Helaian muka

Wednesday, October 14, 2009

Mencari Bahagia

Di sana aku melihat seorang budak,
teruja ingin membantu ibunya berniaga dan ibunya senyum sahaja,
aku nampak di situ ada damai dan bahagia.

Di sini aku lihat seorang kaya dengan kereta besarnya,
dia kelihatan resah dan gelisah,
sesungguhnya wang, harta dan pangkat bukan segala-galanya,
bukan juga kunci untuk mengecapi bahagia.

Ku cuba selami erti bahagia,
ku cuma dapat merasa,
mana mungkin ku menyentuhnya,
apakah sebenarnya rupa bahagia?

Bahagia itu ada pada mereka,
ada di sekeliling kita,
senyum dan tawa mesra,
itulah bahagia yang kita hanya mampu merasa.

Ku senyum dan rasa gembira,
tanpa hasad dan hati yang iri,
cuma ku lagi yang rasa kurang,
lalu ku ingin mencari,
rasa bahagia di dalam hati.

Jika Belum Tentu

Jika dapat ku lukis awan,
belum tentu ku dapat sirami bumi dengan hujan.

Jika dapat ku warnai lautan,
belum tentu ku dapat hiasinya dengan terumbuan.

Jika dapat ku dirikan gunung dan bukit,
belum tentu ku dapat menghijaukan dunia ini dengan tumbuh-tumbuhan.

Jika dapat ku kembangkan awan di langit,
belum tentu ku dapat memberi tanah yang subur untuk pohon-pohon menghijau.

Jika dapat ku ukir seorang insan,
belum tentu ku dapat ajarinya erti percintaan.

Jika dapat ku gambarkan indahnya cinta,
belum tentu ku dapat mengecapi sebuah bahagia.


Inderasegara ft. Munzir

Pencarian Kita

Ku sedang melihat insan bersatu,
melakukan kerja bersama-sama,
mereka kelihatan cukup kuat dan gembira,
inilah ukhwah yang telah lama hilang dalam jiwa kita,
kita sebagai rakyat Malaysia,
kita juga sebagai umat Islam seluruhnya,
di manakah rasa harmoni perpaduan itu telah tercampak?

Marilah sama kita mencari,
mencari suatu yang pasti ada,
ia ada dalam diri setiap kita,
cuma ego yang menyembunyikannya,
cuma kepentingan diri mengatasi segalanya,
lesapkan ia,
leburkan ia,
mampukah kita?

Perpaduan itu ada di sana,
tidak jauh dari kita,
capailah ia buat kita semua,
sama berkongsi dan sama merasa,
hidup aman dan bahagia,
tidak mahukah kita?
itulah pencarian kita.

Tuesday, June 16, 2009

Apa Nak Jadi???




Ini adalah gambar yang aku ambil di sebuah universiti awam yang bertaraf universiti penyelidikan. Aku rasa pelik sangat melihat fenomena sebegini blh berlaku di sebuah institusi yang menempatkan golongan-golongan yang berpendidikan tinggi.

Melihat kepada fenomena ini, aku terfikir mengenai bagaimana sifat sebenar pelajar-pelajar di universiti ini? Dari apa yang aku lihat, kepada yang melakukan perbuatan seperti ini, golongan inilah yang akan menghuru-harakan negara suatu hari nanti. Teori dan kesimpulannya sangat mudah iaitu tidak patuh kepada arahan. Sudah tertera bahawa ia adalah tong bagi membuang telefon bimbit yang terpakai, tetapi bagaimana pula sampah-sampah sebegitu pula yang menghuni tong tersebut?

Aku terpanggil untuk menyatakan kekecewaan aku atas sikap pelajar-pelajar universiti ini. Mungkin tidak semua tetapi segelintir boleh merosakkan segalanya. Bukan sahaja nama pelajar-pelajar, bahkan nama universiti juga boleh tercemar. Cuba kita renungkan jika fenomena seperti ini dilihat oleh pelajar-pelajar, pelancong-pelancong atau pelawat-pelawat dari luar negara? Bukan sahaja nama universiti, tetapi nama negara juga akan turut sama menjadi buruk. Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Marilah kita sama-sama renung-renungkan. Di manakah tahap kita jika fenomena ini masih lagi berlaku di kalangan masyarakat kita?



Inilah gambar yang bersejarah tetapi tidak diketengahkan mengenainya. Gambar ini diambil di Istana Kuala Kangsar, Perak sewaktu Perjanjian Durbar yang menjadi asas kepada Majlis Raja-raja yang ada sekarang. Maaf kerana gambar yang di ambil ini tidak begitu jelas kerana diambil dalam keadaan yang tergesa-gesa. Gambar ini diambil di rumah waris kepada Datuk Orang Kaya Indera Segara Temerloh Haji Tahir Bin Nakhoda Jelai iaitu salah seorang pembesar berempat negeri Pahang yang mentadbir daerah Temerloh. Gambar Allahyarham yang bernombor 12. Selain itu, gambar pejuang negeri Pahang seperti Datuk Setia Jaya Semantan Tok Bahaman (15), Datuk Stia Raja Tok Gajah (16), Mat Kilau (17) dan Mat Lela (18).

Thursday, June 4, 2009

WARISAN

Anak kecil main api,
Terbakar hatinya yang sepi,
Air mata darah bercampur keringat,
Bumi dipijak milik orang.

Nenek moyang kaya raya,
Tergadai seluruh harta benda,
Akibat sengketa sesamalah kita,
Cinta lenyap di arus zaman.

Indahnya bumi kita ini,
Warisan berkurun lamanya,
Hasil mengalir ke tangan yang lain,
Peribumi merintih sendiri.

Kita rumpun bangsa Melayu,
Menganut agama yang suci,
Semangat bangsa berlandaskan Islam,
Teras capai kemerdekaan.

Masa depan sungguh kelam,
Kan lenyap peristiwa semalam,
Tertutuplah hati terkunci mati,
Maruah peribadi dah hilang.

Kini kita cuma tinggal kuasa,
Yang akan menentukan bangsa,
Bersatulah hati, bersama berbakti,
Pulih kembali harga diri.

Kita sudah tiada masa,
Bangunlah dengan gagah perkasa,
Janganlah terlalai teruskan usaha,
Melayu kan gagah di nusantara

Wednesday, May 6, 2009

Pesta Buku Antarabangsa KL

Menyambut baik pesta buku yang dianjurkan, saya telah menghadirkan diri pada 18hb April 2009. Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) itu diadakan bermula dari 17hb April hingga 26 April tahun ini.

Begitu ramai manusia yang menghadiri pesta tersebut. Pelbagai jenis buku juga boleh didapati dan kebanyakannya buku yang berbentuk akademik. Suasana yang cukup sesak pada hari itu memang menyukarkan saya untuk mencari buku-buku yang diminati. Dengan tempat untuk meletak kereta pun susah untuk didapatkan. Memang benar, saya baru kali pertama sampai ke Putra World Trade Centre (PWTC), sebab itu agak asing bagi saya dalam menyesuaikan diri dengan kemudahan-kemudahan yang ada di situ. Tapi semangat untuk mengenali buku itu tinggi lalu saya teruskan juga misi yang belum sempurna itu.

Dalam letih berjalan sendirian, ada beberapa buku yang saya berminat untuk membelinya. Tetapi oleh sebab wang yang dibawa tidak begitu banyak, maka hanya sebuah buku yang mampu dibeli. Buku yang saya beli itu bertajuk Pemikiran Tun Dr. Mahathir bin Mohamad. Ditulis oleh Abdul Mua’ti @ Zamri bin Ahmad dan terbitan Universiti Malaya. Tidak tahu kenapa saya berminat sangat dengan buku ini. Tapi yang nyata saya memang ingin sangat mengetahui rahsia pemikiran Perdana Menteri Malaysia yang keempat itu. Beliau telah memerintah Malaysia selama 22 tahun dan juga digelar sebagai Bapa Kemodenan.

Buku- buku yang saya berminat tetapi tiada rezeki pada waktu itu untuk saya beli antaranya Sejarah Sumatera, Dua Wajah, dan beberapa lagi yang saya kurang ingat tajuknya. InsyaAllah ada rezeki kemudian hari saya akan membeli buku-buku ini jika terjumpa lagi.

Masuk pada jam 3 petang dan keluar pada jam enam petang. Suatu pengalaman yang menarik bagi saya walaupun agak penat. Jika diadakan lagi pesta seperti ini di kemudian hari, saya pasti akan mengunjunginya jika berkesempatan. Kepada kawan-kawan semua, jadikanlah membaca budaya kita. Banyak ilmu yang akan kita perolehi dengan membaca. Renung-renungkan dan selamat beramal.