasan kampungku. Ibuku mengikut di belakangku untuk menghantar aku separuh jalan kerana aku takut untuk melalui jalan itu ketika waktu masih gelap. Lebih 500 meter kawasan hutan tebal yang berbukit perlu aku lalui dengan pelbagai kisah seram yang pernah aku dengar. Namun ibuku tetap juga menemaniku dengan berbekalkan lampu suluh yang kecil dan sebilah parang sebagai senjata untuk mempertahankan diri jika berlaku sebarang perkara yang tidak diingini. Ibuku kelihatan berani dan hebat dengan parang di tangannya namun dia tetap seorang wanita.

Kebiasaannya ibuku akan menghantarku ke separuh jalan kawasan yang berhutan dan dari situ baru akan menaiki basikal lalu memecut tanpa menoleh ke belakang lagi. Zalimkah aku pada waktu itu kerana membiarkan ibuku keseorang dalam kegelapan yang dikelilingi oleh hutan tebal? Namun ibuku tidak mahu aku memikirkan tentang itu. Dia hanya mahu aku selamat sampai ke sekolah dan dapat menuntut ilmu. Itulah matlamat dan impiannya yang mahukan anak tunggalnya ini berjaya dalam hidup.

Tetapi aku tidak pernah mendengar ibuku merungut walau sepatah kata pun. Lidahnya bagai terkunci oleh pengobanan itu. Meletakkan dirinya dalam bahaya setiap hari hanya untuk melepaskan anaknya pergi ke sekolah. Pernah satu ketika seekor babi hutan yang aku kira sebesar seekor kuda melintas di tengah jalan tidak jauh dari kami. Aku sudah ketakutan namun ibuku tidak sedikit pun berundur. Dia meminta aku meneruskan perjalanan dan dia akan tetap mengiringiku. Sampai di kawasan tempat babi hutan itu melintas, dia menyuruhku untuk mula mengayuh basikal. Berat hatiku untuk meninggalkannya namun aku terpaksa. Aku mula mengayuh dan ibuku masih berdiri di tempatnya. Dia akan memerhatikan aku sehingga aku tiada lagi di pandangannya dan kemudian baru dia akan berpaling dan terus pulang.

Pernah juga suatu ketika ada beberapa orang Cina yang memburu babi di kawasan tersebut. Aku telah meninggalkan ibuku dan mengayuh basikal seperti biasa. Tiba-tiba aku mendengar bunyi tembakan. Aku sangat terkejut. Setibanya aku di tempat yang berbunyi tembakan itu, aku melihat beberapa orang Cina sedang mencari babi hutan yang mereka tembak. Aku meneruskan perjalan hingga ke rumah ibu saudaraku di mana tempat aku meletak basikal sebelum aku menaiki bas untuk ke sekolah. Setelah aku meletak basikal dan ingin menuju ke tempat perhentian bas, aku melihat ibuku termengah-mengah dalam langkah yang agak pantas menuju ke arahku. Kebetulan hari itu ibuku memang ingin ke rumah ibu ibu saudaraku itu. Setelah mendengar bunyi tembakan, langkah menjadi pantas untuk meneruskan perjalanan. Pasti ketika itu hatinya diselubungi dengan keresahan dan kerisauan. Dia bimbang jika apa-apa terjadi kepadaku. Dia bimbang jika tembakan pemburu babi itu mengenai tubuhku. Ibuku bersyukur aku selamat. Raut wajahnya gembira walau dalam kepenatan dan termengah-mengah untuk bernafas.

Kini umurku sudah menjangkau 24 tahun. Jalan yang aku lalui dulu pun sudah tidak menyeramkan sangat. Hutan yang tebal dulu kini sudah agak nipis dimamah masa. Aku pun sudah bekerja di perantauan. Bila ku kenang kembali kisah ini, aku rasa sedih. Namun ego seorang lelaki sering menyorokkan air mata ini. Tahun 2010 ini ibuku sudah berusia lebih 62 tahun. Usia telah membataskan pergerakannya. Namun sikap ambil berat dan perihatin terhadap anaknya ini masih lagi seperti dulu yang langsung tidak dimakan usia. Sungguh aku menyayangi ibuku dan dialah ibu yang mithali yang sukar untuk dicari ganti. Terima kasih ibu.
 Kabur - Gambar bersama ibu di Putrajaya
Sesungguhnya banyak silap dan dosaku kepada ibu. Dewasaku ini akanku balas segala jasa dan pengorbananmu. Moga ibu akan berbahagia di dunia dan akhirat sana.

Wednesday, May 5, 2010

Pena














Pena,
sungguh ia amatlah berguna;
bisa melukis berbagai rupa;
tiap titipnya ada seribu makna;
makna yang menterjemah segenap lautan.

Pena,
menari mengikut rentak;
langkah cantik indah terpuji;
langkah sumbang songsang dihayati;
yang mulia bisa menjadi keji.

Pena,
menitip kenangan lalu;
membentuk jati diri untuk maju;
melakar masa depan;
membina tugu harapan.

Pena,
yang gembira bisa menjadi duka;
yang duka bisa lahir gelak ketawa;
meluahkan segala rasa;
bagai jiwa berasa lega.

Pena,
membongkar sebuah kebenaran;
mengubah segenap kesilapan;
yang berkuasa disanjung tinggi;
yang lemah dicaci maki.

Pena,
berteman jari jemari;
di atas sebidang kertas;
menulis kata demi kata;
mampu menggegar jiwa dan raga.

Pena,
selagi punya daya;
selagi jari punya kuasa;
tiada pernah sia-sia;
selamanya berguna.

Tuesday, May 4, 2010

ABE
















Dari selatan ke selatan,
dari Patani ke serata pelusuk Malaya;
berbekalkan jiwa yang cekal;
hijrah untuk mencari rezeki;
hijrah mencari sesuap nasi.

Sana sini kelihatan,
rata-ratanya di kedai makan;
ada yang datang haram;
dan ada yang datang halal;
masakan tomyam menjadi modal.

Mereka kelihatan gembira,
Malaya bagai syurga;
di sana mereka derita;
tanah air bagai neraka;
menyaksikan kematian sanak saudara.

Bunyi tembakan dan pengeboman,
sudah lagi tidak asing;
kanak-kanak ramai yang menjadi yatim;
moga suatu hari lahir ramai pembela;
Patani merdeka lebur segala derita.

Wednesday, April 28, 2010

Minda Kita

Terbaca dalam akhbar atas talian Berita Harian yang bertajuk "Lelaki mati dibelasah jiran kerana tegur buang sampah". Sebuah pembunuhan atas dasar teguran yang baik diberikan. Bagaimanakah mentaliti masyarakat kita hingga sanggup melakukan perbuatan yang zalim ini? Nauzubillah.

Mungkin kerana mentaliti orang seperti inilah yang akan menjadikan negara kita ini sebagai tempat timbunan sampah. Mungkin mentaliti orang seperti ini jugalah yang merosakkan keindahan alam dan fauna kita ini dengan pelbagai jenis sisa barang buangan. Sungai yang jernih yang berisi segala jenis hidupan, kini mengalir lesu dalam kekeruhan dan tubuh hidupannya yang berisi segala jenis sampah sarap. Kita tidak akan terkejut apabila pancing kita mengena tin atau beg plastik jika memancing di Sungai Langat. Lagi menggelikan apabila hasil tangkapan dibelah perut, terdapat penutup botol atau plastik di dalamnya.

Inikah hasil pembangunan dan kemodenan yang selama ini kita banggakan? Tidakkah kita sebagai masyarakat di Malaysia ini atau secara amnya manusia terlalu mementingkan diri sendiri hingga mengabaikan alam sekitar dan hidupan lainnya demi kemudahan dan kesenangan? Hina sungguh manusia sebegini.

Bumi dan sekalian alam ini dicipta bukan hanya untuk manusia tetapi juga untuk hidupan lain. Manusia sekadar diberi hak untuk menguruskan dan mentadbir di bumi ini dengan adil dan saksama.

Lihat hari ini kebanyakkannya isu yang selalu bermain di dada akhbar, kaca televisyen dan mulut masyarakat serta pemimpin hanyalah isu politik. Segalanya tentang politik dan kuasa. Kuasa untuk memerintah, kuasa untuk menghukum dan juga kuasa untuk menjahanamkan bumi ini. Tidakkah kita simpati akan alam ini?

Lihat negara-negara maju lain yang moden dan lebih maju dari negara kita tetapi tetap mengambil kira kepentingan alam seperti Jepun misalnya. Sebuah negara maju tetapi memiliki sebatang sungai yang mengalir jernih di tengah bandar. Kerana apa sungai di sana dipelihara? Kerana alam ini adalah teman kehidupan kita. Kita tidak mampu hidup dengan harmoni tanpa alam yang terpelihara.

Kasihanilah generasi kita yang akan datang. mereka tentu mahu melihat alam yang indah ini tanpa pencemaran segala jenis bahan buangan dan sampah sarap. Buanglah sampah ke dalam tong sampah. Satu seruan yang mudah. Inilah yang patut kita ubah. Sebuah anjakan minda supaya lebih mencintai alam ini.

Salam Sebuah Perjuangan

Teruskan perjuangan..
menuntut sebuah kebenaran..
pasti tiada pernah rugi..
kerana hanya pejuang yang mengerti..
lalu berasa puas hati..
pabila panji perjuangan tegak teguh berdiri..
air mata sahaja yang bisa mencerminkan..
syukur atas sebuah kejayaan..

Kesabaran dijadikan bekalan..
penawar sakit dalam menempuh dugaan..
sumber kekuatan dalam pertempuran..
ayuh kawan, sahabat dan taulan..
menang makna sebuah perjuangan..
kalah bukan erti sebuah pengunduran..
pendirian kita yang sebenar menjadi ukuran..

ku selitkan sebuah peringatan..
ingatlah kepada daratan..
takut lemas dalam kealpaan..
alpa dalam kemenangan..
lupa kepada perinsip perjuangan..
moga kita dijauhkan dari kerugian..
moga kita beroleh keberkatan..
salam sebuah perjuangan..

Parti @ Calon?

Selasa, 27hb April 2010, tepat jam 10.30 malam. Seperti biasa rancangan Hujah akan disiarkan di TV9. Rancangan yang agak menarik dan diminati oleh ramai peminat politik tanah air. Pada malam ini tajuk yang dibincangkan berkaitan dengan PRK Hulu Selangor 2 hari lepas yang telah menyaksikan kemenangan bagi parti MIC-BN dan tewasnya parti PKR.

Panel yang dijemput ialah TNC HEPA & ALUMNI UUM dan juga Tan Sri Isa Samad. Panel dari UUM ini banyak memberikan pandangan dari sudut yang lebih akademik dan tidak bias. Mungkin beliau ingin menonjolkan atau menunjukkan profesionalisme beliau dalam bidang akademik.

Berlainan pula dengan Tan Sri Isa Samad. Mungkin beliau merupakan ahli politik Umno, jadi hujahnya memang terlalu bias. Isi hujah beliau banyak yang memuji atas kemenangan BN di Hulu Selangor. Hujah beliau juga ada menyataka jika Umno yang bertanding, maka Umno juga tidak mungkin kalah. Kononnya ahli Umno di sana cukup ramai dan mampu untuk mendominasi.

Perhatian saya hanya kepada hujah Tan Sri tersebut. Beliau juga menyatakan bahawa ahli Umno sepatutnya meletakkan parti di hadapan dan bukannya calon sebagai timbang tara untuk mengundi. Luahan beliau ini mungkin kerana bukan segelintir tetapi sudah ramai ahli Umno yang sudah pandai berfikir untuk mengundi bukan berdasarkan parti.

Saya kurang faham dengan pernyataan Tan Sri ini atau sebenarnya Tan Sri ini yang kurang faham dengan perinsip sebuah pengundian itu dilakukan. Jika yang dipelajari semasa saya di tingkatan 6, cikgu subjek Pengajian Am itu mengajar bahawa kita sepatutnya mengundi berdasarkan calon dan bukannya parti dan inilah yang saya pegang hingga kini. Jadi mungkin Tan Sri perlu menyambung pelajarannya ke tingkatan 6 dan baru beliau faham cara mengundi yang sebenar.

Jika kita mengundi berdasarkan parti, apakah ukuran yang patut diletak kepada calon? Adakah parti mencerminkan peribadi calon yang baik? Adakah parti juga yang mencerminkan seseorang calon itu akan sedia dan setia berkhidmat tanpa menyeleweng kepada masyarakat? Tidakkah pokok pangkalnya pada calon tersebut?

Jika parti Umno dikatakan cermin kepada calon yang positif, bagaimana pula boleh terjadi pelbagai isu yang negatif seperti YB tidak turun padang dan tidak menjalankan tugas? Waktu mengundi sahaja baru akan kelihatan batang hidung YB. Tidak menjurus kepada Umno sahaja, parti lain juga tidak kurangnya ada yang bersikap atau bersifat sedemikian.

Kesimpulannya, kita sebagai pengundi, khususnya masyarakat sepatutnya mengundi berrdasarkan calon yang bertanding. Inilah yang kita sebagai rakyat di negara yang merdeka ini perlu ubah. Jika kita ahli sesebuah parti tetapi calon yang bertanding bagi parti tersebut sudah terang-terangan tidak mampu untuk memimpin atau mempunyai sikap, sifat atau rekod yang negatif, adakah kita perlu untuk mengundinya? Marilah kita fikirkan bersama. Mulakan langkah untuk berubah. Inilah kebenarannya dan berubah ke arah kebenaran itu sangatlah dituntut.

Wassalam.

Monday, April 26, 2010

Catatan Ringkas Sekitar PRK Hulu Selangor

Pilihan Raya Kecil (PRK) Hulu Selangor telah menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara antara P. Kamalanathan (MIC-BN) dan Dato' Zaid Ibrahim (PKR). Keputusan PRK ini telah memihak kepada calon MIC-BN iaitu kemenangan sebanyak 24,997 undi berbanding 23,272 undi bagi PKR dengan majoriti MIC-BN sebanyak 1,725. Tahniah diucapkan kepada P. Kamalanathan.

Kegembiraan

Suasana kegembiraan dialami oleh semua penyokong MIC-BN di sekitar kawasan Hulu Selangor dan seluruh Malaysia kerana kemenangan yang agak bermakna bagi BN setelah kalah dalam beberapa PRK sebelum ini dan juga kehilangan beberapa negeri yang diperintah sewaktu PRU 12.

Kegembiraan juga dirasai oleh seluruh warga Hulu Selangor kerana telah mendapat "durian runtuh" kerana pelbagai bentuk janji yang telah dibuat oleh kerajaan BN di sana. Nilai-nilai pemberian dan projek yang dijanjikan bukan sekampit beras atau 3 tin susu, tetapi melibatkan jutaan ringgit. Dalam keadaan ekonomi yang masih agak kurang stabil tetapi kerajaan BN mempunyai bajet sebegitu besar untuk memancing undi di Hulu Selangor.

Akur

Parti lawan PKR kalah tipis dalam PRK ini. Calonnya Dato' Zaid Ibrahim akur dengan keputusan tersebut. Mungkin inilah cermin kepada sebuah profesionlisme. Sikap seperti ini perlu ada atau wujud dalam diri setiap ahli politik. Ia juga seharusnya menjadi satu bentuk etika yang membataskan aktiviti berpolitik supaya tidak terlalu ekstrim.

Setelah diserang dengan pelbagai isu peribadi seperti sifat kaki arak dan kaki judi, Zaid Ibrahim masih lagi diterima oleh masyarakat. PRK kali ini banyak membongkar rahsia peribadi beliau seterusnya mengundang kepada pengakuan terhadap semua tuduhan tersebut. Berani berterus terang dan mengaku kesalahan, inilah sikap manusia yang payah untuk dilakukan. Tidak seperti pemimpin-pemimpin Umno yang asyik berdalih dan mendiamkan diri dengan isu-isu begini.

Moral

Isu pergaduhan dan keadaan tegang seolah-olah sukar untuk dielakkan dalam setiap pilihan raya yang diadakan. Namun di Hulu Selangor ini, isu moral sangat jelas kelihatan. Budak-budak bermotor dengan bendera dacing BN kelihatan di merata-rata tempat terutama di Felda Sungai Tengi. Mereka menunggang motor secara berkonvoi sambil membuat bising dengan bunyi ekzos yang kuat.

Kelihatan penunggang-penunggang tersebut bukanlah terdiri daripada golongan yang sudah boleh mengundi. Kemudian motosikal yang dibawa oleh mereka juga bukanlah jenis yang cukup sempurna untuk digunakan di atas jalan raya. Terus terang perbuatan mereka ini sangatlah merbahaya kepada diri mereka dan juga orang lain. Tetapi tiada pula tindakan yang diambil. Wujud satu persoalan untuk isu ini. Di manakah pihak berkuasa ketika itu dan apakah tindakan yang sepatutnya diambil? Ramai mahasiswa yang ditangkap kerana berkempen tetapi mengapa kumpulan bermotor ini tiada yang ditangkap atau dikenakan tindakan?

Begitulah serba sedikit catatan pemerhatian di sekitar PRK Hulu Selangor. Kepada yang menang ini bukan masa untuk bergembira, tetapi masa untuk menunaikan tanggungjawab dan amanah yang telah diberikan oleh penduduk di Hulu Selangor. Kepada yang kalah, ini bukanlah alasan untuk tidak berkhidmat kepada masyarakat. Buktikan kejujuran dan keikhlasan dalam menabur janji. Menang kalah hanya keputusan sebuah pertandingan bukan titik sebuah permusuhan.