Helaian muka

Thursday, December 10, 2009

Patani - Bangunlah! Bangkitlah!

Hari ini Khamis, 10hb Disember 2009 aku seolah-olah terpanggil untuk mencari video klip mengenai Patani di laman sesawang youtube. Apa yang aku dapat adalah video ini. Menyaksikan satu bentuk penindasan dan kekejaman ke atas segolongan manusia yang menuntut kemerdekaan tanah air tempat mereka lahir dan membesar.

Bila aku renung kembali, aku rasa alpa. Aku merupakan seorang anak muda yang lahir setelah tanah airku merdeka. Aku tidak merasakan apa yang dirasa oleh insan-insan yang berjuang dan tertindas seperti yang boleh dilihat di dalam video tersebut. Berjuang demi agama, bangsa dan negara. Ini bukannya hanya satu slogan sebuah propaganda tetapi sebuah realiti insan-insan yang berjuang.

Di sini aku coretkan harapan semoga seluruh rakyat terutama anak-anak muda di tanah airku mempunyai jati diri untuk mempertahankan agama, bangsa dan negara. Bukannya hanyut dibawa arus deras globalisasi dan lemas dalam lautan gejala sosial. Agama sepatutnya didukung bagai menatang minyak yang penuh. Bangsa dan negara dipertahankan sebagai warisan berzaman.

Tuesday, November 24, 2009

Selamat Hari Raya Aidiladha

Assalamualaikum..
Sudah lama saya tidak membuat posting kerana agak sibuk dengan pelbagai urusan dunia ini. Sempena sambutan perayaan Hari Raya Aidiladha yang semakin hampir ini, saya ingin mengucapkan selamat menyambut perayaan tersebut kepada rakan-rakan yang mengenali dan sesiapa sahaja yang membaca blog saya ini.

Sekian,
Indera Segara

Wednesday, October 14, 2009

Langkah Mencari Sinar

Sinar yang terang ku kejar,
ku yakin di sana pasti ada maknanya,
aku menipu diri,
ku tipu diri ini,
supaya aku tidak kenal erti putus asa,
agar dapat ku teruskan jua langkah ini.

Duri begitu tajam,
tercacak penuh di tengah jalan,
kurelakan jua,
biarpun cedera berdarah kaki ini,
aku tetap cekal,
demi mendapatkan engkau wahai sinar.

Wahai sinar yang menerangi,
setelah ku capai janganlah kau lari,
bersamalah dengan ku walau di mana-mana,
ku bersyukur kau ada di sisi,
ku pasti tidak lagi sendiri,
miliki taufiq dan teman hidayah dariMU.

Hipokrit!















Senyum terukir hingga ke telinga,
lambaian tangan tidak pernah kenal erti lenguh,
teguh berdiri biar dimamah panas mentari terik,
kaki melangkah biar sampai ke limbah,
membantu yang daif bagai diri bekas pengemis,
agama, bangsa dan negara ingin dibela,
kompang dipalu bagai ingin pecah,
lalu terpukau dengan retorik semata-mata.

Bila kemenangan dicapai,
tebu dibibir sudah menjadi pitawali,
tiada lagi senyuman untuk dikongsi,
semuanya hanya tinggal janji,
kompang yang dipalu dicampak ke tepi,
langkah sudah menjadi deras,
hilang sudah masa untuk bersenda,
hilang sudah suara untuk menyapa,
kelihatan dia alpa,
semuanya perit,
itulah ahli politik yang hipokrit!!!!!!

Mencari Bahagia

Di sana aku melihat seorang budak,
teruja ingin membantu ibunya berniaga dan ibunya senyum sahaja,
aku nampak di situ ada damai dan bahagia.

Di sini aku lihat seorang kaya dengan kereta besarnya,
dia kelihatan resah dan gelisah,
sesungguhnya wang, harta dan pangkat bukan segala-galanya,
bukan juga kunci untuk mengecapi bahagia.

Ku cuba selami erti bahagia,
ku cuma dapat merasa,
mana mungkin ku menyentuhnya,
apakah sebenarnya rupa bahagia?

Bahagia itu ada pada mereka,
ada di sekeliling kita,
senyum dan tawa mesra,
itulah bahagia yang kita hanya mampu merasa.

Ku senyum dan rasa gembira,
tanpa hasad dan hati yang iri,
cuma ku lagi yang rasa kurang,
lalu ku ingin mencari,
rasa bahagia di dalam hati.

Jika Belum Tentu

Jika dapat ku lukis awan,
belum tentu ku dapat sirami bumi dengan hujan.

Jika dapat ku warnai lautan,
belum tentu ku dapat hiasinya dengan terumbuan.

Jika dapat ku dirikan gunung dan bukit,
belum tentu ku dapat menghijaukan dunia ini dengan tumbuh-tumbuhan.

Jika dapat ku kembangkan awan di langit,
belum tentu ku dapat memberi tanah yang subur untuk pohon-pohon menghijau.

Jika dapat ku ukir seorang insan,
belum tentu ku dapat ajarinya erti percintaan.

Jika dapat ku gambarkan indahnya cinta,
belum tentu ku dapat mengecapi sebuah bahagia.


Inderasegara ft. Munzir

Pencarian Kita

Ku sedang melihat insan bersatu,
melakukan kerja bersama-sama,
mereka kelihatan cukup kuat dan gembira,
inilah ukhwah yang telah lama hilang dalam jiwa kita,
kita sebagai rakyat Malaysia,
kita juga sebagai umat Islam seluruhnya,
di manakah rasa harmoni perpaduan itu telah tercampak?

Marilah sama kita mencari,
mencari suatu yang pasti ada,
ia ada dalam diri setiap kita,
cuma ego yang menyembunyikannya,
cuma kepentingan diri mengatasi segalanya,
lesapkan ia,
leburkan ia,
mampukah kita?

Perpaduan itu ada di sana,
tidak jauh dari kita,
capailah ia buat kita semua,
sama berkongsi dan sama merasa,
hidup aman dan bahagia,
tidak mahukah kita?
itulah pencarian kita.